MELEPAK bersama rakan-rakan di kedai mamak sehingga pukul 3 pagi merupakan rutin harian bagi Ismail (bukan nama sebenar).
Biarpun ‘berbuih’ mulut ibu dan bapanya menegur, namun lelaki yang menganggur itu merasakan ia merupakan lumrah hidup sebagai anak bujang.
Namun, pengalaman terserempak dengan susuk wanita bersama anak kecil telah membuatkannya insaf untuk pulang lewat.
Berkongsi cerita kepada Panorama, anak muda berasal dari Subang Jaya, Selangor itu berkata, bulu romanya meremang setiap kali teringat tentang peristiwa tersebut.
“Saya tinggal di kawasan perumahan teres biasa. Jadi, siapa sangka di bandar pun ada benda-benda mistik.
“Pukul 3 pagi, lampu jalan pun masih terang lagi. Cuma hari itu, saya pun tak pasti kenapa situasi sangat berbeza,” katanya.
Pada malam ‘bertuah’ itu, Ismail pulang ke rumah dengan menaiki motosikal setelah menghabiskan masa bersama rakan-rakannya di kedai mamak.
Sewaktu dalam perjalanan, dia ternampak kelibat seorang wanita bersama anak kecil sedang berjalan di pinggir jalan.
Prihatin dengan keadaan dua beranak itu, Ismail terdetik hati untuk bertanya tentang keadaan wanita berkenaan tanpa rasa sangsi.
Kataya, tidak mustahil wanita itu mengalami masalah rumah tangga sehingga terpaksa berjalan dalam gelap malam.
“Sekarang ini banyak kes keganasan rumah tangga, jadi naluri pertama saya adalah untuk membantu ibu dan anak itu.
“Saya memperlahankan motosikal dan bertanyakan tentang keadaan wanita itu. Namun, wanita itu dan anaknya tidak toleh ke belakang langsung,” jelasnya.
Terdetik dalam hati Ismail, wanita itu pasti takut untuk bercakap dengan lelaki asing yang tiba-tiba menegurnya pada pukul 3 pagi.
Bagaimanapun, dia tidak berputus asa untuk menghentikan langkah wanita dan anaknya itu.
Setelah beberapa minit, wanita dan anak perempuannya berhenti tanpa menoleh ke belakang.
Tiba-tiba, bau bunga melur kuat menusuk ke rongga hidung Ismail dan dia berasa seram sejuk.
Ujarnya, wanita dan anaknya itu pula tiba-tiba ketawa mengilai persis suara pontianak dalam filem-filem seram.
“Saya sangat terkejut mendengar mereka mengilai. Saya boleh nampak mereka mula toleh ke arah saya secara perlahan-lahan.
“Melihat keadaan itu, saya terus pecut motosikal dan meninggalkan wanita dengan anak itu,” kongsinya lagi.
Malangnya, dia berasa motosikal dinaiki sangat berat, seolah-olah ibu dan anak itu memboncengnya. Enggan melihat cermin pandang belakang motosikalnya, Ismail meneruskan perjalanan sehingga ke rumah.
Sesekali, dia berasa seram sejuk dan seakan-akan ada anak kecil sedang memeluk pinggangnya. Lebih seram, dia ternampak kelibat wanita dan anak kecil itu berada di depan pintu rumahnya.
Jelasnya lagi, dia berasa sangat buntu, lalu memilih untuk berpatah balik ke kedai mamak tersebut.
“Sampai saja di kedai mamak, saya terus telefon rakan-rakan dan minta untuk bermalam di rumah mereka.
“Keesokannya, saya demam panas selama seminggu. Sejak itu, saya tidak balik awal pagi lagi, paling lewat pun pukul 12 tengah malam ,” katanya.














