HULU LANGAT – Legenda bola sepak negara, Azman Adnan memohon para peminat supaya terus mendoakan kesihatannya selepas dimasukkan ke hospital setelah pengsan di kediamannya di sini beberapa bulan lalu.
Menurut Azman, beliau mengalami sakit tulang kaki kanan yang menyebabkan ia semakin membengkok.
“Sakit ini bermula selepas saya pengsan dan dikejarkan ke hospital sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu. Pelbagai ujian dilakukan dan mungkin berpunca daripada sakit urat saraf.
“Kejadian berlaku sewaktu saya sedang menunggu waktu bersahur, mujur ada kawan-kawan yang sempat pegang, jika tidak mungkin saya cedera,” katanya ketika menerima lawatan wakil Kelab
Penyokong Selangor Empire of Port Klang sempena Maal Hijrah di rumahnya di Batu 14 baru-baru ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Selangor dan Negeri Sembilan itu, sewaktu insiden tersebut berlaku dia sendiri meminta keluarga dan rakan-rakan supaya tidak menghebahkannya kerana tidak mahu orang ramai termasuk peminat bimbang.
“Sekarang kesihatan saya bertambah baik selepas menjalani aktiviti mengayuh basikal di sekitar kawasan rumah.
“Buat masa ini, saya fokus menjaga stamina dan senaman bagi membolehkan saya menyertai Piala Sultan Selangor yang dijadualkan di Stadium Merdeka tidak lama lagi.
“Dalam proses pemulihan ini saya bukan mahu bermain bersungguh-sungguh, cuma mahu memeriahkan kejohanan tersebut bersama rakan-rakan seperjuangan,” ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keprihatinan beliau apabila memberikan sumbangan kepada Azman yang menderita sakit tulang kaki. Sumbangan itu disampaikan melalui Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi.
















