IMPIAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melihat potensi pasukan negara di pelbagai peringkat lapisan umur bersaing di peringkat tertinggi seperti Piala Dunia masih boleh menjadi kenyataan.
Rata-rata peminat bola sepak tanah air pasti merasai kekecewaan selepas melihat skuad Harimau Malaya gagal melepasi halangan awal apabila terkandas pada aksi kelayakan kedua Piala Dunia 2026 yang lepas.
Meskipun gagal lolos ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026, skuad negara kendalian Kim Pan-gon telah mempamerkan prestasi membanggakan sepanjang saingan dan bakal memburu slot automatic ke Piala Asia 2027 tahun depan.
Kali ini bukan masa sesuai untuk melakukan analisis mengenai skuad Harimau Malaya memandangkan pasukan kebangsaan perlu menunggu empat tahun lagi untuk beraksi pada kelayakan Piala Dunia edisi 2030.
Tumpuan kini wajar diberikan kepada skuad Bawah 16 (B-16) negara yang menjadi sandaran untuk meraih tiket ke pentas Piala Dunia B-17 2025 di Qatar tahun depan.
Pada dasarnya, skuad remaja Harimau Malaya sedang melalui fasa peralihan apabila kini dibimbing oleh pengendali import dari Sepanyol, Javier Jorda Ribera sejak
awal tahun ini.
Ujian pertama Ribera adalah untuk memastikan skuad B-16 mampu bersaing pada kejohanan Piala ASEAN 2024 di Surakarta, Indonesia.
Barisan kejurulatihan B-16 sebelum ini menganggap kejohanan dwitahunan peringkat belia Asia Tenggara itu sebagai medan untuk menguji keserasian pemain.
Situasi ini disebabkan tumpuan pasukan adalah pada kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025 yang akan berlangsung pada Oktober depan dengan pasukan negara diundi bersama Laos, Emiriyah Arab Bersatu dan Lebanon.
Saingan tersebut boleh dianggap sebagai ‘langkah pertama’ skuad B-16 untuk menggapai impian ke Piala Dunia 2026 kerana pasukan teratas serta lima naib juara terbaik bakal layak secara merit ke Piala Asia B-17 2025 nanti.
Kejohanan Piala Asia B-17 yang berlangsung tahun depan pula bakal menjadi detik penentu buat pasukan kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa telah memberikan lapan slot automatik buat benua Asia ke Piala Dunia B-17.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui potensi untuk pasukan belia negara bersaing di peringkat tertinggi itu sangat cerah.
“Kalau nak lihat skuad senior bermain dalam kempen Piala Dunia mungkin agak lambat lagi. Namun, peluang B-16 terbuka luas kerana ada lapan slot diberikan pada Piala Dunia B-17 2025 nanti.
“Jika dibandingkan skuad senior negara dengan pasukan seperti Jepun mungkin terlalu jauh.
“Saya percaya semua pemain dalam pasukan B-16 mempunyai skil yang bagus dan kamu hanya perlu fokus bermain bola sepak sahaja,” katanya.
Sementara itu, pengurus skuad B-16 negara, Christopher Raj turut senada dengan pandangan Hamidin selain berharap anak-anak buahnya dapat bersedia mental dan fizikal untuk berikan yang terbaik nanti.
“Sasaran peribadi saya adalah untuk menyaksikan pasukan ini layak pada kempen Piala Asia B-17 2025 nanti. Ini kerana pada kejohanan terbabit pasukan bakal berpeluang untuk bersaing pada Piala Dunia B-17 2025 di Qatar.
“Pada saingan tersebut, slot automatik diberikan kepada pasukan benua Asia sudah bertambah ke sembilan negara termasuk tuan rumah berbanding tiga ke empat negara sahaja sebelum ini,” katanya.
Semoga pasukan ‘cilik’ negara berjaya menamatkan penantian 27 tahun FAM selepas kali terakhir menyaksikan pasukan beraksi pada Piala Dunia B-20 edisi 1997 dengan status selaku tuan rumah.














