fbpx
Umat Islam dituntut melakukan solat dalam keadaan khusyuk. – Gambar hiasan

K2

Hukum angguk, geleng kepala ketika khusyuk solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Assalamualaikum, apakah hukum apabila seseorang imam membaca secara jahar (kuat) dengan kepala tergeleng-geleng dan terangguk-angguk ketika sedang solat? Persoalan saya, adakah sah solat tersebut dan bolehkah saya menjadi makmum kepadanya? Ini kerana, saya melihat ada yang melakukan dengan ketara melebihi tiga kali pergerakan berturut-turut.

Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Secara asasnya, kita dituntut untuk mendirikan solat dalam keadaan khusyuk berdasarkan firman Allah SWT: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mu’minun: 1-2)

Imam Zakaria al-Ansari menerangkan makna khusyuk dalam solat adalah menghadirkan hati, tenang dengan tidak bergerak-gerak serta mentadabbur makna ayat yang dibaca ketika solat.

Sebahagian ulama salaf juga menyebutkan bahawa maksud khusyuk dalam solat adalah mendirikannya dalam keadaan tenang dan tidak bergerak-gerak.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: “Sebahagian daripada ulama salaf menjelaskan maksud khusyuk ialah tenang ketika melaksanakannya.(Rujuk al-Majmuk, 3:519)

Di samping itu, terdapat perbuatan bergerak-gerak ketika membaca al-Quran, berzikir dan seumpamanya itu. Ia disebut sebagai al-tamayul.

Kebiasaannya, ia dilakukan untuk menunjukkan kekhusyukan seseorang ketika melakukan sesuatu ibadah.

Bagaimanapun, perbuatan seumpama itu dilarang ketika seseorang sedang solat kerana ia tidak menggambarkan kekhusyukan, bahkan kekhusyukan itu adalah di dalam hati.

Hal ini sepertimana Saidina Umar RA pernah menegur seseorang yang melakukan sedemikian bahawa:

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab RA melihat seorang lelaki yang menunduk-nundukkan kepalanya.

Lalu beliau RA berkata: “Wahai orang menundukkan tengkuk, tegakkanlah tengkuk kamu. Sesungguhnya khusyuk itu bukanlah di tengkuk, tetapi khusyuk itu di dalam hati.” (Rujuk Ihya Ulumuddin, 3:296)

Selain itu, hukum melakukan perbuatan sedemikian dalam solat adalah makruh jika pergerakan tersebut tidak melibatkan tiga kali pergerakan secara berturut-turut.

Namun, jika melebihi tiga kali, maka solatnya tersebut batal.

Hal ini sepertimana disebutkan Syeikh Sayyid Abd al-Rahman Ba’alawi bahawa: Hukum al-Ihtizaz dalam solat iaitu perbuatan bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan adalah makruh jika tidak melibatkan pergerakan yang banyak. Jika tidak, maka solat tersebut batal.(Rujuk Bughyat al-Mustarsyidin, 1:111)

Manakala, bagi makmum yang melihat imam melakukan perbuatan yang membatalkan solat tersebut, maka wajib baginya untuk keluar daripada berjemaah (mufaraqah) dengan imam tersebut.

Ini kerana, orang yang terbatal solatnya tidak dikira solatnya, maka tidak boleh untuk berimamkannya.

Kesimpulannya, hukum mengangguk dan menggeleng ketika membaca al-Quran dalam solat adalah makruh.

Namun, sekiranya pergerakan itu melibatkan tiga pergerakan berturut-turut, maka solat tersebut batal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN