fbpx
Pengunjung mencuba aktiviti yang disediakan MAHA 2024 di MAEPS, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Legasi seabad MAHA pameran pertanian terbesar Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“PAMERAN yang begitu meriah sambutannya.”

Itulah kata-kata yang terukir di mulut Shahril Subri, 33, saat diajukan soalan tentang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Menurutnya, dia tidak melepaskan peluang untuk hadir ke pameran tersebut bersama keluarganya setiap kali diadakan.

“Tahun ini, saya datang mencari anak pokok durian untuk ditanam di kebun milik ayah di kampung.

“Di pameran ini, ramai peniaga datang untuk menjual pelbagai anak-anak pokok.

“Jadi, saya mempunyai banyak pilihan untuk mencari anak pokok terbaik,” katanya kepada K2.

Tambahnya, di pameran itu juga, dia berpeluang mendapatkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan serta melihat penggunaan teknologi baharu dalam pertanian.

Dalam pada itu, Shahril tidak menjangka bahawa MAHA 2024 yang diadakan itu sedang meraikan 100 tahun penganjurannya.

Dia juga tidak menyangka bahawa MAHA telah mencapai usia satu abad.

“Saya ingatkan MAHA ini baru saja dianjurkan beberapa tahun sebelum ini, tetapi sebenarnya telah diadakan sejak sekian lama.

“Saya berharap, MAHA akan terus diadakan pada masa hadapan kerana ia merupakan platform terbaik untuk orang ramai mengetahui tentang sektor pertanian,” jelasnya.

Menurut sejarah, MAHA bermula dengan nama Persatuan Malayan Agri-Horticulture Association (MAHA) yang telah ditubuhkan pada 1922.

Matlamat utama penubuhan MAHA pada ketika itu adalah untuk memberi tumpuan kepada sektor pertanian bagi menjana ekonomi negara dan menganjurkan pameran-pameran pertanian.

Pameran MAHA pertama kali diadakan pada 1923 di Kuala Lumpur.

Kini, MAHA menjadi sebuah legasi yang terus berkembang sehingga menjadi pameran pertanian utama dan terbesar di rantau Asia Tenggara.

Menjangkau satu abad penganjuran, MAHA telah menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat.

Ini kerana, pameran itu membawa elemen teknologi terkini dan bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Bagi MAHA 2024, pameran tersebut telah berlangsung pada 11 September dan berakhir semalam.

Ketua Sekretariat MAHA 2024, Zurihanmi Zakariya berkata, MAHA 2024 lebih istimewa kerana meraikan 100 tahun penganjurannya setelah kali pertama dianjurkan pada 30 Jun hingga 2 Julai 1923.

Terangnya, setelah 100 tahun penganjuran, MAHA menjadi pa­meran pertanian terulung dan tertua di rantau Asia Tenggara.

“Sejak diperkenalkan pada 1923, MAHA mempunyai sejarahnya tersendiri dan telah berevolusi melalui pelbagai peringkat, sebelum menjadi seperti yang kita kenali pada hari ini.

“Sempena meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA 2024 memberi penekanan kepada elemen yang mengangkatnya ke peringkat antarabangsa dengan penyertaan daripada pelbagai negara,” jelasnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) sewaktu merasmikan MAHA Go Global.

Ujarnya, pada edisi kali ini, pihaknya membawakan segmen MAHA Go Global yang mendapat penyertaan lebih daripada 20 negara dengan 16 daripadanya membuka ‘pavilion’ mereka dalam pameran tersebut.

Malah, MAHA Go Global bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, sekali gus meningkatkan eksport dan menggalakkan inovasi.

Ia juga merupakan platform yang berharga untuk profesional industri membina rangkaian, belajar dan meneroka peluang perniagaan baharu.

Dalam pada itu, sempena 100 tahun penganjuran MAHA, terdapat segmen yang menjadi tarikan baharu kepada pengunjung dan salah satunya adalah Lighting 3D Water Show.

Zurihanmi berkata, ia merupakan pertunjukkan formasi muzikal air yang dilengkapi dengan sistem pemancar cahaya dan audio dalam pelbagai bentuk.

“Buat kali pertamanya, kami membawakan khas pertunjukan ini kepada pengunjung MAHA.

“Selain itu, antara tarikan baharu yang lain termasuk floating market,” jelasnya.

Dalam pada itu, sempena penganjuran kali ini, MAHA 2024 menjadi medan sektor pertanian berteknologi tinggi di peringkat global.

Selain itu, pameran kali ini juga melangkah ke era lebih berdaya saing, inovatif dan kontemporari.

Penganjurannya dilihat memberikan penekanan kepada sektor keterjaminan makanan yang mampu menarik penyertaan golongan muda.

Pameran kali ini juga menekankan perkembangan teknologi pada masa kini dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet of Thing dan kepelbagaian teknologi yang berupaya meningkatkan produktiviti.

Usaha tersebut pastinya akan menarik golongan muda menceburkan diri dalam sektor pertanian.

Sementara itu, sepanjang MAHA 2024 berlangsung, sambutan yang diterima amat baik.

Pameran tersebut berjaya mencapai sasaran kehadiran lebih tiga juta pengunjung.

Jumlah kehadiran pengunjung yang ramai itu ternyata telah memberi manfaat besar buat pempamer pada pameran tersebut.

Sementara itu, Ketua Jualan Ayam Bismi, Roslan Rajab berkata, MAHA menjadi platform yang membolehkan mereka memperluaskan lagi pasaran.

Menurutnya, mereka sudah kali ketiga menyertai pameran tersebut.

“Pada MAHA 2024, sambutan yang kami terima sangat menggalakkan dan ramai telah mengenali produk kami iaitu Ayam Bismi.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, kami juga telah menyertainya. Ia sudah menjadi salah satu strategi untuk memperkenalkan produk kami kepada orang ramai,” katanya.

Tambahnya, melalui pameran itu juga, ramai yang berminat untuk menjadi ejen dan stokis di seluruh negara untuk produk Ayam Bismi.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, pada edisi MAHA sebelum ini, pihaknya mampu melakukan jualan melebihi RM40,000 sepanjang pameran berlangsung.

Jadi pada edisi tahun ini, dia percaya jumlah jualan produk Ayam Bismi akan terus meningkat.

Dalam pada itu, Penyelia Operasi Smart Grow Agro, Muhd Syahmi yang turut serta dalam pameran MAHA 2024 berkata, sebagai pameran pertanian terbesar di negara ini, pihaknya tidak melepaskan peluang untuk menyertainya.

Menurutnya, itu kali kedua syarikatnya menyertai MAHA dan impak diterima amat baik.

“Kita mengetahui bahawa pengunjung MAHA ini dari seluruh Malaysia.

“Ia memberi peluang kepada saya untuk mendapat pelanggan baharu.

“Di MAHA, saya menjual produk-produk pertanian seperti anak pokok buah, pokok hiasan, baja dan lain-lain lagi.

“Permintaan pelanggan terhadap produk kami sepanjang pameran ini berlangsung sangat baik,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN