PERPUSTAKAAN, pusat sumber atau disebut kutub khanah sering dikaitkan dengan sebuah tempat yang menghimpunkan pelbagai buku serta bahan-bahan ilmiah.
Pusat berkenaan juga menjadi wadah kepada pelajar dan orang ramai membuat rujukan sama ada bagi melengkapkan tugasan atau mengisi masa lapang.
Peranan pusat sumber sebagai gedung ilmu dalam era siber telah mengalami transformasi apabila wujudnya perpustakaan maya yang boleh diakses di mana-mana sahaja.
Ketua Pustakawan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ts. Azizi Jantan berkata, zaman pelajar ‘berbondong-bondong’ ke pusat sumber untuk meminjam buku fizikal atau mencari dokumen rujukan seperti tesis dan manuskrip telah berlalu.
Menurutnya, paling mutakhir, perpustakaan mewujudkan khidmat repositori bagi membolehkan pengguna merujuk data yang disimpan secara elektronik dalam organisasi.
“Gudang informasi ini direka bentuk untuk memudahkan proses melapor dan menganalisis data.
“Komponen yang paling penting dalam sistem gudang data adalah pencapaian semula data, penganalisisan, pengekstrakan, pemindahan, pembuatan dan pengurusan kamus data.
“Kini, takrifan gudang data diperluaskan lagi dengan memasukkan peralatan kecerdasan perniagaan, peralatan mengekstrak dan memindahkan data ke dalam repositori,” katanya ketika ditemui di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Azizi berkata, PTAR dirasmikan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 29 Julai 1972.
Repositori PTAR berada di kedudukan ke-40 di dunia sekali gus nombor satu di negara ini.
“Di peringkat pendidikan tinggi, repositori institusi adalah satu keperluan di perpustakaan yang berfungsi sebagai wadah pembudayaan ilmu.
“Malah, ia menyumbang kepada kesejahteraan global menerusi perkongsian hasil penyelidikan.
“Justeru, kewujudan banyak repositori di negara ini amat wajar dalam menyokong hala tuju penyelidikan negara,” katanya.
Azizi yang berpengalaman selama 19 tahun dalam bidang pustakawan berkata, fungsi repositori institusi adalah untuk memantapkan pembudayaan ilmu pelajar dan tenaga pengajar.
Katanya lagi, sejak permulaan abad ke-21, banyak organisasi berlumba-lumba membangunkan sistem repositori secara sistematik dan mampan.
“Fenomena ini bukan sahaja melanda institusi pengajian tinggi yang sememangnya sinonim dengan landskap kesarjanaan, malah turut mendorong organisasi lain.
“Sehingga suatu ketika, pembangunan repositori dijadikan agenda utama institusi kerana nilainya kepada
ahli akademik dan saintis.
“Hal ini disebabkan oleh banyaknya penghasilan penyelidikan yang kemudiannya dijadikan sumber rujukan utama penyelidikan baharu,” katanya.

ke perpustakaan maya, Repositori UiTM.
Jelasnya lagi, semua maklumat penyelidikan tempatan seharusnya dikumpul dan disimpan di dalam repositori institusi.
Katanya, ia perlu diurus oleh pengurus maklumat yang mahir dalam mengendalikan metadata.
Tambahnya, medan-medan data yang mengandungi maklumat judul, bidang, pengarang, institusi, tahun terbitan, kata kunci, lokasi, malah nombor panggilan dapat memudahkan capaian semula maklumat berkenaan.
“Di sini perlunya fungsi pustakawan yang mahir dalam mengendalikan metadata bagi memenuhi standard antarabangsa.
“Ini kerana, sistem repositori institusi perlu menyimpan jutaan naskhah ilmu.
“Kepesatan teknologi maklumat di era Revolusi Industri 4.0 telah membolehkan bahan repositori institusi diindeks dan diintegrasi dengan enjin carian dalam talian.
“Antara enjin carian adalah Malaysian Academic Library Institutional Repository (MALRep), Malaysian Theses Online (MyTO), Google Scholar, CORE UK dan Bielefeld Academic Search Engine (BASE),” katanya.
Ujarnya lagi, ruang storan bukan lagi satu cabaran kerana konsep storan awan telah menjadi pilihan yang menguntungkan dari segi kos pembelian dan penyelenggaraan.
Mengulas mengenai bahan ilmiah dalam repositori PTAR, katanya, terdapat hampir 80,000 hasil penulisan merangkumi pelbagai bidang seperti keusahawanan, perniagaan, perakaunan, undang-undang, sains dan teknologi.
Menariknya, Repositori Institusi UiTM telah berjaya meraih tumpuan kumpulan penyelidik tempatan dan antarabangsa.
“Buktinya, penyelidik dari pelbagai negara seperti Indonesia, Amerika Syarikat, Filipina dan India telah memuat turun lebih 2 juta bahan penyelidikan Repositori Institusi UiTM pada tahun lalu.
“Jika dibandingkan pada 2021, hanya 500,000 muat turun dan angka ini terus meningkat saban tahun.
“Repositori Institusi UiTM telah menjulang nama universiti di peringkat global,” katanya.
Repositori Institusi UiTM satu-satunya repositori di negara ini yang tergolong dalam kelompok 50 terbaik di dunia dalam Ranking Web of Repositories.
Ini disebabkan oleh kapasiti bahan penyelidikan yang banyak.
“Hal ini merupakan satu penanda aras jelas bahawa penyelidikan universiti semakin berkembang dan bergerak aktif,” ujarnya.
Azizi memberitahu, data penerbitan penyelidikan warga universiti yang disimpan di dalam Repositori Institusi UiTM telah menyumbang kepada penarafan lima bintang ‘Malaysia Research Assessment’ (MyRA).
Untuk makluman, MyRA merupakan satu instrumen pengukuran aktiviti penyelidikan universiti awam dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
“Berbekalkan reputasi 16 tahun yang membanggakan dalam mengurus repositori, PTAR akan terus melebar sayapnya bagi membantu agensi luar membangunkan repositori mereka.
“Misalnya, pada tahun 2022, PTAR telah bekerjasama dengan Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membangunkan repositori rekod yang sehingga hari ini masih diguna pakai.
“Terkini, PTAR sedang bekerjasama erat bersama lima lagi organisasi bagi membangunkan repositori.
“Antaranya, Repositori Fatwa Negeri Selangor di Jabatan Mufti Negeri Selangor, Repositori Penyelidikan Selangor (Institut Darul Ehsan) dan Repositori Gambar Kenangan (Rural & Industrial Development Authority),” jelasnya.
Ulasnya lagi, dengan cara itu, PTAR dapat menyumbang pengetahuan dan kemahiran terhadap kelestarian masyarakat, di samping mendepani cabaran dengan cara lebih baik.
Mengulas lanjut, Azizi berkata, kepakaran pengurusan repositori sewajarnya dikongsi dengan komuniti.
“Ia juga akan menjadi satu penyelesaian yang tuntas terhadap isu pemeliharaan dan pengaksesan rekod.
“Perkara ini harus diselesaikan secepat mungkin agar negara tidak terjerumus dalam isu melibatkan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan penyimpanan maklumat seperti tuntutan Pulau Batu Puteh.
“Dengan keadaan dunia pada hari ini, repositori adalah jawapan kepada penerbitan ilmiah dan sumber rujukan tanpa kos.
“Repositori juga adalah jawapan kepada penerbitan penyelidikan yang tidak popular.
“Namun, ia perlu dihasilkan buat kumpulan penyelidik minoriti dan amat berguna pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, dalam jangka masa panjang, repositori institusi adalah jaminan supaya hasil penyelidikan hari ini terus dirujuk dan tidak hilang daripada radar penyelidikan antarabangsa.
















