fbpx
SAMIDAH berjaya dalam bisnes katering dan penyediaan kelengkapan majlis keraian.

Samidah ‘bersinar’ pada usia emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENAR bagai dikata, umur bukanlah penghalang bagi seseorang menggapai kemanisan dan kejayaan dalam hidup.

Semangat wanita berstatus ‘nenek’ ini wajar dikagumi kerana tidak pernah mengeluh apatah lagi berputus asa, selain tidak meninggi diri selepas mengecapi kejayaan.

Dia mengakui sudah sebati dalam dunia perniagaan sejak kecil kerana dikelilingi ahli keluarga yang meminati bidang itu. Ini sekali gus mendorongnya untuk turut mengukir kejayaan dalam bisnes.

Bagi Samidah Salim, 61, dia berjaya membuktikan bahawa golongan wanita mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki asalkan mempunyai keazaman serta kesungguhan luar biasa.

Katanya, dia menceburi bidang perniagaan sejak 30 tahun lalu dengan mengusahakan butik pakaian dan beberapa cabang bisnes lain.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia memulakan perniagaan dengan membuka butik pakaian sebelum beralih kepada bidang masakan dan katering.

“Anak-anak ketika itu semuanya masih kecil. Ini menyebabkan saya dan suami perlu bekerja keras bagi memastikan kehidupan dapat diteruskan sama seperti orang lain.

“Berkat minat dan keazaman, saya tekad untuk terus melangkah dalam mengusahakan bisnes, Mazmida Katering,” katanya kepada Aura.

Jelasnya, apa juga bidang pasti ada cabarannya, namun Samidah sama sekali tidak pernah berasa tertekan dengan apa yang dilakukannya ketika ini.

Menurutnya, biarpun perniagaan kateringnya hanya beroperasi di rumah, tetapi sambutan diterima amat menggalakkan dan rata-rata pelanggan berpuas hati dengan masakannya.

“Kesusahan yang dilalui sebelum ini berkurangan apabila anak-anak semakin membesar dan mula membantu saya.

“Kini, anak pula yang mengambil alih tugas dan meneruskan perniagaan ini. Saya seronok melihat kesungguhan mereka,” ujarnya.

Samidah berkata, seperti mana dia mendisiplinkan dirinya, dia turut menggunakan konsep sama dalam mendidik anak-anaknya supaya bisnes diusahakan dapat diteruskan dari generasi ke generasi.

Laman Mazmida di Klang, Selangor.

“Bidang katering ini perlukan kekuatan, kesungguhan dan keikhlasan kerana kita menyajikan makanan kepada pelanggan.

“Aspek kebersihan dan kesucian juga amat penting untuk mendapat rezeki yang berkat.

“Asalkan semua aspek utama diikuti, saya yakin apa yang diusahakan ini dapat diteruskan,” katanya.

Dalam usaha mencetuskan kelainan di sekitar Klang, Selangor, Samidah yang merupakan anak kelahiran daerah itu berusaha mencari lokasi strategik demi merealisasikan impian perkahwinan dalam taman.

“Sejak itu, saya sekeluarga berusaha mencari kawasan lapang untuk dibangunkan menjadi Laman Mazmida yang dilengkapi khemah dengan berkonsepkan sebuah taman.

“Syukur, kami menemui kawasan lapang seperti yang dihajatkan di Jalan Sungai Jati sebelum mula membangunkan Laman Mazmida sejak Mei 2016,” katanya.

Bagi memudahkan pelanggan, Laman Mazmida dilengkapi keperluan untuk semua majlis atau acara keraian.

“Bermula daripada katering, pelamin, meja, kerusi dan kelengkapan lain, semuanya ada di sini.

“Pelanggan hanya perlu menyediakan hadiah cenderamata untuk diberikan kepada tetamu.

“Kebanyakan pelanggan yang menyewa laman ini untuk majlis perkahwinan, pernikahan, jamuan makan dan kesyukuran.

“Kami menerima tempahan bermula untuk 100 orang tetamu dalam satu majlis,” katanya.

Samidah berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan rapi dengan setiap pelanggan terlebih dulu bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah ketika majlis berlangsung.

“Saya sekeluarga akan bangun seawal pukul 3 pagi untuk menyiapkan segala keperluan majlis.

“Dalam soal penyediaan hidangan, saya sendiri yang akan memberi tunjuk ajar kepada anak dan pekerja bagi memastikan rasa setiap makanan tidak berubah,” ujarnya.

Menurut Samidah, tempahan perlu dibuat setahun awal sebelum majlis berlangsung bagi mengelakkan sebarang kesulitan terutama pada tarikh musim cuti sekolah.

Tambah Samidah, dengan harga berpatutan ditambah kelengkapan di lokasi, Laman Mazmida diyakini mampu membantu menyelesaikan masalah bakal raja sehari atau sesiapa saja yang ingin mengadakan sebarang majlis.

“Laman ini dibuka untuk merealisasikan impian individu yang inginkan majlis berkonsepkan taman indah pada harga berpatutan.

“Seronok apabila melihat pelanggan gembira dan kami dapat menyempurnakan majlis penting mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN