KEBIASAANNYA, aktiviti pengembaraan motosikal lebih sinonim dengan kaum lelaki.
Namun kini, aktiviti itu turut disertai oleh kaum Hawa dan ramai wanita di luar sana memiliki motosikal berkuasa tinggi.
Shima Nekmat antara salah seorang wanita yang mempunyai obsesi terhadap aktiviti tersebut dan memiliki motosikal berkuasa tinggi.
Malah, dia bersama seorang lagi rakannya iaitu Linda Hamid baru-baru ini telah mencabar diri dengan menjelajah Semenanjung Malaysia sejauh 2,005 kilometer (km) pada 25 Mei lalu.
Mereka menunggang motosikal jenis Harley Davidson Sportster 883 dan Harley Davidson Sportster 48.
Pengembaraan yang dinamakan sebagai HER 2,005km Ride Across Malaysia itu dilakukan mereka dalam tempoh enam hari lima malam.
Mengulas tentang pengembaraan tersebut, Shima menjelaskan, HER 2,005km Ride Across Malaysia bukan sekadar satu pengembaraan, sebaliknya ia menjadi bukti bahawa wanita juga boleh melakukan aktiviti yang biasanya didominasi oleh lelaki.
Menurutnya, objektif utama pengembaraan itu adalah untuk memberi galakan kepada penunggang motosikal wanita lain.
“Kadangkala, penunggang wanita ini ada motosikal, tetapi jarang melakukan pengembaraan jarak jauh.
“Kami mahu memberi inspirasi kepada generasi baharu wanita untuk bermotosikal dan mengejar minat mereka dengan yakin, sekali gus menjadikannya sebagai gaya hidup,” katanya.
Pada pengembaraan itu, mereka telah memulakan perjalanan di Shah Alam, Selangor dan menuju ke Selatan melalui Negeri Sembilan, Melaka, sebelum bermalam di Johor.
Kemudian, mereka meneruskan perjalanan ke negeri Pantai Timur dan bermalam di Kuantan, sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu serta Kelantan.
Seterusnya, Shima dan Linda meneruskan perjalanan ke bahagian Utara tanah air iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sebelum pulang ke ibu kota melalui Perak.
Menceritakan tentang pengembaraannya itu, Shima menjelaskan, secara keseluruhan mereka menempuh jarak antara 300km hingga 400km pada setiap hari.
Ujarnya, memandangkan mereka wanita, aspek keselamatan amat dititikberatkan.
Shima memberitahu, dia akan memastikan mereka bergerak awal pagi dan sampai ke destinasi dituju sebelum pukul 3 petang.
“Kami akan merancang perjalanan bagi memastikan kami tidak berasa terlalu letih apabila menunggang berjam-jam, sehingga boleh menguji fizikal dan mental.
“Kami juga berhadapan dengan cabaran semasa perjalanan termasuk cuaca buruk dan bentuk bumi yang sukar seperti berbukit,” jelasnya.
Pada hari kedua, mereka menempuh perjalanan sejauh 392km dari Johor Bahru menuju ke Kuantan, Pahang dan ia memberikan pengalaman cukup meletihkan.
Perjalanan itu sangat jauh dan mereka harus melalui Mersing yang sesak dengan lori dan kereta.
“Pada hari ketiga, kami menuju ke Kelantan dan sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan indah.
“Kemudian, dari Kelantan kami menuju ke Utara melalui jalan Jeli dan Gerik, laluan itu agak mencabar.
“Sepanjang perjalanan, kami menempuh selekoh tajam, selekoh panjang, jalan mendaki dan menuruni laluan curam,” jelasnya.
Tambahnya, dia bersyukur sepanjang pengembaraan itu tidak ada sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Dalam pada itu, Shima menjelaskan, dia telah merancang pengembaraan berkenaan sejak tiga tahun lalu, namun tergendala disebabkan pandemik Covid-19.

Pelan pada mulanya melibatkan tiga peserta, namun salah seorang rakan mereka tidak dapat menyertai pengembaraan itu.
Akhirnya, Shima memilih untuk meneruskan pengembaraan itu bersama Linda.
“Kami melakukan persediaan menyeluruh demi menjayakan pengembaraan HER 2,005km Ride, termasuk sesi latihan yang ketat, aspek keselamatan dan perancangan laluan.
“Persediaan kami merangkumi peralatan keselamatan, termasuk topi keledar, jaket, sarung tangan dan but untuk memastikan perlindungan serta keselesaan sepanjang perjalanan.
“Selain itu, kami sentiasa memastikan motosikal berada dalam keadaan baik bagi melalui perjalanan jauh,” terangnya.
Setelah pengembaraan itu berjaya ditamatkan, Shima mempunyai perancangan lain pada masa hadapan.
Dia berhasrat untuk mengembara dengan motosikalnya di Borneo dan seterusnya ke Thailand.

Mengulas tentang faktor yang mendorong dirinya terlibat dengan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi, Shima menjelaskan, semuanya bermula pada 2017.
Setelah berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana, dia memikirkan untuk melakukan dua perkara iaitu menyelam dan menunggang motosikal. Namun, dia tidak mempunyai lesen motosikal ketika itu.
“Saya terus mengambil lesen motosikal berkuasa tinggi selepas itu.
“Disebabkan saya tidak pernah ada pengalaman menunggang motosikal, jadi saya berhadapan dengan cabaran ketika mengambil lesen.
Akhirnya, setelah mendapat lesen, dia membeli motosikal dan sehingga kini aktif dengan aktiviti tersebut.
Dalam pada itu, Linda berkata, dia gembira dapat menamatkan pengembaraan berkenaan tanpa sebarang masalah.
“Pengembaraan motosikal jarak jauh ini juga menunjukkan bahawa wanita juga mampu melakukannya.
“Saya berharap ia akan menjadi satu inspirasi buat wanita di luar sana yang memiliki motosikal untuk mencuba pengembaraan sebegitu,” katanya.
Linda juga menasihati wanita yang baru aktif menunggang motosikal berkuasa besar supaya membiasakan diri dengan kenderaan itu terlebih dahulu, sebelum menyertai sebarang pengembaraan.














