fbpx
NAMA aktor Jack Tan hanya memuncak jadi sebutan seiring filem lakonannya Abang Adik yang menjulang di persada dunia. Ironi, sejak 15 tahun lalu lelaki berdarah Tionghua itu sudah bergelumang sepak terajang dunia lakonan, tinggal lagi belum mendekati penonton Melayu.

Jack Tan ‘wajah’ James Bond kini aktor handalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRAN Jack Tan di gelanggang perfileman Melayu mula mencuri perhatian selepas membintangi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa pada 2022.

Aura heronya membiakkan pengaruh besar apabila naskhah Abang Adik berjaya meraih tiga anugerah utama pada Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali Mei lalu.

Meskipun begitu, Jack, 33, tidak ingin mendabik dada apatah lagi berasakan dirinya sudah terlalu bagus sehingga hanya membintangi karya bertaraf kelas A sahaja.

Jack sebaliknya lebih mementingkan kualiti dan tidak pernah meletakkan sebarang harapan sama ada watak lakonannya mampu menjulang nama atau meraih trofi.

“Bagi saya kesungguhan itu penting kerana tidak mengira apa sahaja yang kita lakukan, kesungguhan akan membawa kepada kejayaaan.

“Secara peribadi saya tidak pernah mengharapkan watak yang dibawa akan memberi kelebihan sehingga mampu menang anugerah. Sekiranya ada itu pada saya rezeki dan ‘habuan’ setelah berusaha keras.

“Paling penting saya suka dengan jalan cerita naskhah tersebut dan saya akan berusaha sehabis baik menterjemahkan karakter dengan baik dan tidak mengecewakan pengarah,” katanya tersenyum.

JACK Tan pernah muncul menghiasi iklan James Bond terbitan sebuah syarikat kurier. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Menang ‘Gold’

Begitu juga saat diberi kepercayaan membintangi filem Gold terbitan Astro Show yang bakal menemui penonton pada 11 Julai ini.

Gold secara asasnya mengisahkan kesungguhan atlet paralimpik badminton, Cheah Liek Hou yang mampu menjulang pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sebelum berjaya membawa pulang pingat emas, Cheah Liek Hou sebelum itu terkenal sebagai atlet remaja yang dijangka mempunyai masa depan cemerlang kerana terkenal dengan kemahiran dan kemampuan luar biasa bermain badminton.

Namun, siapa menduga apabila dia mengalami Erb’s palsy atau Erb-Duchenne palsy yang merupakan kelumpuhan pada tangan akibat kecederaan saraf sehingga membataskan kemampuannya bermain badminton secara profesional.

Bagi Jack, permainan emosi Cheah Liek Hou yang mengalami masalah kesihatan secara tidak langsung memberikan cabaran,

Masakan tidak, Jack perlu menterjemah kekecewaan individu normal menjadi orang kelainan upaya (OKU) dalam meneruskan kecintaan dalam keadaan terbatas.

“Dia memang sangat meminati badminton dan tentu sahaja masalah kesihatan memberi kesan kepadanya.

“Kekecewaan yang dipendam itu saya perlu tonjolkan dengan baik kerana bagi saya Cheah Liek Hou seorang tidak mudah berputus asa. Meskipun tidak mampu menjadikan sukan badminton sebagai sumber pendapatan, tetapi dia tetap mempunyai cara lain untuk menyara keluarga.

“Semangat itu juga yang mendorong dirinya untuk tidak mengalah dan bermain badminton meskipun perlu bermain menggunakan tangan kiri yang mana dia bukan seorang kidal,” katanya semangat.

Mengulas mengenai bermain badminton dengan tangan kiri, Tan mengakui hal itu turut menjadi cabaran buatnya kerana dia sendiri bukan seorang yang dominan menggunakan tangan kiri.

Tan mengakui pada peringkat awal latihan, dia sering kali gagal membuat sebarang pukulan dan perkara itu secara tidak langsung memberikan sedikit tekanan padanya.

“Latihan badminton dibuat selama tiga bulan dan saya pula berlatih enam hari seminggu. Bagi saya cabarannya apabila perlu kelihatan profesional dengan hanya tiga bulan latihan.

“Tentu sahaja perkara itu bukan satu hal mudah kerana saya juga tidak pandai bermain badminton dan bukan menggunakan tangan kiri.

“Memang agak mencabar, tetapi setelah mendapat nasihat dan galakan daripada jurulatih (bekas pemain kebangsaan, Adelle Ng), saya kini boleh bermain badminton dengan menggunakan kedua-dua belah tangan,” katanya sambil berseloroh.

Diinspirasikan daripada kisah benar filem arahan Adrian Teh tersebut turut membariskan pelakon handalan lain seperti Farid Kamil, Fabian Loo, Wan Raja dan Yasmin Hani.

BAGI menghidupkan watak kidal, Jack Tan berusaha melatih diri menulis dan melakukan kerja rumah dengan menggunakan tangan kiri.

Cabaran baharu

Terus bercerita mengenai filem baharunya itu, kata Jack dia menerima tawaran berlakon naskhah tersebut kerana ingin mencabar diri dan keluar daripada zon selesa iaitu mempelajari perkara baharu semata-mata untuk menghidupkan watak.

“Seperti dikatakan, saya tidak pandai bermain badminton jadi tentu sahaja hal itu sesuatu yang janggal buat saya. Saya juga perlu belajar menggunakan tangan kiri demi watak.

“Awalnya saya kurang yakin dengan kemampuan diri, tetapi setelah diyakinkan oleh pengarah, saya mula membina keyakinan diri dan berusaha sehabis baik untuk memberikan kualiti lakonan yang memuaskan,” ujarnya.

Demi memperlihatkan lakonannya lebih realistik, tidak hanya bermain badminton malah Jack juga belajar menulis, makan dan melakukan pekerjaan rumah dengan menggunakan tangan kiri.

Bukan sahaja itu, Tan turut terbuka untuk mempelajari seni ilmu mempertahankan diri sebagai langkah persediaan sekiranya diperlukan untuk watak.

Ditebak tentang kesediaan diri jika digandingkan dengan aktres terkenal dunia, Tan Sri Michelle Yeoh, Tan terlebih dahulu melepaskan ketawanya sebelum bersedia melontarkan jawapan.

Katanya, peluang untuk bergandingan dengan pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi ke-95 tahun lalu itu pasti menjadi hal yang sangat mengujakan.

JACK TAN berganding dengan Farid Kamil yang melakonkan watak Rashid Sidek iaitu jurulatihnya yang membawa peranan Cheah Liek Ho dalam filem Gold.

“Itu memang satu harapan yang sangat tinggi. Malah saya juga sekarang ini sedang mempersiapkan diri dengan mempelajari taekwondo sebagai asas persediaan untuk melibatkan diri dalam sebarang naskhah membabitkan babak aksi.

“Bagi saya setiap pelakon itu perlu membuatkan persiapan diri walaupun tidak melibatkan sebarang projek lakonan, tetapi mempersiapkan diri itu penting kerana siapa tahu suatu nanti kemahiran itu diperlukan,” ujarnya.

Jack juga sebelum ini pernah muncul sebagai pelakon lagak ngeri bagi menjayakan sebuah iklan jenama syarikat kurier yang mengadakan kerjasama bagi mempromosikan filem ejen perisik James Bond bertajuk No Time To Die pada 2021.

“Saya mempunyai kemahiran sebagai pelumba kereta dan pernah terlibat menjayakan iklan James Bond. Memang pengalaman yang menarik dan siapa sangka kemahiran pemanduan aksi drift itu telah memberikan saya pengalaman baharu.

“Saya dimaklumkan pihak produksi iklan terbabit sudah melakukan uji bakat, namun gagal mendapatkan pelakon yang bersesuaian sehinggalah ada seorang pelakon lagak ngeri memperkenalkan saya kepada mereka.

“Setelah melalui sesi uji bakat, akhirnya saya terpilih untuk menjadi ‘James Bond’ dalam iklan itu,” katanya yang memiliki pengalaman lapan tahun sebagai pemandu drift.

BERMAIN badminton dengan menggunakan tangan kiri menjadi cabaran buat Jack Tan membawakan watak sebagai atlet paralimpik negara, Cheah Liek Hou.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN