HIDUP wanita ini ketika zaman kanak-kanaknya boleh dikatakan tidak sama seperti rakan lain seusianya.
Tatkala menginjak umur lima tahun, ketika rakan-rakannya lebih seronok berkumpul beramai-ramai bermain pelbagai permainan bersama, zaman kanak-kanaknya lebih banyak dihabiskan membantu neneknya memasak aneka juadah dan membakar kek di dapur.
Bahkan, setiap kali menjelang Aidilfitri, Nor Arieni Adriena Mohd. Ritzal akan bertindak menjadi ‘teman rapat’ neneknya di dapur sehingga dia mahir menyediakan kek dan biskut selain pelbagai resipi lain.
Pantas waktu berlalu hinggalah dia berjaya menamatkan pengajian di universiti, minatnya membakar kek dan menyediakan pelbagai jenis kuih dan biskut masih tetap sama.
Atas faktor itu, anak kelahiran Klang, Selangor yang tidak pernah putus mendalami pelbagai ilmu masakan dan kulinari memberanikan diri menjual kek menerusi dalam talian.
“Saya ini orangnya suka kanak-kanak. Rasa kasih yang tidak pernah putus serta mahu sentiasa berdampingan dengan mereka juga telah mencetus idea untuk saya buka sebuah pusat belajar memasak untuk kanak-kanak.
“Dalam pusat belajar itu turut memuatkan kafe mini bagi kemudahan seisi keluarga menikmati hidangan ringan yang saya sendiri sediakan selain saya jual secara online,” katanya memulakan bicara kepada Aura.
Pembukaan pusat kanak-kanak dan kafe mini di dalamnya itu digunakan hasil daripada geran bernilai RM500,000 yang dimenangi menerusi Teraju SUPERB 2015. Geran pembangunan perniagaan melalui program SUPERB itu dilaksanakan di bawah agensi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
Menurutnya, pada peringkat permulaan, dia menggunakan nama Gula Home Bakery sebagai jenama produk dan kafe mininya.
Keunikan nama ‘Gula’ menjadi sinonim buat Nor Arieni yang menganggap gula sebagai salah satu elemen penting dalam menyiapkan kek untuk para pelanggan.
Beritahu Nor Arieni, 33, atas permintaan menggalakkan, pada penghujung tahun sama, premis sulungnya dalam pusat beli-belah, Gula Cakery dibuka pada hujung tahun 2015.
Ketika itu, pengikut dalam laman Instagramnya turut melonjak lebih setengah juta dalam masa kurang setahun dan premisnya juga tidak henti-henti dikunjungi ramai.
Dia juga sempat menempa populariti hasil penyertaannya dalam pertandingan memasak televisyen, Dapur Tempur musim pertama pada tahun 2022. Berpasangan dengan suaminya, Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli, mereka berjaya bergelar juara.
Di pusingan akhir, Nor Arieni dan suami memikat hati para juri dengan menu ‘salmon teriyaki terakhir’ dalam sesi cabaran pertama, manakala nasi minyak, rendang, pencuci mulut kek oren serta aiskrim kelapa dalam sesi cabaran kedua.

dan tiga cahaya mata mereka.
Menurutnya, penyertaan mereka sekadar untuk mencuba nasib dalam pertandingan itu.
Kini, selepas hampir sedekad memberikan yang terbaik dalam perniagaan, dia kini miliki 11 cawangan di seluruh Lembah Klang dan Melaka.
Menerusi Gula Cakery Group, syarikat mengoperasikan rangkaian restoran dan kafe di bawah pelbagai jenama termasuk Gula Petite Cakery, Gula Creamery, Andra, Malaiqa, El Ocho, Arieni’s Roti Jala dan MN Coffee.
Terbaharu, Nor Arieni membuka sebuah oulet dengan nama Arieni’s Roti Jala X Gula Cakery Petite di Elmina Lakeside Mall.
Menurutnya, dia memilih roti jala kerana makanan popular tersebut jarang sekali dapat dinikmati sepanjang hari dan bagaikan bermusim.
Faktor itu mencetuskan idea buatnya dengan menjadikan makanan tradisi Melayu itu lebih premium menerusi kedai konsep roti jala pertama di Malaysia.
Jelasnya, inspirasi di sebalik restoran tersebut datang sekali lagi dari zaman kanak-kanaknya apabila dia gemar membuat roti jala bersama neneknya.
“Saya mahu berkongsi keenakan snek minum petang yang popular ini dengan semua orang.
“Ini resipi turun-temurun nenek, saya mahu roti jala dinikmati pada bila-bila masa dan bukan hanya waktu tertentu.
“Justeru, saya buka kedai ini bagi membolehkan pelanggan atau penggemar menikmati keenakan makanan itu sepanjang hari, tidak kira waktu tengah hari atau malam,” katanya.
Ditebak mengenai cabaran sepanjang berniaga dan menguruskan legasi perusahaan, ibu kepada tiga cahaya mata ini tidak menafikan cabaran utama dihadapinya adalah untuk memastikan rasa setiap hidangan kekal sama di setiap cawangan miliknya.
Disebabkan itu katanya, setiap pengiraan dan teknik penyediaan kek, gelato, roti jala, lauk-pauk mahupun apa saja makanan perlu dilakukan dengan amaun yang betul.
Cara ini secara tidak langsung dapat mengekalkan kestabilan rasa hidangan meskipun cawangan berbeza.
“Mendapatkan konsisten dan mengekalkan rasa itu bukan mudah. Ini kerana setiap cawangan bertanggungjawab menguruskan penyediaan makanan.
“Untuk mendapatkan prosedur operasi standard (SOP) yang betul juga tidak mudah. Bukan sahaja bercakap dengan adunan menu, tetapi pengurusan dan komunikasi dengan pekerja juga amat penting.
“Kita berinteraksi dengan pekerja. Daripada hubungan kita dengan pekerja itulah mereka salurkan kepada pelanggan.
“Jadi kita perlu faham apa masalah yang mereka hadapi,” katanya.
Menyentuh soal pengurusan perniagaan, Nor Arieni memberitahu paling utama ialah matlamat dan semangat daripada diri sendiri.
Perkara pertama katanya, adalah kenal pasti kemampuan diri dan terus berusaha tanpa mengalah.
Akuinya, sebagai manusia biasa, tidak dinafikan halangan itu akan ada, tetapi itu bukan bererti tunduk mengalah.
“Saya ini memang suka memasak orangnya. Saya akan panggil saudara- mara dan rakan-rakan datang ke rumah untuk makan.
“Dalam kata mudah, kita memerlukan semangat, keghairahan atau optimis dalam melakukan sesuatu perkara.
“Dapatkan sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan yang positif. Maklum sajalah orang perempuan ini penuh dengan emosi dan kadangkala keputusan atau teguran itu terikut-ikut dengan perasaan.
“Jadi disebabkan itu kita perlu sokongan yang ada bukan saja ketika senang, tetapi juga dalam sukar.
“Bagi saya, dalam apa juga yang kita lakukan termasuk perniagaan, lakukan dengan ikhlas dan usah terlalu negatif. Jangan sesekali takut membuat sebarang keputusan,” katanya.
Menyentuh lanjut tentang bisnes, Gula Cakery Group sentiasa berinovasi dalam mencipta resipi-resipi baharu serta memperkenalkan variasi kek dan pastri yang menarik.
“Komitmen terhadap kualiti dan keaslian inilah yang menjadikan Gula Cakery pilihan utama bagi pencinta manisan di Malaysia.
“Gula Cakery diasaskan dengan matlamat untuk menyediakan hidangan manis yang tidak hanya lazat tetapi juga dihasilkan dengan bahan-bahan berkualiti tinggi.
“Setiap produk yang dihasilkan melalui proses pembuatan yang teliti dan penuh dedikasi, memastikan setiap ‘gigitan’ memberikan kepuasan yang maksimum kepada pelanggan.
“Justeru, dengan pembukaan cawangan-cawangan baharu, kami optimis dan mahu mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam industri bakeri,” katanya yang memberitahu Gula Cakery Group menerusi rangkaian kafe dan restorannya mempunyai lebih 30 jenis pastri dan 50 kek buat masa ini.
Sebelum hujung tahun ini, Gula Cakery akan membuka sebuah lagi cawangan terbaharu di pusat beli-belah Sunway Pyramid disusuli lima lagi cawangan baharu tahun depan termasuk di Johor Bahru.














