Nor Hazira (kiri) dan Muhammad Akmarizal kesal apabila video mengenai keadaan rumah mereka di Tanah Merah yang dipenuhi longgokan sampah ditularkan semula baru-baru ini.

‘Henti tular video rumah saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Seorang ibu tunggal kesal dengan tindakan pihak yang menularkan semula keadaan rumahnya dipenuhi sampah hingga menyebabkan keluarganya menanggung malu.

Nor Hazira Ahmad, 45, berkata, video itu dirakam pihak berkuasa yang menyerbu rumahnya untuk menahan anak­nya yang disyaki terlibat dengan dadah pada awal tahun lalu.

Katanya, dia lega apabila kes itu telah selesai dan anaknya sudah pun bekerja di Kuantan, Pahang tetapi tindakan menularkan semula video tersebut telah membuatkan luka lama berdarah kembali.

“Ia sangat merunsingkan hinggakan ada pihak berkuasa datang ke rumah kami untuk melihat keadaan kami seke­luarga empat hari lalu.

“Mereka mahu mengambil salah seorang anak saya yang dikatakan tidur bersama longgokan sampah selepas kami sekeluarga terjebak dengan dadah,” katanya ketika ditemui di Kampung Ayer Merbo, Jedok di sini semalam.

Menurut Nor Hazira, ketika itu anaknya sudah berusia tujuh tahun dan bukannya empat tahun se­perti yang ditularkan.

Tambahnya, tiga anaknya berusia tujuh hingga 12 tahun cukup terkesan dengan penularan semula video itu.

“Saya tidak boleh bekerja berat kerana mengidap penyakit saraf sejak beberapa tahun lalu dan mendapatkan rawatan di hospital. Oleh sebab itu rumah saya dipenuhi sampah kerana tidak larat untuk membersihkannya,” katanya.

Ujar Nor Hazira, dia menetap bersama empat anak di rumah itu dengan Muhammad Akmarizal Zahari, 23, membantunya menghantar tiga adik ke sekolah, manakala si sulung bekerja di Kuantan.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang membantu membersihkan rumah sebelum ini. Kami menyewa sejak enam tahun lalu dan berharap agar video itu tidak ditularkan lagi,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan penularan sebuah video menunjukkan seorang kanak-kanak terpaksa hidup dalam rumah yang dipenuhi longgokan sampah di aplikasi TikTok ­minggu lalu.

Video itu menunjukkan segenap ruang rumah dipenuhi longgokan sampah plastik, kertas, kotak-kotak, pakaian yang tergantung selain keadaan tilam yang kotor.

Bagaimanapun, pemilik akaun TikTok itu kemudian me­nurunkan video tersebut dan membuat kenyataan mengatakan kejadian tersebut berlaku pada tahun lalu dan memaklumkan kes itu sudah selesai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN