fbpx
Gambar hiasan

Lihat kanak-kanak berulang kali satu kesalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG lelaki dikenali sebagai ‘abang bas’ menjadi topik hangat bualan warga media sosial sejak kebelakangan ini ekoran tindakannya memuat naik video kanak-kanak bawah umur di platform TikToknya.

Perbuatannya itu seakan-akan dinormalisasikan kerana setiap kandungan yang dimuat naik, pasti mendapat lebih 800,000 tontonan beserta beratus pujian seperti ‘ala tak apalah, hanya video’.

Hal ini sungguh merunsingkan kerana perbuatan yang menjurus kepada tindakan pedofilia seharusnya dibendung dari awal agar perkara buruk tidak berlaku kepada mangsa.

Peguam Mahmud Abdul Jumaat berkata, adalah satu kesalahan bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak apabila mana-mana orang yang bagi maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa-apa cara secara berulang kali atau kerap.

Ujarnya, di bawah Seksyen 15 (2) Akta Kanak-Kanak 2001, adalah satu kesalahan untuk mana-mana pihak yang berkongsikan gambar yang disiarkan melalui apa-apa perantara elektronik.

“Bagi saya dalam kes ini, saya bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh pihak berkuasa ke atas abang bas. Menggelar seorang pelajar sekolah rendah sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’ adalah tidak sesuai dan berbentuk seksual.

“Lebih mengejutkan bahawa abang bas ini mempunyai follower seramai 600,000 pengikut. Siap ada buat ‘subscription’ untuk komuniti dia lagi,” katanya.

Tambahnya, setiap individu perlu berhati-hati tidak kira lelaki atau perempuan untuk tidak memberikan gambar kepada sesiapa kerana khuatir akan dimanipulasi kecerdasan buatan (AI).

“Perlu jelas bahawa dalam kalangan kita mungkin ada yang mempunyai masalah mental seperti pedofilia.

“Adakah kesemua ibu dan ayah kepada kanak-kanak di dalam bas tersebut memberi kebenaran kepada lelaki tersebut untuk menggunakan anak mereka sebagai konten?

“Ia jenayah dan kita tidak boleh menormalisasikan perkara ini,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, kes seksual kanak-kanak yang dilakukan keluarga sendiri semakin membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan sejak empat tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mendedahkan, statistik pihaknya menunjukkan sebanyak 2,722 kes direkodkan sejak tahun 2020.

Beliau berkata, kes tersebut meliputi jenayah rogol, sumbang mahram, cabul, gangguan seksual, seks luar tabii, pornografi, komunikasi secara seksual, amang seksual fizikal dan bukan fizikal.

Bagi penulis, banyak lagi jenis kandungan yang boleh dimuat naik di media sosial daripada melibatkan kanak-kanak semata-mata demi meraih pengikut yang ramai.

Sebagai orang awam, tidak perlu kita sudah terhantuk baru nak tergadah jika mahu banteras kegiatan-kegiatan yang boleh menjurus kepada pedofilia bermula dari sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN