fbpx
Makan tiga ulas durian bersamaan 1.5 senduk nasi.

Makan lebih 9 ulas durian badan boleh gemuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini semua negeri bagaikan berpesta durian dengan ada yang dijual serendah RM5 sekilogram bagi durian kampung.

Durian premium lain seperti musang king, IOI, udang merah, EXO, black thorn, D24 Sultan dan golden pheonix pula menjadi asbab golongan peniaga menjadi orang kaya segera apabila dikerumuni pelanggan ‘hantu durian’

Namun, apa jua jenis makanan meskipun pun kapsul vitamin, ia mestilah diambil secara sederhana bagi memastikan setiap zat diperlukan oleh tubuh badan adalah seimbang.

Pegawai Dietatik, Wan Nurul Hazirah Wan Alkamar Shah berkata, durian dianggap buah tinggi kalori kerana kandungan gula dan lemak tak tepu yakni satu hidangan (tiga ulas dan bergantung pada saiz antara 60 hingga 100 kalori) adalah bersamaan 1.5 senduk nasi.

“Bau durian ini dianggap harum oleh penggemarnya adalah disebabkan kandungan sulfurnya yang tinggi dan mineral itulah penyebab badan kita boleh menjadi panas atau demam, bergantung kepada toleransi badan.

“Buah ini juga tinggi kalori dan lemak, tetapi lemak yang tidak tepu, yang mana tiga ulas bersamaan dengan 1.5 senduk nasi. Jika seseorang itu makan durian melebihi sembilan ulas dan diambil secara kerap sepanjang musim ini, risiko kenaikan berat badan boleh berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata, pesakit buah pinggang tidak digalakkan memakan durian kerana kandungan potassiumnya yang lebih tinggi berbanding pisang.

“Bagi golongan ini, jangan lah makan durian kerana ia boleh menyebabkan masalah hyperkalemia yang meningkatkan risiko serangan jantung dan masalah pernafasan. Pesakit diabetes pula dinasihatkan makan tiga ulas sahaja dan periksa kandungan gula dalam darah.

“Individu dewasa yang tiada penyakit disarankan untuk menikmati dua hingga tiga hidangan atau sembilan ulas sehari,” ujarnya.

Tambahnya, raja buah itu bagaimanapun mempunyai banyak khasiat seperti potassium (membantu merendahkan tekanan darah tinggi), antioksida (vitamin A, vitamin C), kalsium (untuk kesihatan tulang dan otot) dan zat besi (untuk anemia).

Jelasnya, ia juga mengandungi tritophan yang menghasilkan serotonin hormon gembira dan melatonin yang membantu tidur lebih lena.

“Tetapi saya ingatkan penggemar durian untuk tidak makan durian dengan minuman alkohol kerana gabungan itu akan menyebabkan hati bekerja keras menjalankan metabolisma (mencernakan gula dan lemak dalam durian dan alkohol).

“Terdapat juga cakap-cakap gabungan durian beserta air berkarbonat akan menyebabkan sakit jantung. Ia adalah benar, tetapi tidak hanya bertumpu kepada minuman berkarbonat.

“Apa-apa minuman tinggi gula dan berkafein (kopi, teh, air bertenaga termasuk air bikarbonat) akan menghalang penyerapan potasssium dalam darah, seterusnya meningkatkan risiko hypokalemia yang boleh membawa kepada risiko ketidakstabilan denyutan nadi dan jantung,” ujarnya.

Rumusannya, tiada makanan yang baik dan buruk secara total. Makanlah secara sederhana, usah sampai diri sendiri jatuh sakit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN