PETALING JAYA – Seorang anggota tentera memiliki hati mulia apabila sanggup bernikah dengan kenalan lamanya semata-mata mahu menjaga wanita itu yang kini terlantar di atas katil akibat menderita sakit kanser paru-paru tahap empat sejak Januari lalu.
Lokman Sumadi, 35, dari Banting, Selangor berkata, dia mengambil keputusan untuk menghalalkan Nor Azurah Othman, 39, kerana menerima seadanya keadaan wanita itu dan bukannya mencari kesempurnaan pasangannya.
Lebih meruntun hati apabila Nor Azurah yang tidak boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri meminta Lokman mengundur diri sehari sebelum mereka bernikah pada 18 Ogos lalu.
“Dua kali dia ulang dan kata pada saya ada masa lagi untuk fikir sebab dia hanya terlantar atas katil.
“Saya bukan cari sempurna tetapi terima seadanya. Apa yang ada pada saya ketika ini sudah cukup dan saya bersyukur. Walaupun tahu dia ada sakit, saya tetap melangsungkan perkahwinan,” katanya kepada Kosmo!.
Sebelum ini, video pernikahan mereka tular apabila kembar Nor Azurah memuat naiknya di TikTok.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, Nor Azurah menjadi miliknya dengan sekali lafaz sambil disaksikan wanita itu melalui panggilan video kerana sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Ketika akad nikah, saya rasa janggal kerana pengantin perempuan tiada di belakang seperti lazimnya, namun bersyukur kerana proses ijab dan kabul berjalan dengan mudah sekali,” katanya.
Ujarnya, selepas selesai, dia bergegas ke hospital untuk menyarungkan cincin kepada isterinya dan mereka sebak kerana tidak percaya sudah bergelar suami isteri.
Menurut Lokman, isterinya sempat bergurau dengan bertanyakan siapa ni dan dia menjawab Lokman, suami awak sebelum wanita itu tersenyum gembira.
“Bagi saya, senyumannya adalah segala-galanya dan kalau tengok dia tidur dan murung saya susah hati. Perkahwinan ini merupakan salah satu cara buat dia gembira,” katanya.
Tambahnya, mereka sepatutnya bernikah pada 7 September depan, namun dipercepatkan kerana keadaan kesihatan Nor Azurah yang makin merosot.
“Pada mulanya kami rancang nikah pada Jun tetapi ditangguhkan ke September kerana isteri kerap masuk hospital. Bila keadaannya semakin merosot, saya bincang dengan keluarga untuk percepatkan,” katanya.
Ujar Lokman, dia mengambil keputusan itu kerana untuk memudahkannya menjaga Nor Azurah di hospital kerana batas aurat mengehadkan urusan mereka.
Katanya, kerjayanya sebagai anggota tentera sudah pasti memberi kemudahan dan keselesaan kepada Nor Azurah untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik.














