KUALA LUMPUR – Seorang pesara swasta mendakwa kehidupannya kini ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ gara-gara terperdaya dengan skim pelaburan yang ditawarkan oleh sebuah syarikat beberapa tahun lalu.
Rosman Zainodin, 58, berkata, dia menghabiskan kesemua wang dari caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya untuk pelaburan yang didakwa sebagai patuh syariah tersebut.
Bagaimanapun, pelaburan yang diharapkan memberi pulangan itu hanya mimpi semata-mata kerana semuanya adalah palsu.
“Wang KWSP sebanyak RM300,000 saya lesap semua sekali. Sekarang hidup kais pagi makan pagi. Terpaksa ambil upah harian jadi pemandu peribadi untuk teruskan kehidupan. Duit simpanan pun sudah habis.
“Anak masih belajar di universiti. Isteri pula suri rumah sepenuh masa. Segala barang-barang yang boleh digadai telah digadai. Semoga ada keadilan untuk saya dan mereka yang tertipu,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di ibu negara semalam.
Seorang lagi mangsa, Roslan jonet, 62, berkata, wang KWSP sebanyak RM500,000 miliknya ‘hangus’ selepas menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan sebanyak RM15,000 sebulan itu.
Menurutnya, dia terpengaruh dengan pelaburan tersebut kerana ia ditawarkan oleh ejen yang merupakan kenalannya sendiri selain terdapat perjanjian bertulis dan pelaburan melibatkan sektor peruncitan.
“Bayaran dividen sebanyak RM15,000 sebulan hanya diterima bagi tempoh 10 bulan. Pembayaran bagaimanapun terhenti sejak Oktober 2021 sehingga sekarang.
“Saya percaya dengan pelaburan itu sebab ejen pelaburan itu saya kenal dan dia pula bekerja dengan syarikat pelaburan ternama. Pelaburan pula didakwa patuh syariah,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang merupakan bekas kontraktor Quantity Surveyor dan hanya mahu dikenali sebagai Eric, 61, berkata, dia kerugian RM150,000 termasuk wang simpanan KWSP.
Katanya, dia mula menyertai pelaburan itu sejak tahun 2020 dan kini terpaksa kembali bekerja sebagai ejen hartanah untuk menampung kehidupan.
“Saya terpaksa jual rumah untuk teruskan kehidupan termasuk bayar segala komitmen yang ada. Keluarga sampai sekarang tidak tahu kerana saya tidak mahu mereka risau dan sedih.
“Saya fikir pelaburan ini adalah cara terbaik untuk saya bersara daripada bekerja. Memang banyak saya dengar tentang scam dan memang berhati-hati, tetapi terperdaya juga,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada seramai 51 mangsa pelaburan tersebut dengan anggaran kerugian lebih RM20.6 juta.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis dan maklum balas diterima adalah laporan itu diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA) menyebabkan pihaknya membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) semalam.
“Jumlah mangsa terlalu ramai. Lebih ramai daripada 51 orang ini. Syarikat ini didalangi individu bergelar Datuk dan terlalu terkenal untuk saya dedahkan.
“Maklumat yang kita tahu syarikat ini telah dikompaun RM50 juta oleh BNM, tetapi mangsa-mangsa tidak berpuas hati. Tiada sebarang pendakwaan di mahkamah dan syarikat masih beroperasi.
“Soalan kita adakah tindakan kompaun memadai sedangkan kerugian cecah ratusan juta ringgit. Contoh tipu RM100 juta, kompaun RM50 juta. Masih ada untung lagi,” katanya.














