SEBAHAGIAN penumpang yang terkandas di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi berikutan laut bergelora semalam.

Berhabis duit dua hari terkandas di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Rata-rata pelancong yang terkandas di pulau peranginan ini selepas operasi feri dari Kuala Kedah dibatalkan ekoran laut bergelora terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk perbelanjaan tambahan.

Sebahagian mereka terpaksa menyambung penginapan dan menambah kos sewa kenderaan sebelum boleh pulang ke tanah besar menerusi perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis.

Seorang pelancong dari Kempas, Johor, Muhammad Naim Ciksuri, 26, berkata, dia mengeluarkan perbelanjaan tambahan lebih RM500 bagi penginapan dan kereta sewa sebelum dapat membeli tiket ke Kuala Perlis.

Selain itu, dia juga mengeluarkan wang untuk perjalanan dari Kuala Perlis ke Kuala Kedah kerana keretanya ditinggalkan di Terminal Feri Kuala Kedah.

Katanya, dia sepatutnya pulang pada pukul 12.30 tengah hari Rabu lalu, namun ejen pelanco­ngan memaklumkan perjalanan feri yang ditempah untuk mereka seramai sembilan
orang terpaksa dibatalkan ekoran cuaca buruk.

“Kami pergi ke kaunter tiket di Terminal Feri Penumpang Kuah untuk mendapatkan pemula­ngan wang, namun petugas kaunter minta berurusan melalui aplikasi tiket online.

“Akhirnya kami membuat keputusan membeli tiket ke Kuala Perlis dan kami dapat tiket pukul 1 tengah hari semalam,” katanya di sini semalam.

Katanya, dia berharap pihak pengurusan feri dapat memberi maklum balas lebih cepat kepada penumpang termasuk melibatkan pemulangan wang.

“Kita faham keadaan cuaca tidak mengizinkan, tetapi maklum balas pihak feri amat mengecewakan kepada mereka yang membeli tiket secara online. Ada beberapa penumpang yang melepaskan kekecewaan mereka di kaunter tiket feri pagi tadi (semalam),” ujarnya.

Pelancong dari Tapah, Perak, Zaidah Mohd. Syukor, 39, berkata, dia memahami pembatalan trip feri itu dibuat atas keselamatan semua penumpang berikutan keadaan laut bergelora.

“Saya terpaksa sambung cuti di Langkawi dan membelanjakan RM300 untuk penginapan dan belanja makan di Kuah. Nasib baik saya dapat tiket pulang ke Kuala Perlis hari ini (semalam).

“Mungkin saya terpaksa minta bantuan rakan di Jitra untuk hantar ke jeti Kuala Kedah sebab kereta saya diletakkan di sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN