PENDIDIKAN merupakan sesuatu yang sangat penting bagi menimba ilmu pengetahun termasuk membentuk keperibadian seseorang untuk membuat keputusan yang terbaik dalam kehidupan.
Lazimnya, di Malaysia, seseorang individu akan melalui alam persekolahan di peringkat rendah dan menengah sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, terdapat segelintir remaja memandang enteng terhadap pendidikan dan beranggapan bahawa sekolah adalah sesuatu yang menyusahkan.
Tanpa berfikir panjang serta menyedari kesan yang bakal dialami, golongan ini memilih untuk berhenti sekolah dan lebih rela bekerja untuk mencari duit.
Perkara berkenaan bukan sesuatu yang baharu, malah penulis juga pernah melihat situasi sama berlaku dalam kalangan rakan-rakan sewaktu di bangku sekolah.
Mereka menggunakan kelemahan dalam akademik sebagai alasan serta mula terlibat dalam gejala sosial.
Kementerian Pendidikan sebelum ini merekodkan seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh 2020 sehingga Julai 2021.
Seorang remaja dikenali sebagai Zarul, 19, sebelum ini mengakui menyesal kerana tidak mengambil SPM dan berhenti sekolah sewaktu di tingkatan dua kerana terpengaruh dengan pujukan rakan sebaya.
“Mula-mula saya kerja kedai burger dan sekarang jual air di pasar malam. Tapi bila saya nak cari kerja yang bagus sikit, semua tak nak ambil sebab saya tiada SPM.
“Sekarang, saya rasa menyesal sebab tak habiskan sekolah. Selalu pesan kepada adik-adik supaya jangan jadi macam saya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu, baru-baru ini Kosmo! melaporkan sejumlah 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Biarpun jumlah peratusan tersebut tidak begitu besar, namun ia menunjukkan bahawa kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap pendidikan masih rendah.
Menurut Pakar Sosiologi Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, pihak sekolah perlu mengenal pasti golongan berisiko tinggi itu.
Katanya, kebanyakan pelajar yang berhenti sekolah tidak mempunyai minat belajar kerana memiliki pencapaian yang rendah sekali gus hilang motivasi untuk meneruskan persekolahan.
“Kumpulan ini perlu dikenal pasti dan dibantu semula kerana mereka sudah hilang semangat nak belajar. Peranan yang besar juga perlu dimainkan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Ini kerana, ia bukan sahaja melibatkan satu sekolah, tetapi beberapa sekolah dalam daerah yang sama,” jelasnya.
Justeru, katanya, semua pihak perlu bersama-sama meningkatkan kesedaran kepentingan pendidikan selain menjadikan pembelajaran sebagai suatu perkara yang menyeronokkan dan bukan membebankan.
Elakkan meletakkan tekanan yang besar kepada pelajar, murid dan anak-anak, sebaliknya sentiasa memberi motivasi kepada mereka.
Ini kerana, akhirnya, mereka yang perlu menghadapi cabaran hidup apabila menginjak dewasa seperti mencari kerja, menyara keluarga termasuk menguruskan kehidupan.














