MENGIKUTI pembelajaran pencak silat empat dekad yang lalu telah mencetuskan minat Ahmad Zamli Ali Piah, 62, untuk mengumpul keris-keris Melayu lama berusia ratusan tahun.
Keris Melayu ialah keris yang ditempa di Tanah Melayu oleh orang-orang Melayu berbeza dengan keris dari negara seberang iaitu Indonesia.
Dia yang mula mengumpul keris sejak 30 tahun lalu kini mempunyai lebih 100 bilah keris antik terbaik dan jarang ditemui. Kebanyakan keris yang dikumpul merupakan kepunyaan para pembesar dan golongan bangsawan pada zaman dahulu.
Menurut Ahmad Zamli, dia sangat kagum dengan pembuatan keris antik yang cukup halus dan indah walaupun tanpa menggunakan peralatan moden.
“Bayangkan pembuat keris hanya menggunakan peralatan asas seperti pahat, kikir dan tukul untuk mengetuk tetapi hasilnya sangat menakjubkan.
“Tidak terfikir dek akal bagaimana mereka membuat ukiran begitu halus pada keris dengan hanya menggunakan tiga peralatan asas itu,” katanya ketika ditemui K2 di kediamannya di Taman Sri Delima, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Ahmad Zamli, dia berpegang kepada tiga falsafah keris iaitu lambang kepahlawanan, lambang keindahan atau estetika dan lambang budaya atau adat.
Menurutnya, keris mempunyai tiga kategori iaitu pertama keris panjang yang menjadi keris hukum dan juga pelengkap pakaian raja, sultan dan Yang di-Pertuan Agong. Kedua, keris tempur iaitu keris yang dibawa untuk berlawan, berperang dan bertempur.
Akhir sekali, keris selit iaitu dipakai untuk menjadi sebahagian daripada pelengkap pakaian.
Terangnya, hanya orang yang mempunyai ilmu silat tahu bagaimana hendak menggayakan keris, menggunakan serta memegangnya dengan cara betul.
Bercerita mengenai permulaannya mengumpul keris, Ahmad Zamli memberitahu, dia membeli sebilah keris pertama di Kuala Lumpur pada harga RM300.

“Selepas membelinya, saya menunjukkan keris itu kepada seorang pengumpul senjata antik di Kota Bharu, Kelantan dan sungguh terkejut apabila dia memberitahu bahawa ia adalah keris kodi iaitu barang yang kurang baik buatannya serta berharga murah yang banyak terdapat di birai kedai di bandar Kota Bharu.
Sejak itu saya berazam mengumpul keris-keris antik terbaik dan menjadi pakar dalam bidang ini,” tuturnya yang merupakan guru silat palintau.
Kesemua koleksi keris antik itu dimilikinya dengan membelinya daripada pengumpul senjata lama dari Kelantan, Pulau Pinang dan Perak.
Keris paling mahal dibelinya ialah keris sotong yang berharga RM20,000. Keris sotong itu digunakan untuk dijadikan sebagai pakaian dan bukannya bagi tujuan bertarung.
Pada zaman dahulu, keris digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri dan bertempur tetapi kini ia hanya dijadikan sebagai hiasan pelengkap gaya dan barang berharga.
Ahmad Zamli memberitahu, antara koleksi keris istimewa yang disimpannya ialah keris Jalak Genta, Tok Kotak (keris zaman Kedah Tua), Datuk Undang Rembau, Megat Terawis dan Datuk Indera Sakti.
“Keris yang paling saya sayang ialah Jalak Genta iaitu kepunyaan pembesar Majapahit yang menyerahkannya kepada salah seorang panglima di Perak untuk memohon perlindungan di negeri itu setelah Majapahit kalah berperang.
“Keris ini cukup istimewa kerana mata bilahnya tidak dimiliki keris-keris lain dan harganya tiada nilai,” tutur anak kelahiran Kampung Gajah, Perak itu.
Menurutnya, harga bagi keris antik bermula RM3,000 dan boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

Ahmad Zamli yang juga merupakan juri pertandingan keris memberitahu, ciri-ciri utama keris antik yang istimewa ialah keutuhan tanpa ada cacat cela pada pamor atau corak dalam keris.
Sebagai pengumpul keris, Ahmad Zamli memberitahu, dia berpeluang berjumpa pengumpul-pengumpul keris hebat di samping dapat berkongsi pengalaman dan melihat koleksi keris kepunyaan mereka.
“Hobi ini juga membuatkan saya berasa tenang dan teruja apabila menatap keindahan pembuatan keris.
“Setiap satu keris pembuatannya tidak sama lantas ia menjadikan senjata warisan ini sangat unik,” ujar Ahli Jawatankuasa Persatuan Seni Purba Nusantara Selangor itu.
Selain keris, dia turut mengumpul koleksi antik yang lain seperti pending, kacip, gobek sirih dan barangan aksesori wanita diperbuat daripada perak.
Di sebalik keseronokan hobi itu, dia tidak terkecuali berdepan cabaran seperti penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaut keuntungan dengan menjual barangan palsu.
Justeru, dia menasihatkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak mengumpul barangan antik supaya lebih berhati-hati dan merujuk kepada orang yang berpengalaman sebelum membuat pembelian item.

Berkongsi tip penjagaan keris antik, Ahmad Zamli berkata, keris perlu sentiasa disapu minyak dan diletakkan di dalam sarung kemudian dimasukkan pula ke dalam sarung kain agar tidak masuk udara yang akan mengakibatkan mata keris cepat berkarat.
“Pembersihan keris pula menggunakan limau nipis yang digosokkan selama 15 minit kemudian dibiarkan dan sambung lagi sehingga mengambil masa satu jam lebih bagi sebilah keris.
Keris-keris hanya perlu dibersihkan setahun sekali dan dilakukan pada bulan Muharam bagi memudahkan mengingat tarikh agar genap tempoh masa itu,” ulasnya.
Bagi berkongsi ilmu keris, Ahmad Zamli telah menulis buku Keris Melayu Pusaka Bangsa yang memuatkan mengenai ilmu senjata warisan itu.

“Saya sering menjadi rujukan pelajar-pelajar universiti bagi menyiapkan tesis dan tidak terkecuali orang perseorangan. Lebih menguatkan semangat saya menghasilkan buku ini apabila melihat ilmu keris ini ‘mati’ atau dibawa mati bersama jasad mereka yang pakar mengenai senjata warisan,” tutur datuk kepada seorang cucu itu.
Dia mengambil masa tujuh tahun untuk menyiapkan buku setebal 379 muka surat itu yang mengupas antaranya sejarah keris, jenis-jenis, huraian mengenai lok dan sebagainya.
“Bagi saya, paling susah ialah bagaimana mahu menjernihkan pemikiran orang Melayu yang rata-rata beranggapan keris adalah benda misteri, ada pendamping dan berpuaka. Oleh itu, saya telah mengulas lanjut mengenai perkara itu dalam buku ini,” ujarnya
Bagi melengkapkan buku itu, Ahmad Zamli telah berguru dengan tujuh orang pakar keris di seluruh negara. Buku dijual pada harga RM350 dan boleh didapati menerusi Facebook Zamli Pengumpul Barang Antik.
















