Menjalankan perniagaan, bekerja di sebuah syarikat komunikasi antarabangsa dan pada masa sama, belajar secara separuh masa. Inilah yang dilakukan oleh Zafira Natasya Yong, 23, biarpun bapanya mempunyai perniagaan sendiri yang boleh diwarisi tanpa perlu bekerja keras.
Sebaliknya, gadis berzodiak Libra ini mahu bekerja keras dari usia muda kerana mahu mempunyai perniagaan sendiri.
Bagi mengejar cita-citanya, dia sanggup sanggup belajar dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor walaupun sudah menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Inggeris Untuk Komunikasi Antarabudaya di UiTM.
Kosmo! Ahad berpeluang menemubual Zafira Natasya bagi mengetahui lebih mendalam mengenai dirinya serta perjalanan hidupnya ketika ini.
KOSMO! AHAD: Ceritakan tentang diri anda?
ZAFIRA: Saya merupakan Top 10 finalis dalam pertandingan Dewi Remaja 2022. Saya mula berdikari selepas tamat zaman persekolahan kerana keluarga mahu saya belajar menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Saya lebih suka memenuhi masa dengan membuat kerja berfaedah dan tidak suka membuang masa.
Mengapa menyambung belajar ijazah dalam program pengajian lain?
Pada mulanya, saya bercita-cita menjadi seorang diplomat dan itu sebabnya saya belajar bidang Komunikasi Antarabudaya dan pernah melakukan latihan praktikal di Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur selama empat bulan tahun lalu.
Saya sambung dalam Ijazah Pengurusan Perniagaan etelah tercabar dengan seorang individu yang minta saya mencari beberapa istilah yang digunakan ahli perniagaan.

Adakah anda tidak menyesal menyambung pelajaran?
Tidak pernah menyesal. Malah, saya difahamkan seseorang diplomat perlu bekerja bertahun-tahun sebelum dapat memegang jawatan tinggi.
Jadi, saya fikir lebih baik menceburi bidang perniagaan kerana jika menjalankan bisnes bersungguh-sungguh, kita mungkin boleh berjaya dalam masa singkat.
Selain itu, saya dapat ilmu bagaimana nak buat perniagaan dengan cara betul apabila menyambung pelajaran .
Apa yang tersemat di hati saya pada masa ini adalah mahu membina empayar perniagaan sendiri dan tidak mahu dibayangi oleh bapa yang sudah lama bertapak dalam dunia bisnes.
Pernah bekerja dengan sebuah syarikat dari Perancis, boleh kongsi sedikit pengalaman tersebut?
Tidak seperti orang Malaysia, orang Perancis suka terus terang. Kalau mereka mahukan sesuatu, mereka akan cakap terus, tanpa selindung. Begitulah sebaliknya, tidak berdolak-dalik.
Pernah sekali rakan sekerja saya mengucapkan perkataan ‘ya’ pada satu cadangan yang ketua berasal dari Perancis beri.
Rakan saya ingatkan ketua hanya bergurau, rupa-rupanya dia mahu ia dilaksanakan apa yang dicadangkan itu.
Pandangan tentang yang tidak mahu ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?
Bagi saya SPM adalah permulaan seseorang ke arah dunia pekerjaan.
Sepatutnya, pelajar bersyukur kerana diwajibkan mengambil SPM kerana mereka berpeluang untuk menyambung pelajaran ke menara gading.
Justeru, jangan pernah meremehkan kepentingan ilmu. Mahu jadi pempengaruh pun kena ada ilmu kerana orang mungkin tidak akan melihat video yang kita hasilkan jika ia merapu.
Orang yang anda tidak suka?
Saya tidak menyukai orang yang sombong dan lebih suka mereka yang suka merendah diri walaupun mempunyai ilmu yang banyak.
Saya juga tidak suka menghakimi orang lain tanpa mengenalinya terlebih dahulu.
Bagi saya, jangan menghakimi seseorang daripada penampilan luarannya. Mungkin penampilan luaran tidak sama dengan sikap sebenarnya.
Saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak menghakimi orang sebelum mengenali seseorang.














