KANGAR – Bekas pelumba Moto3 negara, Allahyarham Elly Idzlianizar Ilias yang maut dalam keadaan tragis selepas ditetak 12 kali dengan pedang samurai pada Isnin lalu sempat berpesan kepada ibu supaya menjual koleksi topi keledar miliknya untuk kelangsungan hidup.
Fadzilah Bakar, 61, berkata, permintaan itu disuarakan oleh anak sulung daripada empat beradik yang berusia 40 tahun tersebut baru-baru ini.
“Elly minta saya jual koleksi topi keledarnya kerana kasihan melihat saya membela anak-anaknya di rumah ini. Sebuah topi keledar itu mahal harganya.
“Dia tidak mempunyai pendapatan tetap, mungkin dia fikir dengan menjual topi keledar itu, dapatlah menyara keluarga. Saya cakap takpa, selagi mama ada, mama tak jual la,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Fauziah di sini semalam.
Bercerita lanjut, Fadzilah memberitahu, keadaan kesihatan Elly tidak stabil kerana komplikasi saraf akibat kemalangan dalam perlumbaan sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah.
Walaupun kesihatannya tidak menentu, Elly Idzlianizar masih mampu untuk bekerja dan pernah cuba mencari rezeki di sebuah kedai serbaneka bagi menyara kehidupan keluarganya.
“Elly tidak bergaul dengan orang ramai disebabkan keadaan kesihatannya, namun dia masih boleh menghantar anak-anaknya ke sekolah dan masjid serta membaca al-Quran. Dia seorang yang sangat menyayangi keluarga.
“Setiap kali bangun solat subuh, dia akan datang mencium saya dan cakap sayang mama. Dia selalu teman anak perempuannya berlatih bola baling dan membawa seorang lagi anaknya bernama Lola keluar,” katanya.
Ceritanya, pada malam kejadian, Elly Idzlianizar beritahu dia mahu keluar ke kedai.
“Dia bersalaman dan mencium tangan saya. Dia pergi dengan senyuman. Saya minta Lola tunggu ayahnya pulang sebelum dapat panggilan daripada adik Elly yang mengatakan abangnya sudah tiada. Kejadian ini merupakan ujian buat saya. Saya harap ada keadilan untuk Elly,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan bekas pelumba negara maut selepas ditetak secara bertubi-tubi dengan pedang samurai di simpang masuk Taman Behor Gonchar Jaya.














