GURUN – Lebih 500 pembeli kediaman Taman Residensi Mesra Fasa 1 di sini kecewa apabila rumah yang dibina sejak 2019 belum boleh diduduki ekoran pemaju enggan menyerahkan kunci sehingga kini.
Projek di bawah Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) yang mengandungi 405 unit rumah teres setingkat dan 144 unit teres dua tingkat itu sepatutnya siap pada Mac 2020 lalu, namun sehingga kini belum menampakkan tanda-tanda boleh diduduki dalam masa terdekat.
Malah perjumpaan antara pembeli dengan pemaju projek itu beberapa kali sebelum ini turut menemui jalan buntu apabila pemaju hanya berjanji menyiapkan rumah tetapi gagal melaksanakan penyerahan kunci sehingga telah empat tahun berlalu.
Seorang pembeli yang merupakan kakitangan kerajaan, Abdul Rahit Mohamad Nordin,37,berkata, sepatutnya pemaju lebih prihatin dengan kebajikan mereka dengan menyegerakan proses penyerahan kunci.
“Banyak kali dah pemaju berjanji untuk menyerahkan kunci dan kali akhir ialah April tahun ini tetapi mereka gagal berbuat demikian dengan memberikan pelbagai alasan.
“Letih menunggu janji manis pemaju dan selepas ini saya berharap pihak berkuasa dapat membantu merealisasikan impian kami memperoleh kunci rumah untuk diduduki,” katanya.
Seorang penjawat awam, Syaza Nasuha Zamri,31, berkata,dia membeli rumah itu sejak 2021 dan dijanjikan setahun kemudiannya bakal boleh diduduki namun sehingga sekarang pemaju masih gagal menyerahkan kunci.
“Teruja kerana ini merupakan rumah pertama atas nama sendiri yang dibeli selepas lama menumpang rumah keluarga tetapi selepas tiga tahun saya belum boleh mendudukinya sedangkan bayaran ansuran bulanan telah dipotong sebanyak RM843 sebulan sejak dua tahun lalu.
“Rata-rata pembeli terkesan dan terbeban kerana sudahlah ansuran bulanan telah dipotong dan dalam masa sama perlu juga menjelaskan sewa rumah sebagai tempat berteduh sementara menantikan kediaman yang dibeli ini siap,” katanya.














