fbpx
WWF sentiasa berusaha memelihara hutan paya bakau di negara ini yang terancam.

Usaha WWF pulihkan bakau Rajang-Belawai-Paloh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HUTAN paya bakau merupakan antara kawasan yang semakin terancam ekoran desakan pembangunan untuk ditimbus kembali atau dijadikan kawasan akuakultur.

Malah, kawasan itu sering diterokai kerana sumber lautnya yang pelbagai dan kayu bermutu tinggi sehingga menyebabkan banyak hutan paya musnah, sekali gus mengganggu keseimbangan ekosistem.

Pegawai Kanan Pemuliharaan Bakau dan Ikan Lumba-lumba, Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia, Vivien Yeo berkata, antara hutan paya bakau di Malaysia yang memerlukan perhatian dan pemulihan adalah kawasan Rajang-Belawai-Paloh, Sarawak.

Ujarnya, pemulihan hutan merupakan langkah berterusan yang bertujuan meremajakan tanah.

“Malah, ia mampu mencipta masa depan, di mana alam semula jadi dan manusia boleh berkembang maju.

“Melihat kepada situasi di Rajang-Belawai-Paloh dan keperluannya kepada pemulihan tanah, kawasan itu menjadi tumpuan kami untuk tujuan pemeliharaan bersama komuniti setempat.

“Ia merupakan satu inisiatif sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024,” katanya dalam satu perkongsian baru-baru ini.

Tambahnya, biarpun bakau dikenali dengan daya tahannya dan kapasiti luar biasa untuk penjanaan semula, namun terdapat keadaan di mana proses semula jadi itu terhalang oleh degradasi atau pemusnahan habitat.

Untuk makluman, kawasan Rajang-Belawai-Paloh adalah tempat bertemunya tiga sungai iaitu Sungai Paloh di utara, Sungai Rajang di selatan dan Sungai Belawai di antaranya.

Ia adalah tempat istimewa dengan hutan bakau luas dipenuhi hidupan daripada ikan sehingga mamalia marin seperti ikan lumba-lumba Irrawaddy (Orcaella brevirostris) dan ikan lumba-lumba tanpa sirip (Neophocaena phocaenoides).

Selain itu, kawasan itu merupakan ‘rumah’ kepada primata seperti monyet proboscis (Nasalis larvatus) dan monyet daun perak (Trachypithecus cristatus), serta pelbagai spesies burung termasuk bangau adjutan (Leptoptilos javanicus).

Tanah lumpur yang dicipta oleh hutan bakau menyediakan tempat makan dan bertelur yang penting untuk burung hijrah dari hemisfera utara semasa musim sejuk.

Burung-burung berkenaan mencari makanan yang banyak dan persekitaran selamat di sini sebelum meneruskan perjalanan ke selatan atau kembali ke utara.

Kongsi Vivien lagi, bagi penduduk setempat di kawasan Rajang-Belawai-Paloh, bakau bukan sekadar pokok.

Malah katanya, ia adalah talian hayat yang bertindak sebagai tapak semaian, tempat makan untuk ikan, ketam dan udang, menyokong perikanan, serta sumber mata pencarian.

Usaha memulihara melibatkan penanaman anak pokok bakau di kawasan terjejas terutamanya di Rajang-Belawai-Paloh, Sarawak.

“Kawasan ini juga menyediakan kayu api yang digunakan dalam pengeluaran udang salai dan makanan istimewa tempatan dikenali sebagai sesar udang.

“Selain itu, bakau memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan pantai daripada gelombang ribut dan hakisan.

“Kawasan ini juga dapat membantu memerangi perubahan iklim dengan berfungsi sebagai penyerap gas karbon,” jelasnya.
Vivien menegaskan, usaha memulihkan hutan bakau melibatkan lebih daripada sekadar menanam pokok.

“Memandangkan bakau mempamerkan corak zonasi berbeza yang ditakrifkan oleh paras kemasinan, frekuensi pasang surut dan jenis tanah, maka pemilihan spesies menjadi kritikal untuk memastikan kemandiriannya.

“Oleh itu, pertimbangan yang teliti terhadap faktor-faktor ini adalah penting untuk memastikan kejayaan usaha pemulihan bakau,” kongsinya.

Justeru, WWF sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak, bersama Jabatan Hutan Sarawak, pihak berkuasa perancang tempatan dan agensi kerajaan lain.

Selain itu, komuniti berdedikasi di Rajang-Belawai-Paloh akan mengetuai kerja pemulihan kawasan bakau yang terdegradasi.

Ujarnya, matlamat mereka adalah untuk memelihara ekosistem yang penting buat mata pencarian dan biodiversiti.

Vivien juga menekankan bahawa penjagaan, pemantauan dan penyelenggaraan yang berterusan adalah penting kerana ancaman daripada ketam serta kambing yang memakan pucuk bakau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN