PONTIAN – Kehidupan kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung di Mukim Benut di sini, kini semakin terancam ekoran gangguan ratusan ekor kera liar yang merosakkan harta benda dan tanaman mereka sejak kebelakangan ini.
Tiga kampung yang terlibat dalam ‘serangan’ haiwan liar itu ialah Kampung Permatang Palas Darat, Kampung Parit Haji Ariff dan Kampung Permatang Sepam Darat.
Timbalan Pengerusi Surau Kampung Permatang Palas Darat, Mispan Sulaiman, 66, berkata, ancaman serta gangguan daripada haiwan berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak dua tahun lalu.
Katanya, kedudukan kampung yang dikelilingi hutan-hutan kecil termasuk kebun kelapa sawit terbiar menjadi antara faktor kehadiran kera liar berkenaan.
“Lebih teruk lagi apabila ada kera liar yang memasuki surau, halaman rumah penduduk dan bertenggek di atas pagar serta bumbung rumah sehingga menimbulkan ketakutan.
“Kera liar ini langsung tidak takutkan manusia, malah akan cuba menyerang penduduk,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambah Mispan, dia pernah melihat kira-kira 40 hingga 50 ekor kera memasuki surau kampung sehingga merosakan peralatan yang ada di dalamnya.
“Kami terpaksa memasang jeriji di pintu utama dan menguncinya bagi mengelak kera masuk dan menimbulkan masalah di surau,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Permatang Palas Darat, Hafis Suradi, 35, berkata, tanaman buah-buahan seperti rambutan dan buah pulasan banyak yang tidak sempat dijamah penduduk selepas menjadi makanan kera liar.
“Haiwan liar ini datang dalam kumpulan yang besar, malah ada antaranya yang bersikap agresif sehingga menyebabkan penduduk berada dalam ketakutan.
“Walaupun penduduk menghalau dengan membakar mercun, namun usaha itu tidak berhasil, sebaliknya kehadiran haiwan liar ini semakin banyak,” dakwanya.














