BUKU berharga RM50, gincu bernilai RM200 dan coklat (20 sen), kesemua ini diperoleh secara ‘percuma’ oleh Anita (bukan nama sebenar) yang memiliki satu tabiat buruk iaitu mencuri.
Bukannya tidak mampu, tetapi dia merasakan satu kepuasan apabila dapat membawa pulang sesuatu dari kedai tanpa ditangkap oleh pengawal keselamatan.
Bahkan wanita berusia 35 tahun itu berkata, statusnya sebagai jurutera awam menyebabkan tiada siapa pernah mengesyakinya, sekali gus memudahkan misi tersebut.
“Saya tidak rasa diri saya seorang yang jahat. Saya tidak pernah merancang sebarang aktiviti pencurian, malah saya mampu membeli barangan yang saya ambil.
“Cuma, saya rasa teruja apabila dapat membawa keluar barang dari kedai. Ia satu tabiat yang memberi saya satu kepuasan,” katanya kepada Panorama.
Akui wanita dari Pulau Pinang itu, keinginan untuk mencuri sudah wujud dalam dirinya sejak dia masih pelajar sekolah rendah.
Kebanyakan barang yang dicuri bukanlah sesuatu yang diidam-idamkannya, tetapi dia hanya sukakan adrenalin ketika melakukan perkara berkenaan.
Akuinya, biarpun kadangkala timbul rasa bersalah, namun Anita tidak berdaya mengawal dirinya daripada melakukan perkara tersebut.
Ujar Anita, dia mengesyaki dirinya mengalami penyakit mental, Kleptomania setelah melakukan pencarian maklumat di internet.
“Saya tak pernah diagnosis oleh doktor kesihatan mental tentang tabiat itu.
“Ini kerana, saya tidak mahu dianggap sebagai penjenayah.
“Jujur, tiada siapa teraniaya kerana saya tak mencuri dalam kuantiti banyak.
“Kadang-kadang sebiji gula-gula berharga 20 sen sahaja,” jelasnya.

Mengikut definisi perubatan, Kleptomania adalah kegagalan yang berulang-ulang untuk menghalang gerak hati daripada mencuri.
Berkongsi tentang modus operandinya, Anita berkata, dia tidak pernah mencuri tanpa membeli barangan lain dalam sesuatu premis perniagaan.
Bagaimanapun, dia akan selitkan satu atau dua perkara ke dalam poket baju atau beg tangannya sebelum keluar dari kedai tersebut.
Di dalam fikirannya, benda yang diambil merupakan ‘free gift’ daripada premis perniagaan yang sememangnya tidak akan rugi di atas kelakuannya itu.
“Saya tidak mencuri di premis perniagaan kecil. Saya lebih gemar mencuri di pasar raya besar kerana ia buat saya kurang rasa bersalah.
“Hakikatnya, saya ‘mencuri dari orang kaya’, sekali gus membuatkan saya teruja untuk melakukan perkara berkenaan,” jelasnya.
Disoal sama ada dia pernah tertangkap sepanjang aktivitinya itu, Anita mendedahkan bahawa dia pernah ditahan beberapa kali.
Namun, disebabkan dia pandai memanipulasi keadaan, selalunya ia menjadi seperti satu situasi salah faham sahaja.
Ujarnya, dia tidak memiliki masalah untuk untuk membayar barangan yang diambil kerana hakikatnya dia sebenarnya mampu.
“Disebabkan ini adalah satu ketagihan, saya tidak berasa bersalah langsung ketika melakukan aktiviti itu. Jadi, saya tidak teragak-agak.
Sekiranya saya tertangkap, saya menyatakan terlupa atau tersalah masuk ke dalam beg,” jelasnya.
Biarpun begitu, Anita berharap dirinya boleh berubah memandangkan dia kini telah berkahwin dan memiliki seorang anak.
Dia juga berharap kenalan terdekatnya tidak memandang serong sekiranya tahu dia memiliki ketagihan itu.
“Saya cuba atasi ketagihan mencuri ini. Namun, saya harap saya dapat sokongan, bukan tomahan atau hukuman.
“Semoga suatu hari, saya mampu cari jalan keluar daripada dilema ini,” jelasnya.














