fbpx
LEBIH setahun meninggalkan episod putus tunang, Riena Diana membuka lembaran baharu apabila secara terbuka mendedahkan percintaannya bersama aktor Keith Foo.

Riena Diana di pintu asmaraloka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“BAHAGIA dan gembira,” itu ungkapan ringkas yang diungkapkan pelakon Riena Diana apabila ditebak tentang perasaannya sejak menjalinkan hubungan cinta bersama aktor Keith Foo.

Sambil senyuman meleret di bibirnya, Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, mengakui mereka kini dalam fasa mengenali hati budi.

Biarpun hubungan yang mula terjalin di set penggambaran drama Salju Rindu masih terlalu awal sekitar sebulan lebih, pasangan merpati dua sejoli itu memilih untuk tidak menyembunyikan percintaan mereka daripada umum.

“Sejujurnya, saya tidak ada perancangan untuk beritahu kerana kami masih sedang dalam proses mengenali hati budi.

“Tetapi ketika ke majlis ulang tahun perkahwinan Janna Nick, pihak media nampak dan sebagai artis saya tidak akan lari. Mereka (media) bertanya, jadi saya beritahu apa yang sepatutnya secara profesional.

“Cuma buat masa ini, saya takut untuk melabelkan hubungan kami kerana masih terlalu baru. Saya sendiri tidak tahu apa akan jadi pada masa depan. Apa pun saya berharap semua dapat mendoakan yang baik-baik untuk saya,” ujar Riena.

Terbenih cinta di set penggambaran, Riena bagaimanapun bertegas hubungan mereka bukanlah cinta lokasi yang selalunya bersifat sementara.

Sebaliknya, keserasian antara mereka menyebabkan hubungan yang bermula sekadar rakan artis bertukar menjadi teman istimewa.

“Sebenarnya tiada sebarang cinta lokasi kerana kami di set penggambaran sangat profesional. Apa yang saya sedar, selepas beberapa minggu bekerjasama, kami memiliki banyak persamaan.

“Selepas hubungan terjalin lebih dalam, kami sangat serasi. Kami berkongsi banyak hal yang sama seperti benda yang saya suka dan tidak suka.

“Malah, Keith Foo juga seorang yang gila-gila dan suka bergosip. Dia adalah Riena versi lelaki (ketawa), jadi mungkin sebab itu kami sangat selesa berkawan rapat. Dia juga seorang lelaki yang caring (penyayang) dan gentleman (budiman),” kongsi Riena lagi.

RIENA kini tanpa berselindung mengakui Keith Foo sebagai yang menjadi cerminan dirinya, paling membahagiakan saat ini.

Jodoh

Putus tunang sekitar Disember 2022, Rina sebenarnya tidak menyangka pintu hatinya akan kembali terbuka menerima cinta secepat ini.

Sungguhpun hubungan mereka masih terlalu baharu, namun kemesraan dan proses yang dilalui dalam percintaan mereka dianggap terlalu cepat.

Dalam tempoh sebulan lebih berkenalan, Riena telah pun bertemu dengan keluarga besar Keith pada majlis ulang tahun kelahiran anak tunggalnya, Skylar Raymond Foo yang kini berusia tujuh tahun.

“Sebenarnya, Keith Foo yang menjemput saya ke majlis ulang tahun anaknya dan di sana saya berkenalan dengan keluarga besarnya.

“Alhamdulillah, semuanya okey tetapi setakat ini belum ada apa-apa yang ingin diumumkan. Saya mahu hubungan ini berjalan secara semula jadi.

“Saya juga perlu menghormati keluarga saya. Doakan yang terbaik, jika ada jodoh antara kami,” tutur pelakon yang popular dengan drama Kampung People itu lagi.

Berbicara lanjut tentang hubungan cintanya, Riena menjelaskan dia terbuka memilih mana-mana lelaki untuk menjadi teman hidupnya tanya mengira status termasuklah duda.

“Duda solo, duda ada anak atau lelaki bujang saya tidak ada sebarang masalah. Jujur, status lelaki itu bukan satu masalah cuma jangan suami orang.

“Bagi saya jika kedua-dua belah keluarga boleh menerima. Tambahan saya juga sukakan budak-budak, jadi jika bakal suami ada anak saya okey sahaja,” akui Riena.

Sementara itu, ketika disoal sama ada dia mengetahui bahawa Keith Foo atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin, 41, pernah rapat dengan aktres Tiz Zaqyah, Riena mengakui perkara tersebut.

Namun, dalam pengetahuannya, hubungan antara Keith dan Tiz tidak lebih daripada rakan selain bekerjasama secara profesional.

“Ketika saya mula mengenal Keith dia beritahu, dia masih solo. Soal dengan Tiz setahu saya mereka hanya bekerjasama untuk mempromosikan sebuah produk.

“Saya tidak berani ulas lebih-lebih sebaiknya boleh ajukan soalan ini kepada Keith atau Tiz. Saya tidak rampas sesiapa!,” tegas Riena.

Riena menyifatkan Keith Foo sebagai seorang lelaki yang budiman dan penyayang.

Rindu radio

Beralih kepada karier seninya, Riena yang pernah bergelar penyampai radio Hot FM meluahkan rasa rindunya untuk kembali ke konti.

Kata Riena, dia terbuka kepada sebarang peluang yang hadir untuk kembali mengasah bakat sebagai penyampai radio.

“Ketika saya berhenti daripada Hot FM, kami tidak bergaduh dan ada persefahaman. Ketika itu, jadual saya sebagai pelakon sangat padat dan Hot FM terpaksa melepaskan saya.

“Jadi, jika ada peluang saya ingin sangat kembali ke radio kerana saya mahu gilap bakat sebagai penyampai radio,” katanya.

Selain berlakon, Riena juga menjadi panel penyiasat tetap dalam program realiti popular, I Can See Your Voice (ICSYV) musim ketujuh bersama Bell Ngasri, Naim Daniel dan Siti Khadijah Halim.

Jelas Reina, meskipun jarak usia antaranya dengan panel lain terutama Bell agak jauh, dari segi mencapai keserasian bukan satu masalah. 

“Saya tidak pernah bekerjasama dengan mereka semua dalam program, tetapi boleh serasi dan semua gila-gila terutamanya abang Bell Ngasri.

“Apa yang boleh saya janjikan, selain debaran meneka siapa penyamar siapa penyanyi sebenar, penonton akan ketawa meligat gelagat kami yang memang lupa diri (ketawa).

“Penerbit membenarkan kami menjadi diri sendiri, tiada yang berlakon. Memang lucu dan saya sangat gembira sepanjang proses rakaman program ini,” tutur Riena.

Selain mereka berempat, program ICSYV musim ketujuh turut menampilkan penyanyi dan pelakon, Izzue Islam serta Shiha Zikir sebagai pengacara.

Menariknya program yang akan bersiaran di TV3 setiap Ahad, pukul 9 malam bermula 23 Jun ini turut menyuntik elemen baharu iaitu peserta duo.

“Kali ini memang susah untuk teka, kalau penonton hendak tahu betapa riuhnya kami, jangan lupa tonton program ICSYV,” ujar Riena menutup bicara.

Bukan publisiti murahan, Riena Diana mempertahankan keseriusan hubungannya dengan Keith, bahkan mereka sudah pun berjumpa dengan keluarga besar masing masing. – Saddam Yusoff
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN