fbpx
JIKA negara lain memburu pingat emas Olimpik, misi Korea Selatan pula ialah untuk memastikan emas memanah mereka tidak tercicir satu kali pun dan baru-baru ini pasukan wanitanya berjaya mengekalkan emas selama 10 edisi Olimpik berturut-turut sejak Olimpik Seoul 1988.

‘Rahsia’ dominasi memanah Korea – sejarah, genetik puncanya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DENGAN tenang, wanita berkulit cerah itu, Jeon Hun-young dari Korea Selatan melepaskan panahan pertamanya dan anak panah itu menuju tepat ke sasaran angka 10.

Dua lagi rakannya, Lim Si-hyeon dan Nam Su-hyeon turut memberi aksi hebat dalam acara akhir memanah berpasukan wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang menemukan pasukan Korea Selatan dan China di Lapangan Memanah Paris, Perancis minggu lalu.

Malah, pasukan China turut menampilkan persembahan terbaik pada perlawanan tersebut sehingga mampu mengikat Korea Selatan 4-4.

Pertarungan final itu ternyata mencetuskan ‘adrenalin’ bagi kedua-dua pasukan, di mana akhirnya pemenang terpaksa ditentukan melalui shoot-off.

Akhirnya, pasukan Korea Selatan diumumkan berjaya menewaskan China 5-4 melalui skor 29-27 apabila Hun-yong dan Si-hyeon berjaya meraih sasaran 10, sekali gus mengesahkan pingat emas Olimpik ke-10 berturut-turut mereka.

Kemenangan itu mengekalkan dominasi Korea Selatan dalam acara berpasukan wanita untuk acara memanah selama 36 tahun setelah acara itu secara rasmi dipertandingkan pada Olimpik Seoul 1988.

Menariknya, ketiga-tiga pemanah itu merupakan atlet muda Korea Selatan yang baru pertama kali membuat penampilan di pentas Olimpik.

Jika negara-negara lain memburu emas, misi Korea Selatan adalah untuk memastikan emas memanah tidak sesekali tercicir.

“Saya amat gembira berjaya mengekalkan kemenangan ini dalam sejarah memanah Korea Selatan.

“Walaupun negara lain telah menunjukkan aksi yang semakin baik, namun kami sentiasa cuba mengekalkan rekod ini,” kata Si-hyeon kepada satu agensi berita.

Si-hyeon turut mencipta sensasi pada hari pertama acara memanah Olimpik Paris apabila berjaya mencipta rekod dunia memanah wanita dengan skor 694 pada pusingan penentuan ranking individu.

Dia berjaya memecahkan rekod dunia milik pemanah terdahulu negaranya iaitu Kang Chae-yong dengan skor 692.

Acara memanah telah didedahkan dalam kalangan anak muda Korea sejak kecil.

Selain acara berpasukan wanita, Korea Selatan juga berjaya merangkul pingat emas ketiga berturut-turut dalam acara berpasukan lelaki di Olimpik Paris dengan mengalahkan negara tuan rumah, Perancis.

Untuk rekod, Korea Selatan telah mengambil bahagian dalam acara memanah individu sejak 1984 dan acara berpasukan sejak 1988 dengan memenangi 29 pingat emas, sembilan perak serta tujuh gangsa.

Pasukan memanah Korea Selatan mempunyai ceritanya yang tersendiri terhadap penguasaan konsisten mereka dalam acara memanah.

Malah, para atlet mereka dikatakan perlu melalui pemilihan yang sengit melebihi tahap Olimpik.

Atlet memanah negara itu perlu menewaskan yang terbaik untuk menjadi ‘terpaling baik’ di negara sendiri.

“Negara kami mempunyai begitu ramai atlet yang hebat dalam sukan memanah dan hanya yang terbaik daripada kami boleh pergi ke Sukan Olimpik,” jelas bekas pemanah Korea Selatan, Ki Bo-bae. Bo-bae sebelum ini pernah memenangi tiga pingat emas di Sukan Olimpik.

Ramai pemanah negara itu menyebut bahawa mereka perlu lalui tahap persaingan tinggi untuk ke Olimpik.

“Hanya perbezaan tipis yang membezakan kebanyakan atlet memanah di Korea Selatan dan mereka melalui proses pemilihan yang adil.

“Kami melalui proses pemilihan pelbagai peringkat di dalam negara dan menewaskan pesaing hebat untuk menjadi ahli pasukan kebangsaan dan bersaing di Olimpik.

“Saya fikir sebab itu Korea Selatan sangat bagus,” kata Chae-young yang merupakan ahli pasukan wanita Korea Selatan untuk Sukan Olimpik Tokyo.

Malah, Korea Selatan tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada atlet memanah yang memiliki pencapaian hebat pada masa lalu.

Ini bermakna, pemenang pingat emas Olimpik sebelum ini juga perlu bersaing dari awal untuk mendapatkan tempat ke kejohanan sukan seterusnya.

Hal ini mendorong para atlet untuk mengasah kemahiran mereka secara berterusan agar sentiasa berada pada tahap terbaik.

SI-HYEON berjaya mencipta rekod dunia memanah wanita dengan catatan mata 694.

Untuk menyempurnakan kemahiran mereka, para pemanah melalui latihan yang sangat mencabar sejak usia muda.

Sebelum ini ada agensi berita melaporkan bahawa teori ‘jari kimchi’, di mana ketangkasan pemanah Korea Selatan kononnya disebabkan penggunaan chopsticks atau penyepit.

Mitos itu disangkal dengan fakta bahawa penyepit turut digunakan oleh negara lain, namun mereka tidak dapat menguasai sukan tersebut.

Sebagai contoh, China hanya memenangi satu pingat emas Olimpik, manakala Jepun tidak pernah memenangi acara memanah.

Justeru, kebanyakan pakar mengaitkan kejayaan pemanah Korea Selatan dengan pendekatan biomekanik mereka sehingga menghasilkan teknik memanah sempurna.

Mereka meluangkan masa beberapa bulan mempelajari asas dan pengabdian selama bertahun-tahun meningkatkan kemahiran sukan itu.

Kejayaan itu juga hasil pendekatan Persatuan Memanah Korea Selatan pada 2013 yang mengumumkan rancangan jangka panjang untuk membangunkan masa depan memanah negara itu.

Ia merangkumi aspek pemilihan dan sokongan kepada atlet remaja berpotensi.

Pada tahun sama, persatuan itu memilih 10 pemanah berumur 15 tahun ke bawah untuk menerima peralatan dan latihan yang sebelum ini dikhususkan kepada atlet kebangsaan.

Selain itu, ada juga pihak mengaitkan keunggulan Korea Selatan dalam memanah hasil didikan sejak sekolah rendah. Mereka yang dikesan berbakat akan dilatih di sekolah menengah dan universiti.

Kim Je Deok yang memenangi dua pingat emas Olimpik Tokyo pada usia 17 tahun menyatakan dia terlibat dengan sukan memanah pada usia lapan tahun.

“Saya mula memanah ketika darjah tiga iaitu di sekolah rendah.

“Selepas ke sekolah biasa pada waktu pagi, saya akan mengikuti kelas memanah pada sebelah petang.

“Jika ada pertandingan, saya akan berlatih pada hujung minggu,” jelasnya.

Menariknya, di Korea Selatan, hampir setiap sekolah mempunyai kelab memanah. Terdapat kira-kira 900 pemanah berlatih di kelab sekolah rendah di seluruh negara.

“Sebagai seorang kanak-kanak sekolah rendah, saya memanah sekitar 300 hingga 500 anak panah setiap hari.

“Kini, saya memanah sekitar 300 hingga 400 anak panah dan cuba memberi tumpuan lebih kepada hasil berbanding jumlah,” kata Je Deok.

Firstsportz.com turut melaporkan beberapa ‘rahsia’ lain mengapa Korea Selatan hebat dalam memanah, antaranya sejarah negara itu sendiri.

Korea Selatan mempunyai tradisi memanah sejak era prasejarah lagi.

Memanah tradisionalnya dinamakan sebagai ‘gakgung’ atau busur tanduk.

Kejayaan Korea Selatan dalam beberapa peperangan menentang pencerobohan Jepun pada kurun ke-16 juga dikaitkan dengan kehebatan pasukan tentera memanah negara itu.

Pada kurun ke-19, memanah menjadi acara rekreasi popular di Korea Selatan setelah tentera tidak lagi mengamalkannya.

Terdapat juga pihak mendakwa, kehebatan Korea Selatan disebabkan genetik. Hal ini pernah dibangkitkan apabila pemanah buta mata kiri, Im Dong-hyun berjaya mencipta rekod dunia individu dan kumpulan pada Olimpik London 2012.

Orang Korea Selatan dikatakan secara genetiknya mempunyai sensitiviti hujung jari yang hebat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN