fbpx
TERDAPAT 12 busana batik diketengahkan oleh Ruzzgahara dalam koleksi batik musim bunga/panas pada KLFW 2024.

Bunga ketam guri motif signatur batik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATIK merupakan seni kraf tangan yang unggul di Malaysia. Seni penghasilannya yang unik memberikan nilai estetika terhadap batik. Ini menjadikan batik sebagai salah satu industri warisan Melayu yang masih terpelihara.

Sebagai usaha mengangkat serta memartabatkan pemakaian batik, jenama batik artisan terkenal tanah air, Ruzzgahara baru-baru ini mempamerkan koleksi batik musim bunga/panas sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2024.

Pentas peragaan KLFW 2024 pada minggu lalu diserikan dengan koleksi batik rona hijau dan biru yang memukau penonton.

Pengasas dan Pengarah Kreatif Ruzzgahara, Nik Faiz Nik Amin, 39, berkata, koleksi tersebut menonjolkan keindahan serta ketelitian penghasilan batik daripada fabrik sehinggalah jahitannya.

“Bagi koleksi kali ini, kami menampilkan sebanyak 12 busana batik, yang mana setiap rekaannya cukup unik dan istimewa.

“Koleksi ini mengetengahkan beberapa jenis fabrik berbeza seperti sifon, sutera dan kapas bagi memberikan kepelbagaian kepada pemakai,” katanya.

Mempertaruhkan bunga ketam guri yang menjadi motif signatur Ruzzgahara, setiap busana dipamerkan mempunyai ciri-ciri khas.

Ini membezakan batik Ruzzgahara dengan jenama-jenama batik lain di pasaran.

“Motif pilihan bagi koleksi ini adalah bunga ketam guri. Ia merupakan bunga jenis kecil yang saya perkenalkan sejak tahun 2010.

PILIHAN rona hijau dan biru dalam koleksi kali ini diinspirasikan daripada warna-warna alam.

“Motif ini biasanya ditemui pada ukiran kayu sejak 400 tahun lalu. Saya mengambil inspirasi daripada motif itu untuk digunakan pada koleksi batik Ruzzgahara dan diubah mengikut cita rasa saya.

“Sejak itu, saya tidak pernah mengubah emblem ini dalam rekaan batik kami memandangkan ia sudah sebati dengan label Ruzzgahara,” katanya.

Bercakap mengenai pemilihan rona bagi koleksinya, Nik Faiz memberitahu, pemilihan warna hijau dan biru pada koleksinya diinspirasikan daripada rona-rona alam.

“Jika dilihat, sejak kebelakangan ini, banyak berlaku kejadian-kejadian alam di sekeliling kita. Malah, berlaku juga perkara-perkara yang tidak diingini seperti peperangan.

“Justeru, saya mahu kembali semula kepada asas kita iaitu alam semula jadi bagi memartabatkan batik Malaysia.

“Saya melihat pemilihan warna-warna sebegini lebih sesuai berbanding rona lebih ekstrem atau terang,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Faiz yang merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang mengusahakan perniagaan batik di Kelantan berkongsi harapannya supaya mereka yang berada dalam industri fesyen tidak sewenang-wenangnya melabel motif menyerupai batik sebagai batik asli.

“Saya melihat ramai yang menggunakan motif cetakan seakan-akan batik, lalu menggelar karya yang dihasilkan itu sebagai produk batik.

“Hakikatnya, batik itu bukan corak, ia adalah satu teknik.

“Jika bukan dihasilkan dengan menggunakan teknik batik, maka saya berharap agar ia tidak dilabel sebagai batik.

“Ini kerana, tindakan itu memberi kesan kepada pembuat batik seperti saya dalam usaha memartabatkan seni kreatif negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN