Bolehkah golongan yang belum berkahwin berbual dan berjumpa di tempat terbuka seperti restoran untuk berkenalan dengan niat berkahwin seperti ‘speed dating’? Apakah garis panduan bagi lelaki dan perempuan bertaaruf dalam Islam?
Jawapan: Fitrah manusia cenderung mencari pasangan untuk berkahwin, namun pemilihan pasangan dan proses perkenalan hendaklah selari dengan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Perkahwinan yang diberkati Allah SWT bukanlah semata-mata memenuhi segala rukun dan syarat akad nikah, tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara terhormat bermula daripada awal proses perkenalan sehingga waktu akad berdasarkan syariat Islam.
Garis panduan dalam Islam berkaitan proses taaruf antara lelaki dan perempuan seperti berikut:
-Berjumpa bersama wali atau mahram kepada perempuan.
-Menggunakan orang tengah yang dipercayai dan diyakini mampu menjadi pemerhati terbaik mengikut landasan syariat.
-Menetapkan niat untuk tujuan berkahwin dan bukanlah mencari teman berbual sahaja.
-Tidak meneruskan perkenalan dengan cara berdua-duaan sekiranya tiada mahram yang meneman dan tiada sebarang urusan keperluan.
-Menutup aurat dengan sempurna ketika bertemu.
-Menjaga adab serta menundukkan pandangan pada kadarnya ketika berurusan secara langsung.
-Golongan perempuan tidak boleh menggunakan suara lunak dan manja ketika berkomunikasi dengan lelaki serta tidak menunjukkan reaksi serta lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.
-Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
Keinginan untuk berpasangan antara lelaki dan perempuan serta berkahwin merupakan salah satu fitrah kejadian manusia yang telah disebut dalam al-Quran. Malah, Allah SWT mengharuskan bagi seorang lelaki menyatakan keinginan untuk berkahwin atau meminang perempuan dalam firman-Nya yang berikut: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah).” (Surah al-Baqarah: 235)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan al-khitbah (khitbah) ialah seorang lelaki meminta untuk berkahwin dengan seorang perempuan menggunakan cara yang boleh difahami.
Mengikut kefahaman dan kebiasaan masyarakat sekarang, lelaki dan perempuan akan berkenalan antara satu sama lain terlebih dahulu dalam beberapa tempoh sebelum berlaku peminangan. Adakalanya, terdapat pasangan yang meletakkan syarat untuk berkenalan dalam tempoh yang lama dan mengambil masa bertahun-tahun sebelum proses peminangan dilakukan.
Benar, persoalan tentang pemilihan pasangan adalah perkara paling utama dan hak setiap manusia.
Setiap individu berhak memilih pasangan hidup dalam membina rumah tangga dengan cara masing-masing.
Fitrah manusia memiliki kecenderungan dalam memilih, namun pemilihan pasangan hendaklah selari dengan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Keutamaan dalam memilih hendaklah ditekankan pada kriteria beragama dan keperibadian yang baik bagi menjamin kebahagiaan hidup berumah tangga. Hal ini bersandarkan panduan Rasulullah SAW: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka, peganglah dengan yang mempunyai agama. Nescaya kau akan bahagia.” (Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu reda terhadap akhlak dan juga agamanya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang teruk.” (Riwayat Ibn Majah)
Perkahwinan yang mengharapkan keberkatan daripada Allah SWT bukanlah semata-mata memenuhi segala rukun dan syarat akad nikah, tetapi ia telah bermula dari peringkat pemilihan pasangan dan taaruf dengan cara terhormat berlandaskan syarak.
Proses perkenalan antara lelaki dan perempuan akan berterusan sehingga ke alam perkahwinan kerana tidak semua perkara boleh diketahui sebelum perkahwinan berlaku.
Oleh yang demikian, salah satu cara terbaik untuk mengenali seseorang adalah dengan istisyarah iaitu mendapatkan pandangan daripada orang lain yang dipercayai.
Dalam usaha mencari pasangan, seorang Muslim hendaklah meletakkan Allah sebagai pelindung agar tidak terdedah dengan keseronokan dalam bersosial ketika taaruf.
Hal ini kerana perkahwinan yang diberkati bermula sebelum akad itu sendiri iaitu dari kesungguhan seseorang menjaga dirinya.














