fbpx
SEMUA pekerja pernah berdepan dengan situasi di tempat kerja apabila pekerja yang kurang dinamik lebih ‘maju’. - GAMBAR HIASAN

Dalam pekerjaan kena ada ilmu ‘pura-pura bodoh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA di alam persekolahan kita diajar seandainya mahu berjaya perlu disertakan usaha keras. Nasihat-nasihat seperti orang muda harus bersikap dinamik untuk lekas maju.

Apabila memasuki alam kerjaya ternyata ‘dinamiknya’ berubah. Ada cabang ‘ilmu’ lain yang mempengaruhi daya, hubungan serta gerakan jasad di tempat kerja.

Kita dahulu berfikir dengan menunjukkan kemahiran, cemerlang, memenuhi segala tuntutan skop tugas akan disusuli sedikit penghargaan atau golongan muda kini kata ‘ada manis-manis’.

Penulis percaya anda semua juga pernah berdepan dengan keganjilan di tempat kerja apabila pekerja yang kurang dinamik dalam melakukan tugasnya lebih ‘maju’. Hujung tahun nanti bukan sahaja menerima sanjungan bos, lebih parah silap-silap diberi kenaikan gaji.

Baru-baru ini penulis berdepan suatu situasi. Ketika sedang makan tengah hari, seorang rakan mengeluarkan analisis melalui pemerhatiannya.

Katanya, masuk kerja kadang-kadang kena pandai ‘pura-pura bodoh’. Bos pun tidak terlalu mengharap dengan kita.

Penulis tergelak kecil mendengar saranannya itu. Entah macam mana sejurus rakan itu membuat ‘taakulannya’ tiba-tiba penulis terbaca satu hantaran di Instagram bertajuk The Power of Playing Dumb bersumberkan buku 48 Laws of Power hasil karya penulis Amerika Syarikat, Robert Greene.

Antara idea-idea penulisan tersebut berkisar strategi ‘simple moves, big wins’. Dalam situasi tertentu baik di pejabat atau dalam masyarakat kita perlu untuk berpura-pura kurang bijak atau ‘clueless’ bukan sahaja untuk mencapai tujuan lebih besar malah untuk ikhtiar hidup.

Penulis berkongsi perkara ini dengan rakan tadi. Rakan tadi memberitahu lagi, berpura-pura bodoh jangan sampai menyusahkan rakan sepejabat lain. Buat orang bengang.

Katanya, risau pula setiap hari kena sumpah seranah ‘bodoh’ waima sekelumit sahaja dalam hati dalam 40 hari betul-betul jadi bingung nanti. Kali ini, kami pada awalnya hanya gelak-gelak kecil terus bertukar gelak besar. Terfikir ada betulnya juga kifarah tersebut.

Hasil carian play dumb juga menunjukkan ia membawa maksud berpura-pura kurang bijak bagi mengelakkan tanggungjawab atau untuk mendapatkan kelebihan.

Rupa-rupanya, sifir dia mudah sahaja. Mungkin berbaur sinis. Namun, itulah hakikatnya. Lebih menjengkelkan ialah apabila penulis terasa betapa bodohnya tidak mempraktikkan ‘ilmu’ ini dari awal lagi (sarkastik).

Kita yang lalai, golongan ‘buat apa kerja teruk-teruk’ ini sudah lama amalkan bahagian lari daripada tanggungjawab. Jika ada ukuran tahap kebahagiaan kumpulan ‘kultus’ ini, penulis percaya mereka boleh mendapat 150 peratus.

Ingatlah dalam segala tindak-tanduk kita dihitung dalam neraca dosa dan pahala. Gaji kita mungkin tidak banyak tetapi dengan keberkatan tetap terasa cukup serba-serbi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN