Haruan yang berjaya dipancing oleh Aki di kolam takungan di kebun itu.

K2

Mengilat haruan di kebun rahsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN ini penulis agak kurang turun mengilat haruan. Sehingga Jun, seingat penulis, mungkin hanya dua kali penulis berjaya menaikkan haruan (channa striata), sekali secara tidak sengaja ketika mengilat di lubuk ikan jaguar dan sekali ketika di rumah adik ipar penulis.

Apabila penulis dipelawa untuk bertandang ke sebuah kebun oleh abang Talmisani (Tok Uban), penulis terus bersetuju.

Penulis mengenali Talmisani atau senang disapa abang Sani ketika membuat liputan acara Royal Pahang Billfish International Challenge pada tahun 2018, di mana Pasukan KelahGold kepunyaannya mendapat tempat pertama ketika itu.

Satu kebanggaan buat abang Sani kerana percubaan pertama menyertai pertandingan tersebut membuahkan hasil.

Berbalik kepada pelawaan untuk bertandang ke kebun haruan, pada kunjungan pertama, penulis hanya datang berseorangan, manakala abang Sani ditemani Aki yang sedia menunggu penulis seawal jam tujuh pagi di kebun.

Ketika tiba, penulis agak skeptikal dengan keadaan anak sungai yang mengalir sehingga membentuk satu kolam takungan.

Air yang keruh dan keadaan sungai yang kecil membuatkan hati kecil penulis berbisik, “betulkah ada ikan haruan bersaiz besar menghuni kolam ini” dan penulis yakin anda juga akan memikirkan perkara yang sama.

Abang Sani yang melihat raut wajah penulis segera menyatakan: “engkau cuba dulu, baru tahu,” ujarnya tergelak.

Sedang penulis membuat persediaan untuk memulakan sesi mengilat, Aki yang terlebih dahulu melabuhkan umpan jenis soft-plastic (SP) ke dalam air berjaya menaikkan seekor haruan sebesar lengan budak pada balingan pertama.

Penulis memilih menggunakan set pancingan ultralight dengan kekuatan tali 6lb disambung tali leader 12lb.

Mulanya penulis memilih menggunakan gewang jenis jump frog (JF), memandangkan masih awal pagi kerana mengikut pengalaman terdahulu, ikan jenis kepala ular amat gemar menghentam gewang permukaan pada awal pagi.

Setelah beberapa kali balingan, hanya sekali JF penulis dia disambar, itu pun ‘missed call’.

Dari JF penulis menukar pula kepada gewang jenis soft frog yang lebih lembut berwarna kuning. Balingan kedua berhasil mendapat sambaran dari sang haruan saiz ‘bujang’, namun selepas itu keadaan sedikit sepi, abang Sani kelihatan masih berusaha untuk mencari ‘first strike’nya.

Siapa sangka dalam kolam takuangan di kebun rahsia di negeri Selangor ini dihuni haruan bersaiz besar.

Disebabkan tiada sambaran di permukaan, penulis terus beralih kepada umpan soft plastic (SP) bersaiz 5 sm. Ketika ini matahari hampir menegak dan keadaan agak terik.

Sedikit tip ketika mengilat, pastikan kita mencuba pelbagai jenis teknik untuk mengenal pasti respons ikan terhadap gewang.

SP warna putih yang dicangkuk dengan mata kail jenis weedless menjadi taruhan, penulis yakin dengan keadaan cuaca pada waktu ini, ikan haruan akan lebih berlegar-legar di dasar kolam disebabkan suhu air menjadi panas.

Percaturan tersebut ternyata berhasil, seekor demi seekor haruan berjaya dinaikkan, sehinggakan stok SP penulis sebanyak 3 paket beserta mata habis dicukai haruan bersaiz gorgon.

Penulis agak terkejut dengan kekuatan ikan haruan di sini, kerana kebiasaannya ikan haruan bukanlah jenis ikan yang mempunyai daya juang yang kuat seperti saudaranya ikan toman, namun haruan di sini kerap membuat henjutan mengejut sehinggakan beberapa kali tali leader penulis meletup.

Kami menutup hari tersebut dengan membawa pulang 10 ekor ikan haruan bersaiz bujang.

Dua minggu kemudian, penulis kembali ke kebun tersebut, kali ini disertai sahabat penulis, abang Lan dan anaknya Aqil. Turut serta abang

Sani, Safaril atau Panjang, Aki dan seorang lagi sahabat mereka.

Hujan lebat pada awal pagi, membuatkan perjalanan penulis dan abang Lan agak terlewat. Abang Sani terlebih dahulu berada di kebun menunggu kami, ketika sampai, Panjang yang penulis sedia maklum handal mengilat, sudah menaikkan empat ekor haruan, seekor daripadanya bersaiz induk hampir 2 kg beratnya.

Keadaan kolam yang keruh dan sedikit sejuk membuatkan haruan agak kurang aktif.

Disebabkan pengalaman yang lepas apabila henjutan sang haruan bersaiz kasar sehingga penulis merasakan diri ini dibuli, penulis kali ini menggunakan set pancing yang lebih heavy 10-20lb, dan memilih SP bewarna merah berkilat, dicangkuk kail jenis EWG weedless yang mempunyai kepingan kipas.

Percaturan penulis kali ini tepat, usai balingan kedua penulis, satu henjutan padu terjadi dari dasar kolam.

Hasilnya haruan induk yang agak besar dinaikkan.

Pada hari tersebut, haruan agak culas untuk membaham gewang, cuma abang Lan yang berjaya menaikkan haruan bujang. Ini merupakan pengalaman pertamanya mengilat haruan kerana dia lebih kepada memancing di laut dan kolam air masin.

Selain penulis dan Panjang, selebihnya kumpau termasuk abang Sani. Jika ingin merasa tarikan haruan ganas seperti tarikan ikan toman bujang, bolehlah datang ke kebun ini yang terletak di negeri Selangor. Lokasi tepatnya? Rahsia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN