KUALA PILAH – Ibu seorang remaja hilang tidak senang duduk siang dan malam memikirkan bagaimana keadaan anak gadisnya yang dibela sejak berusia tiga bulan itu apabila dia gagal dikesan sejak 20 hari lalu.
Siti Fatimah Mat Lazim, 43, berkata, anaknya, Fiffy Arnatasya Abdullah, 16, kali terakhir dilihat di Kampung Terusan, Juasseh, di sini.
“Adik (Fiffy) tidak bawa wang atau dokumen. Kalau ada masalah boleh kembali ke sini dan kita bincang.
“Kasihanlah pada ibu, wan dan abah dik. Kami bimbang kerana adik di luar dan macam-macam boleh jadi apatah lagi adik perempuan,” luahnya dalam nada sebak.
Ujar Siti Fatimah, Fiffy yang lebih mesra dipanggil Nisa merupakan anak yang mendengar kata, baik dan rapat dengan lima adik beradik lain.
Di Pontian, Noorlinayati Mok Parin, 46, berharap tiada kejadian buruk menimpa adiknya, Muhamad Sufian, 39, yang hilang sejak tiga minggu lalu.
“Tiada khabar berita. Kami cuba pelbagai cara termasuk kaedah tradisional, namun masih hampa.
“Kami risau jika perkara buruk berlaku padanya seperti apa yang berlaku kebelakangan ini kepada orang hilang,” katanya.
Tambah Noorlinayati, adiknya pernah berkahwin tetapi sudah bercerai dengan isterinya tujuh tahun lalu.
Kesemua mereka telah membuat laporan polis.
















