BERBICARA hubungan antara Malaysia-Indonesia yang telah sekian lama terjalin merupakan sesuatu yang unik memandangkan kedua-dua negara diibaratkan seperti adik dan abang. Tidak dinafikan sepanjang menjalinkan hubungan, terdapat pelbagai isu berbangkit antara kedua-dua negara.
Namun, setiap masalah dapat diselesaikan secara harmoni dalam semangat setia kawan, meskipun pemimpin kedua-dua negara silih berganti.
Bagi mendapatkan perkembangan terbaharu isu-isu berbangkit Jakarta-Kuala Lumpur , Timbalan Pengarang Kosmo! Ahad, Zulkifli Jalil disertai wartawan Farid Ahmad Tarmiji dan jurufoto, Fauzi Baharudin menemu bual Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Malaysia menjadi destinasi pilihan warga Indonesia yang datang untuk mencari rezeki, boleh Bapak jelaskan berapa ramai pekerja Indonesia di sini?
Hermono: Jika kita lihat data terakhir, mereka yang memiliki permit kerja sekitar 560,000 orang.
Sementara mereka yang tidak memiliki pas kerja, angka itu kita tidak tahu, tetapi saya menjangkakan ada sekitar 1 juta orang.
Ini juga menjadi ‘kerja rumah’ bagi kedua-dua negara untuk memberikan perhatian mencegah pekerja yang masuk secara haram ke wilayah Malaysia untuk bekerja.
Kita perlu mencegah orang-orang Indonesia yang melancong dan kemudian bekerja di Malaysia.
Kita di Indonesia sendiri perlu memperketatkan lagi ‘controlling crossing’ kerana ramai yang menggunakan orang tengah untuk bekerja di Malaysia.
Di Malaysia, kita harapkan ada kempen yang lebih agresif untuk tidak mengambil pekerja yang tiada permit dari Indonesia.
Majikan-majikan di Malaysia yang mengambil pekerja asing tanpa izin ini juga perlu dikenakan tindakan lebih tegas lagi.
Pada pandangan Bapak, apakah yang menarik warga Indonesia untuk datang bekerja di Malaysia sama ada secara sah ataupun tidak?
Faktor yang menarik adalah kerana jarak yang dekat, malah mereka yang berpendidikan rendah boleh ‘survive’ di sini kerana tiada isu bahasa dan lain-lain lagi.
Selain itu, penguatkuasaan juga menjadi faktor dan saya merasakan penguatkuasaan di Malaysia lebih santai.
Jika mereka pergi ke negara yang penguatkuasaan lebih ketat, mereka mungkin takut untuk bekerja.
Namun kini, jika kita lihat jumlah warga Indonesia yang bekerja di Malaysia jauh berkurang berbanding dahulu.
Ini kerana, kita lihat gaji asas di Jakarta dan Malaysia sama sahaja.
Malah, kadar gaji di Malaysia kini sudah tidak lagi menarik berbanding sebelum ini.
Bahkan, ramai warga Indonesia memilih untuk pergi bekerja di Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara Eropah lain kerana tawaran gaji lebih besar.
Oktober ini, Indonesia akan memiliki presiden baharu, Prabowo Subianto yang dibantu wakil Presiden orang muda, Gibran Rakabuming Raka. Bagaimana Bapak melihat corak pemerintahan yang bakal dilakukan oleh Prabowo dan gandingannya ini untuk Indonesia sendiri?
Memang sesuai dengan undang-undang Indonesia, di mana presiden dan wakil presiden dipilih ‘one package’ seperti di Amerika Syarikat.
Dari sisi usia tua dan muda, kedua-duanya bukan menjadi satu isu kerana sesuai dengan undang-undang presiden akan dibantu oleh wakil presiden. Dalam amalan yang berlaku selama ini, ia sangat bergantung kepada pembahagian tugas antara kedua-duanya.
Mungkin sesuai dengan usianya, wakil presiden akan diberi tugas untuk membantu urusan anak-anak muda. Mungkin urusan mengenai teknologi maklumat dan visi menyiapkan generasi muda menjadi fokus Prabowo.
Setakat ini, kita belum tahu tugas apa yang akan disepakati oleh kedua-duanya, tetapi saya menjangkakan Prabowo yang mempunyai pengalaman dalam dalam dunia politik Indonesia akan memberikan tugas serta tanggungjawab sesuai dengan kapasiti Gibran. Fungsi wakil Presiden itu menjadi kritikal jika sesuatu terjadi pada Presiden.
Dalam situasi di mana presiden tidak boleh melaksanakan tanggungjawabnya, maka wakil Presiden akan menjadi ketua pemerintahan.
Bagaimana pula Bapak melihat hubungan bersama Malaysia? Mungkinkah akan ada hubungan yang istimewa memandangkan Prabowo sendiri pernah bersekolah di Kuala Lumpur (Victoria Institution).
Jika kita lihat dari segi sejarah, Prabowo ini memang sudah lama ada hubungan dengan Malaysia selain pernah bersekolah di sini.
Beliau juga mempunyai hubungan persahabatan peribadi yang baik dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa aktif di dalam tentera.
Jadi, kita harap ini akan memudahkan kedua-dua negara untuk bekerjasama dan menyelesaikan beberapa isu antara Indonesia dan Malaysia dengan semangat persaudaraan.
Setidaknya, ada dua isu yang masih belum dapat diselesaikan secara tuntas iaitu isu sempadan atau perbatasan dan perlindungan pekerja asing Indonesia.
Boleh Bapak huraikan tentang isu perbatasan yang masih belum dapat diselesaikan secara tuntas antara kedua-dua negara dengan lebih mendalam?
Isu yang belum diselesaikan adalah tentang perbatasan antara kedua-dua negara dan masih ada proses perundingan berlangsung.
Diharapkan apabila Prabowo memerintah, isu ini boleh dipercepatkan. Ini kerana apabila isu perbatasan terutama di laut belum diselesaikan, maka banyak implikasinya, di mana banyak nelayan Indonesia ditangkap oleh Malaysia dan begitu juga sebaliknya.
Ada sempadan yang belum diselesaikan di Sabah dan Sarawak, termasuk di Pulau Sebatik.
Di Pulau Sebatik, ada yang telah selesai dan ada juga yang masih belum selesai iaitu melibatkan kawasan ‘intertidal’ juga masih dalam rundingan.
Selain itu, isu berkaitan Blok Ambalat juga belum dirundingkan dan ini akan menjadi keutamaan.
Sebetulnya, sebelum berakhirnya era pemerintahan Presiden Jokowi, kita sasarkan ada tiga perbatasan yang boleh disepakati dan sekarang baru dua selesai.
Mudah-mudahan dengan waktu yang tersisa ini kita dapat menyelesaikan satu lagi isu perbatasan.
Perjanjian yang telah selesai ditandatangani adalah mengenai penetapan garis batas laut wilayah kedua-dua negara di Selat Melaka Bahagian Selatan dan penetapan garis batas laut wilayah di Laut Sulawesi.
Yang masih lagi belum selesai rundingan adalah Outstanding Boundary Problem Pulau Sebatik dan Sinapad-Sesai.
Bagaimana pula tentang isu perlindungan pekerja asing Indonesia, boleh Bapak terangkan dengan lebih lanjut?
Prabowo memiliki latar belakang sebagai seorang tentera dan beliau mempunyai semangat nasionalisme sangat tinggi. Jadi, jika ada hal-hal berkaitan isu perlindungan pekerja di luar negara, beliau sangat prihatin.
Ada satu kes pada 2014 atau 2015 yang melibatkan Wilfrida Soik yang dituduh membunuh majikannya, masa itu Prabowo masih belum lagi memerintah dan tidak mempunyai kuasa.
Namun, beliau melantik antara peguam yang termahal di Malaysia iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menggunakan wang sendiri untuk membela Wilfrida Soik.
Hasilnya, Wilfrida Soik tidak dihukum mati dan dihantar pulang ke Indonesia.
Oleh itu, jika ada hal-hal terkait nasib warga Indonesia di Malaysia, Prabowo sangat prihatin dan kedua-dua negara perlu mempercepatkan penyelesaian isu pekerja asing ini.
Dua isu ini iaitu perbatasan dan perlindungan pekerja asing saya jangkakan akan menjadi ‘kerja rumah’ bagi kedua-dua negara. Kita berharap, ia dapat diselesaikan ketika pemerintahan Prabowo nanti.
Bagaimana Bapak melihat tentang isu gaji dan juga layanan yang diterima oleh pekerja Indonesia di Malaysia?
Sebetulnya yang menjadi isu bukannya gaji, perkara menjadi isu adalah layanan diberikan kepada pekerja asing Indonesia.
Jika berbicara pekerja asing yang bekerja di sektor perladangan, perkilangan dan pembinaan, kita tiada isu besar dan semuanya baik sahaja. Apa yang menjadi isu adalah pekerja yang bekerja sebagai pembantu rumah dan mereka ini banyak didera serta dieksploitasi secara tidak manusiawi.
Ada yang didera dan dibuang di pinggir jalan dan ada yang tidak dibayar gaji sehingga 19 tahun dan banyak lagi.
Malah, kami di kedutaan sering menerima laporan tentang penderaan, gaji tidak dibayar dan eksploitasi yang melibatkan pembantu rumah warga Indonesia.
Namun persoalannya, penguatkuasaan terhadap majikan-majikan yang mendera atau mengeksploitasi pekerja Indonesia ini tidak sepadan dengan harapan kami.
Ada ketidakadilan yang masih berlaku sampai saat ini.
Saya berharap, jika isu pembantu rumah ini selesai dan tidak ada lagi kes-kes yang boleh menarik perhatian awam seperti penderaan, saya rasa hubungan Malaysia-Indonesia akan menjadi lebih baik.
Isu jerebu saban tahun dikaitkan dengan masalah kebakaran hutan di Indonesia. Sebagai negara berjiran, kita sering menyalahkan satu sama lain. Sebenarnya, apa punca yang menyebabkan masalah kebakaran hutan sukar dibendung dan Bapak lihat adakah satu solusi dalam menanganinya?
Isu jerebu terbesar adalah pada 2015. Selama saya empat tahun di sini, tiada isu jerebu yang besar.
Sebenarnya, Indonesia juga mengambil berat akan isu ini kerana ia memberi kesan dari segi kesihatan. Masalah ini berkait dengan isu penerokaan hutan dan ladang kelapa sawit. Malah, kita ambil serius dalam isu ini dan banyak perusahaan yang kena hukuman kerana membakar hutan, termasuk syarikat Malaysia di sana turut didenda.
Berkaitan rancangan perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur, bagaimana Bapak melihat perpindahan ini memberi impak kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak?
Baru-baru ini Prabowo telah memberi kenyataan bahawa beliau komited untuk meneruskan pembangunan di Nusantara.
Nusantara ini adalah projek jangka panjang dan menjelang Oktober ini, sekitar 1,700 penjawat awam akan berpindah ke sana.
Malah, pembangunan di Nusantara dilihat membuka peluang yang besar untuk usahawan Malaysia.
Pada Mei lalu, kami telah membawa 55 ahli perniagaan Malaysia ke sana untuk melihat sendiri secara langsung pembangunan di situ dan ada beberapa yang serius untuk melabur di sana. Banyak peluang pelaburan yang boleh diterokai oleh usahawan Malaysia di sana sama ada untuk sektor hartanah, kesihatan dan pendidikan. Ini kerana Malaysia mempunyai kekuatan dalam sektor-sektor itu.






