KOTA BHARU – Seorang pengetua sebuah Sekolah Menengah Agama di Machang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mencabul, merogol dan perlakuan seks oral melibatkan seorang pelajarnya sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, Mazlelee Mustafa, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan maksud seksual telah menyentuh badan seorang kanak-kanak berusia 14 tahun 3 bulan yang mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu.
Perbuatan itu dilakukan di pejabatnya di sebuah Sekolah Menengah Agama di Machang di sini kira-kira pukul 10 pagi pada 26 Januari 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah didakwa merogol kanak-kanak itu di lokasi dan masa yang sama.
Mengikut pertuduhan ketiga, Mazlelee didakwa merogol kanak-kanak sama ketika dia berusia 15 tahun empat bulan di pejabatnya kira-kira pukul 10 pagi pada 23 Februari 2019.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan maksud seksual telah menyebabkan kanak-kanak sama ketika berusia 16 tahun melakukan seks oral.
Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di dalam sebuah kereta di tepi jalan Kuala Krai- Machang, Kampung Bechah Batu Besar dekat Kuala Krai kira-kira pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 22 Februari lalu.
Bagi pertuduhan kelima, Mazlelee turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak itu ketika dia berusia 16 tahun 10 bulan di pejabatnya kira-kira pukul 10.30 pagi pada 22 Ogos lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan keenam, Mazlelee didakwa dengan maksud seksual telah menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak sama di pejabatnya kira-kira pukul 12 tengah hari pada 15 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili oleh peguam Wan Fadzil Wan Omar.
Terdahulu, Hajarul Falenna memohon agar tiada sebarang jaminan ditetapkan untuk tertuduh.
Wan Fadzil dalam rayuannya memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk setiap pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan ikat jamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin untuk keenam-enam pertuduhan.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.
Mahkamah menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes dan keputusan laporan perubatan.-K!ONLINE
















