AROMA buluh meresap ke dalam daging ayam, sekali gus memekatkan lagi rasa rempah pada hidangan ayam pansuh itu.
Setiap kunyahan ayam menerbitkan rasa rempah tradisi yang enak lagi memikat selera.
Lauk yang dimakan bersama nasi putih panas itu turut mengandungi timun, sayur dan sambal.
Untungnya, pelanggan tidak perlu terbang jauh untuk merasai masakan popular dalam kalangan etnik Iban di Sarawak itu.
Sebaliknya, mereka boleh menikmati hidangan tersebut dengan versi halal di Seni Patisserie, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Menurut pemilik restoran, Dayang Mastura, pihaknya menempah buluh khas dari Hulu Selangor bagi memastikan pelanggan dapat merasai hidangan ayam pansuh yang autentik.
“Di Sarawak, hidangan pansuh yang dimasak secara autentik selalunya tidak halal. Ini kerana, ia dimasak oleh masyarakat Iban di rumah panjang.
“Jadi, saya olahkan dengan menggunakan bahan-bahan yang halal dalam masakan ini.
“Kami memang rebus hidangan ini dalam buluh dan sajikan kepada pelanggan beserta buluh sekali,” katanya kepada Horizon baru-baru ini.
Selain ayam pansuh, pelanggan turut disarankan mencuba laksa Sarawak yang menepati cita rasa Semenanjung.
Lemak santan menjadikan tekstur kuah laksa Sarawak itu lembut berkrim, sekali gus menyeimbangkan rasa pedas rempah.

Mangkuk yang padat dengan bihun, ayam suwir, udang, limau dan taugeh itu turut memiliki keharmonian rasa manis serta masam.
Selain itu, terdapat seleksi nasi dengan variasi autentik Sarawak seperti nasi ikan terubuk goreng, nasi aruk (goreng) ikan terubuk seekor, nasi goreng ikan smiling dan nasi goreng corned beef.
Bahan-bahan masakan tersebut kebanyakannya diimport dari Sarawak seperti ikan terubuk dan ikan smiling.
Tidak dilupakan adalah mi kolok daging beserta sup yang sering menjadikan makanan wajib cuba sekiranya datang ke Sarawak.
Selain resipi autentik, masakan Sarawak versi fusion juga ditawarkan bagi mempelbagaikan lagi keunikan menu di restorannya.
Antaranya adalah mi kolok tomyam, corned beef sizzling dan tambahan sambal seperti sambal hijau yang sinonim dengan masyarakat Semenanjung.
Katanya, penambahan menu fusion adalah bagi meraikan kepelbagaian serta menawarkan lebih pilihan buat pelanggan.
“Setiap kali menyebut perkataan restoran masakan Sarawak, pasti ramai yang menghidangkan laksa Sarawak dan mi kolok.
“Oleh itu, saya menambah versi fusion sebagai usaha melebarkan lagi kreativiti dalam penyediaan makanan Sarawak,” katanya.
Bagi pencuci mulut pula, pelanggan harus mencuba aneka kek lapis Sarawak Seni Patisserie yang gebu dan padat.
Antara keunikan kek lapis tersebut, ia diperbuat dengan menggunakan mentega dari Perancis berbanding marjerin biasa.
Bagi pilihan makanan berasaskan gula apong, pelanggan boleh memesan kuih penyaram, aiskrim gula apong serta teh C peng gula apong.
Untuk makluman, Seni Patisserie dibuka pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. Namun, bagi set ambuyat, ia hanya dihidangkan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.














