Kalau kita sering atau pernah menggunakan tren Transit Aliran Ringan (LRT), kita akan pernah nampak kerusi merah dan kerusi biru.
Kerusi merah dikhaskan untuk golongan memerlukan seperti wanita mengandung, warga emas, orang kelainan upaya serta wanita dengan anak kecil.
Sungguhpun golongan itu tidak ramai menggunakan LRT, tetapi mereka sentiasa ada menggunakan kenderaan awam itu.
Mereka biasanya akan naik di kawasan stesen LRT ‘taman lama’ atau taman penduduk ramai golongan pencen seperti Taman Bahagia dan Taman Paramount.
Sebagai pengguna tetap LRT ke tempat kerja hampir tiga bulan ini, pelbagai ragam pengguna dapat dilihat yang mengabaikan terus tempat duduk merah itu.
Amat mengecewakan, apabila pekerja-pekerja golongan belia sepanjang masa menghadap skrin tidak kira masa dan tidak sedikit pun perasan mereka enak duduk di kerusi merah sedangkan golongan memerlukan berdiri di hadapan mereka.
Hampir setiap hari gelagat itu boleh dilihat kelakuan berkenaan, mereka tidak sedikit pun perasan ada pasangan warga emas berdiri sedangkan mereka layan drama Korea duduk di kerusi merah.
Paling menyakitkan hati ada sekali depan mata penulis sendiri ada seorang wanita sarat mengandung telah berdiri lama sambil pegang perut dan seperti sakit belakang berdiri, tetapi tidak seorang pun menawarkan tempat duduk.
Ketika itu penulis berdiri dekat dengannya, ketika penulis bertanya dengan kuat sama ada dia mahu duduk, tiada ada seorang orang muda yang duduk tawarkan tempat. Agak sedih golongan sekarang sangat tidak sensitif.
Mungkin dia tidak dengar sebab fon telinga dipasang kuat sehingga sensitiviti sudah tidak ada langsung dalam hati. Memalukan.
Ramai yang duduk penumpang muda-muda seperti fresh grad seronok duduk mengadap skrin telefon pintar masing-masing layan video TikTok tidak peduli keadaan sekeliling.
Mereka juga mengikut trend menjengkel itu mengenakan fon telinga seperti orang luar negara ke tempat kerja sehingga tidak tahu keadaan sekeliling sama ada ada orang tua atau wanita mengandung di depan mereka yang perlu duduk.
Situasi ini bukan terpencil tetapi hampir 95 peratus pengguna LRT mengenakan fon telinga dan mengadap skrin telefon tanpa hiraukan keadaan sekeliling agak menjengkelkan mata.
Pernah sekali tular sekeping gambar yang dikecam oleh sebilangan warga platform X apabila memperlihatkan hampir semua penumpang LRT terkandas mengenakan fon telinga dan melihat skrin telefon.
Sebenarnya itulah realiti apabila naik pengangkutan awam sehingga ada pengumuman tukar tren pada luar waktu puncak, golongan itu tidak keluar kerana asyik dan tetap dalam tren.
Sungguh menjengkilkan. Hidup mati dengan fon telinga dan telefon di tangan.














