BBC Indonesia baru-baru ini melaporkan, seorang pemuda dari Bali sukses menghasilkan perabot daripada plastik-plastik terbuang dengan motif menyerupai marmar.

Eksport perabot ‘marmar sampah’ sampai Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUNYI mesin pemotong kedengaran sayup-sayup dari satu kawasan di Desa Petandakan, Buleleng, Bali, Indonesia.

Di atas sebidang tanah yang diapit dengan sawah dan jauh dari kawasan perumahan, terdapat longgokan guni berisi sisa plastik sejauh mata memandang di sebuah bangunan.

Bangunan itu bukan hanya dihiasi dengan pemandangan sisa plastik, malah terdapat deretan kerusi dengan warna menyerlah menyerupai motif marmar, campuran kuning, biru dan putih yang dihasilkan oleh Putu Eka Darmawan, 34 daripada hancuran plastik-plastik terbuang itu,

Menurut laporan daripada agensi berita BBC Indonesia, Eka merupakan pengasas tempat itu yang dinamakan sebagai Rumah Plastik Mandiri.

“Saya kini seorang ‘pemulung’ ataupun orang yang memungut dan mengitar semula sampah, saya bangga dengan kerja ini,” katanya.

Lapan tahun lalu, Eka memutuskan untuk meninggalkan pekerjaannya sebagai pelayan bar di sebuah kapal persiaran di Amerika Syarikat.

Selepas berkahwin, dia memilih menetap di kampung halamannya di Buleleng.

“Baki wang perkahwinan dalam akaun saya sebenarnya adalah 25 juta rupiah (RM7,200),” terangnya.

EKA bergambar dengan longgokan sisa plastik di Rumah Plastik Mandiri, Bali, Indonesia.

Dengan modal itu, Eka mahu membina perniagaan yang boleh mengimbangi urusan perniagaan dan sosial.

Ketika itu, Eka berfikir satu-satunya perniagaan paling sesuai dengan modalnya yang terhad adalah memproses sisa plastik yang ada di kawasan sekitar.

Lebih-lebih lagi, Tapak Pelupusan Akhir (TPA) Bengkala hanya terletak sekitar 30 minit pemanduan dari rumah Eka.

“Saya boleh menjalankan perniagaan ini kerana kehidupan sosial saya juga.

“Idea untuk menjalankan perniagaan ini adalah kerana saya kerap menemui sisa plastik,” jelas Eka.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Eka berhadapan dengan masalah kewangan.

Ini kerana, harga mesin untuk memproses sisa plastik sangat mahal.

Sekali lagi dia terpaksa berfikir untuk menyelesaikan masalah itu.

“Disebabkan tidak dapat beli mesin, saya belajar konsepnya dan membuat sendiri.

“Saya memuat turun banyak video di YouTube,” kata Eka.

Eka juga mengumpulkan bahan-bahan untuk membangunkan mesin itu dan banyak kali mesin yang dipasangnya itu gagal semasa ujian.

Bagaimanapun, setelah melalui beberapa kali percubaan, dia akhirnya berjaya.

Kini, di Rumah Plastik Mandiri terdapat sembilan alat kitar semula plastik yang direka olehnya.

Terdapat dua mesin penggerak yang dihasilkan daripada enjin trak dan tiga alat pencincang dan satu mesin pengering dan satu mesin lebur.

Melalui bantuan mesin-mesin itu, Eka dan enam lagi pekerja dapat memproses sekitar dua tan sisa plastik setiap hari.

Dari mesin pencincang, plastik yang telah hancur akan menjadi kepingan kecil sebesar hujung jari, sebelum dibawa ke garaj rumah Eka untuk diproses.

Di tempat itu, Eka biasanya menerima tetamu yang datang untuk mengetahui konsep sisa plastik yang akan dihasilkan olehnya.

Selalunya, plastik yang telah dicincang akan dimasukan ke dalam mesin pengering pada suhu lebih 200 darjah Celsius.

Kemudian, plastik itu akan dibentuk menjadi papan bersaiz 100×50 sentimeter (cm) dengan ketebalan sekitar 1.4cm.

“Papan plastik ini digunakan sebagai pengganti kayu.

“Ketika ini, terdapat permintaan yang tinggi papan plastik untuk dijadikan perabot,” terang Eka.

Malah, dia telah mengeksport kepingan papan yang terhasil daripada plastik ke Malaysia, Taiwan dan Sepanyol.

Dalam satu penghantaran, Eka boleh menghantar ratusan kepingan papan plastik dengan harga 350,000 rupiah (RM100) sekeping.

Setelah memasuki beberapa negara, dia kini sedang meneroka untuk mengeksport ke Jepun.

Sepanjang lapan tahun menangani sisa plastik, dia telah berjaya menghasilkan pelbagai objek kitar semula daripada perabot, bahan binaan dan hiasan dalaman serta lain-lain lagi.

Malah, Eka berjaya menghasilkan jam tangan daripada bahan kitar semula.

JAM tangan yang diperbuat daripada sisa plastik hasil inovasi Eka.

Jam tangan itu merupakan prototaip produk fesyen yang bakal dilancarkannya pada masa terdekat.

“Kami sedang berusaha. Matlamat kami, apabila ia sempurna kami akan menjualnya,” katanya.

Dalam pada itu, kedai membaiki motosikal Luh Putu Suarsini di Jalan Gempol, Buleleng sering membaiki hampir 50 buah motosikal pada setiap hari.

Di satu sudut bengkel yang tidak pernah sepi dengan pengunjung itu, Putu dan suaminya mengutip pelbagai sisa plastik terutamanya botol minyak hitam.

“Kadang-kadang, saya juga mengumpul botol minuman terpakai,” kata Putu.

Secara berkala, pekerja Rumah Plastik Mandiri akan pergi ke bengkel Putu untuk menukar sampah dikumpul dengan wang.

Dengan sekali pertukaran, Putu berkata, dia boleh mendapat ganjaran sehingga 100,000 rupiah (RM28).

“Anak-anak selalu minta duit poket sebelum ke sekolah.

“Duit hasil jualan sisa plastik ini digunakan untuk menambah wang saku-anak-anak,” jelas Putu.

Selain ke bengkel Putu, pasukan Eka juga sering mengutip sisa plastik dari rumah atau kedai di sekitar Banyuning.

Botol minyak hitam yang diproses kemudian boleh dijadikan produk bernilai ekonomi.

Salah satu perabot yang dihasilkan.

Sementara itu, sepanjang tahun lalu, data daripada Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan menyatakan bahawa 19 peratus daripada 22,986,742 tan sisa yang dihasilkan oleh rakyat Indonesia adalah plastik.

Ini bermakna, terdapat 4,367,480 tan sisa plastik setahun.

Sisa plastik sebanyak itu bersamaan dengan berat lebih daripada 500,000 lori kontena.

Di Bali, dianggarkan terdapat sekitar 303,000 tan sisa plastik setiap tahun.

Bagi Eka, ia bermakna bahan mentah untuk perniagaan yang diusahakan olehnya sangat banyak. Namun, berdasarkan pengalamannya, sisa plastik seolah-olah mempunyai kasta.

“Ada sisa plastik kasta tinggi, ada sisa plastik kasta rendah, malah tiada kasta.

“Itulah yang menyebabkan masalah sisa plastik tidak berakhir,” ujar Eka.

Kasta sisa plastik yang Eka maksudkan adalah kelas sisa plastik berdasarkan tahap kesukaran pemprosesan dan nilai ekonominya apabila dijual ke tapak pemprosesan.

Plastik jenis polyethylene atau PET yang biasanya digunakan sebagai bahan asas untuk produk komersial seperti air minuman dalam botol agak mudah untuk diproses.

Apabila dihancurkan dan diproses, plastik PET boleh menjadi fabrik poliester untuk bantal dan permaidani.

Sementara itu, plastik high-density polyethylene atau HDPE yang lebih tebal daripada plastik PET agak mudah dikitar semula.

Ia diterima di hampir semua pusat kitar semula di dunia. Kedua-duanya dianggap mempunyai kasta lebih tinggi.

Sementara plastik low density polyethylene atau LDPE seperti beg plastik dianggap plastik kasta rendah kerana sukar untuk dikitar semula.

Plastik polypropylene atau PP yang digunakan sebagai pembungkusan mi segera atau makanan ringan sukar untuk dikitar semula.

Begitu juga, polystyrene atau PS iaitu sejenis plastik yang biasa digunakan untuk membuat garpu dan sudu plastik dianggap tidak berkasta.

Eka mula mengalami masalah sisa plastik berkasta berkenaan apabila mula membangunkan Rumah Plastik Mandiri.

Pada mulanya, perniagaan Eka tertumpu kepada pengumpulan sisa plastik, sebelum dihantar ke industri pemprosesan di Pulau Jawa.

Pada masa itu, industri kitar semula enggan memproses sisa plastik gred rendah yang dikutip oleh orang ramai.

Namun baru-baru ini, Eka mendapati bahawa beg plastik juga boleh menjadi berharga apabila diproses menjadi campuran asfalt.

Pada tahun lalu, Eka memproses 25 tan sisa plastik yang digunakan untuk dua pembinaan jalan di Bali.

Permintaan itu datang daripada Jabatan Kerja Raya tempatan.

Tahun ini, sekitar 35 tan sisa plastik yang dicincang dan diproses oleh Eka digunakan untuk membina satu bahagian jalan di wilayah Buleleng.

“Ia mengambil masa beratus-ratus tahun untuk alam semula jadi mengurai sisa plastik.

“Persoalannya, kenapa plastik yang dibuat oleh industri tidak diselesaikan oleh industri? Kenapa alam perlu menyelesaikannya?

“Jika mengambil masa ratusan tahun untuk mengurai plastik, ini bermakna ketahanan plastik itu sangat kuat.

“Oleh itu, letakkan bahan berketahanan ini di tempat sepatutnya.

“Sebagai contoh, ada meja yang tidak akan pecah selama ratusan tahun, bukankah ia satu pelaburan bagus,” ujarnya.

Bagi Eka, plastik merupakan bukti ketamadunan manusia.

Pada masa hadapan, penggunaan plastik sukar untuk dikurangkan.

“Apa yang boleh kita lakukan untuk mengubah masalah menjadi peluang adalah dengan tidak menggunakan plastik atau produk plastik baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN