fbpx
RACUN tikus dari China yang dijual pada harga RM5 untuk tiga peket kecil di sebuah pasar di Alor Setar.

‘Tiga saat makan sudah boleh mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Racun tikus yang tidak berdaftar dari China dipercayai lebih ‘kuat’ dan harganya murah selain boleh membunuh dalam masa tiga saat sahaja jika dimakan haiwan perosak.

Tinjauan Kosmo! di daerah ini mendapati, pelbagai jenis racun terma­suk racun tikus yang dipercayai tidak berdaftar mudah didapati di pasaran tempatan termasuk di pasar berikutan permintaan tinggi pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, racun yang kebanyakannya dari China itu menjadi pilihan kerana berkesan membasmi haiwan perosak, selain harga yang murah iaitu antara 50 sen hingga RM3 sepeket.

“Namun, sebilangan individu didapati mencampurkan racun dengan makanan yang bertujuan untuk memerangkap haiwan pe­rosak dan meletakkan bahan itu di kawasan terbuka serta mudah diambil pihak lain.

“Kecuaian itu mendedahkan orang lain terutama kanak-kanak yang berkemungkinan akan mengambil makanan dicampur racun tersebut dan memakan­nya. Sikap cuai itu boleh mengundang maut jika mangsa tidak dirawat dengan cepat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

MOHAMAD YUSRIZAL

Katanya, meskipun kes-kes keracunan racun haiwan perosak jarang berlaku, namun ia perlu diambil perhatian serius kerana te­lah meragut nyawa baru-baru ini.

“Ia lebih kepada kecuaian dan pekebun perlu jadikan kes-kes keracunan yang berlaku baru-baru ini sehingga meragut nyawa dua anak kecil sebagai iktibar.

“Pengguna juga perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan serta menyimpan racun di rumah bagi mengelakkan anak-anak kecil termakan bahan itu,” ujarnya.

Tinjauan sama mendapati, racun tikus yang tidak berdaftar bukan sahaja mudah dibeli di pasar-pasar, malah dijual secara berleluasa secara dalam talian pada harga serendah
RM1.50 sepeket.

Tinjauan di beberapa platform e-dagang menunjukkan jualan pelbagai jenis racun tikus sama ada dalam bentuk serbuk, tablet dan cecair dengan iklan mendakwa produk itu 100 peratus berkesan.

Beberapa iklan jualan racun tikus jenis serbuk dan cecair me­nyatakan bahawa haiwan perosak tersebut boleh mati hanya dalam masa tiga saat selepas termakan bahan itu.

Ada juga iklan mendakwa tikus yang mati itu boleh ditemui pada jarak kira-kira tiga meter dari umpan racun berkenaan.

Selain itu, terdapat juga racun tikus yang berbentuk biji berwarna-warni.

SEORANG remaja termakan biskut yang dicampur dengan racun bagi menghapuskan kera di Kemaman baru-baru ini.

Tinjauan di sebuah pasar di sini mendapati jualan racun tikus dipercayai tidak berdaftar tanpa label Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) dijual secara terbuka di sebuah gerai di situ.

Dakwa peniaga terbabit, racun tikus dari China itu sangat berkesan dan tikus yang memakannya pasti mati.

“Racun ini agak bahaya, tikus yang makan pasti mati. Pastikan racun ini diletakkan di tempat sesuai,” katanya di sini semalam.

Katanya, racun tikus dijual pada harga RM5 bagi tiga peket kecil dan produk itu menjadi pilihan pelanggan kerana berkesan serta murah.

Selain racun tikus, gerai berkenaan turut menjual racun serangga seperti nyamuk dan lipas.

Sementara itu, Pusat Racun Negara (PRN) menyeru pengguna lebih prihatin dengan sama sekali tidak menggunakan racun perosak yang tidak berdaftar ia­itu tiada nombor Lembaga Racun

Makhluk Perosak (LRMP), tiada pelabelan lengkap dan meme­nuhi piawaian seperti label dalam bahasa asing tanpa ada bahasa Melayu atau Inggeris serta tidak menyenaraikan bahan aktif di dalamnya.

“PRN juga menasihatkan pengguna agar tidak menggunakan makanan sebagai umpan jika ia boleh dilakukan dengan bahan lain. Jika masih perlu menggunakan makanan, pastikan letak di tempat dirancang berserta amaran bersesuaian supaya orang dewasa yang kurang prihatin tidak menjadi mangsa, namun risiko kepada kanak-kanak masih ada.

“Umpan makanan beracun itu perlu diletakkan di tempat yang tidak boleh dicapai kanak-kanak,” jelasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan dua beradik iaitu Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, maut selepas termakan makanan ringan yang dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi di Labu Besar, Kulim pada 7 Julai lalu.

Dua beradik yang kritikal itu masing-masing meninggal dunia pada 10 dan 12 Julai lalu di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang.

Kes sama turut dilaporkan berlaku di Kemaman, Terengganu membabitkan seorang remaja lelaki, Mohd. Daynail Haikal Alias, 13, yang nyaris maut akibat termakan biskut dipercayai mengandungi racun yang digunakan untuk membunuh kera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN