fbpx
Gambar hiasan

Elak tragedi Salmonella berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Awal Jun lalu, seorang budak perempuan berusia dua tahun dan pelajar tingkatan lima maut dipercayai akibat keracunan selepas makan bihun dan telur goreng.

Hasil siasatan Kementerian kesihatan mengesahkan kejadian tersebut disebabkan bakteria Salmonella yang tercemar dalam hidangan tersebut.

Mengulas mengenai kes keracunan makanan yang disebabkan bakteria Solmanella, pengamal perubatan kesihatan, Dr. Qarafi Tee berkata, bakteria bacillus cereus atau Salmonella lazimnya ditemui pada telur mentah ataupun separa masak yang merebak melalui ayam betina yang telah dijangkiti.

“Meskipun telur merupakan satu sumber protein yang bagus, banyak vitamin dan elok untuk tumbesaran kanak-kanak, tetapi ia tidak terlepas daripada risiko wujudnya bakteria Salmonella.

“Tidak kira sama ada telur segar baharu sahaja keluar daripada punggung ayam ataupun pada kulit telur yang belum lagi pecah.

“Cara seseorang itu boleh dijangkiti bakteria Salmonella adalah dengan makan makanan yang tidak masak sepenuhnya. Sebagai contoh, kuning telur separuh masak,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, tidak dinafikan ramai dalam kalangan kita minat dan suka kuning telur yang cair dan tidak begitu matang (masak).

“Tetapi itulah antara punca yang boleh meningkatkan risiko jangkitan bakteria Somanella terutama dalam kalangan kanak-kanak.

“Memang saya tidak syorkan budak umur di bawah lima tahun ke bawah untuk makan telur yang tidak dimasak sepenuhnya,” katanya lagi.

Tambah pakar itu, kanak-kanak dalam lingkungan umur tersebut mempunyai sistem pertahanan perut yang kurang matang berbanding golongan dewasa.

Jelas Qarafi, anak kecil yang dijangkiti Salmonella turut akan mendapat komplikasi dan risiko yang akan ditanggung juga tinggi.

“Sekiranya, individu tersebut tidak dirawat dengan segera, maka ia boleh mengundang maut seperti mana dilaporkan dalam kes yang hangat dihebahkan media awal bulan ini,” ujarnya.

Senada dengannya adalah Pakar Pemakanan Kemajuan Pertanian Malaysia, Dr. Suri Roowi yang berpendapat jangkitan Salmonella sebenarnya amat mudah dielakkan.

Katanya, bakteria Salmonella mudah untuk dimatikan iaitu dengan menggunakan suhu sekurang-kurangnya 50 ke 60 darjah Celsius sahaja.

“Salmonella boleh dihapuskan dengan memasak sepenuhnya makanan anda menggunakan suhu 100 darjah Celsius.

“Seperkara lagi, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak berusia lima tahun ke bawah juga diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah jangkitan Salmonella daripada terus berulang.

“Kita tidak boleh lari daripadanya, tetapi kita boleh mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah daripada dijangkiti yang akhirnya membawa maut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN