Saudara Pengarang,
AKTIVITI lasak, bersukan dan riadah santai sudah menjadi antara rutin bagi kebanyakan rakyat terutama pada hujung minggu.
Bagi yang sukakan cabaran dan menguji kemampuan diri, mereka akan memilih aktiviti-aktiviti seperti mendaki, berbasikal, motocross selain trail run.
Bagi kumpulan yang lebih sukakan aktiviti santai, mereka ini lebih berminat menghabiskan masa di lapangan dengan program sukan seperti badminton, boling dan futsal.
Bagaimanapun, apa juga aktiviti yang dilakukan, sama ada mencabar ataupun santai, persediaan fizikal adalah asas yang paling penting.
Selain mempersiapkan diri dengan peralatan dan pakaian yang bersesuaian, seseorang itu juga perlu cergas dan sihat sebelum melakukan sesuatu aktiviti.
Semua sedar, ada banyak kes yang melibatkan kecederaan dan kematian berpunca daripada kegagalan untuk memahami kemampuan diri.
Rajin-rajinlah bersenam dan sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan agar setiap aktiviti yang kita lakukan tidak berakhir dengan kecelakaan.
HIKERS KENTAL
Seremban, Negeri Sembilan
















