SEJAK usia remaja, pemuda itu sudah memasang impian untuk keluar dari kampung halaman dan mencari rezeki di Kuala Lumpur.
Berasal dari Kuching, Sarawak, Dilan (bukan nama sebenar) memasang impian tersebut kerana ‘termakan’ dengan gambaran hidup moden di ibu kota seperti dalam drama televisyen.
Selepas tamat perperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia memutuskan untuk berhijrah selepas berjaya mendapat pekerjaan di sebuah restoran yang menyediakan rumah buat kakitangan di Kuala Lumpur.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, semasa hari pertama menjejakkan kaki di ibu kota, dia amat teruja dan gembira kerana apa yang diidamkan sudah tercapai.
“Ketika itu saya berusia 17 tahun dan dapat bekerja di Kuala Lumpur adalah satu rahmat yang besar.
“Namun, apabila sudah lama tinggal di sini, saya merasakan realitinya tidak sama seperti apa yang dilihat dalam drama,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Tambahnya, hal itu dirasakan kerana pekerjaannya di restoran amat memenatkan, malah gajinya juga kecil dan hanya cukup-cukup makan.
Oleh kerana tidak tahan bekerja di restoran, Dilan kemudian memutuskan untuk berhenti kerja dan tinggal bersama sepupunya sementara mencari pekerjaan baharu.
Ketika dalam tempoh menganggur, dia mengakui bahawa terpaksa mengikat perut dan menjimatkan simpanan yang semakin menipis.

“Saya menganggur sekitar lima bulan dan pada masa itu saya memang betul-betul mencatu perbelanjaan.
“Malah, sepupu juga bukanlah bergaji besar dan jika kami berdua tidak ada duit, kami terpaksa mencari jalan untuk mendapatkan makanan,” ujarnya.
Kongsinya lagi, antara cara mereka ingin mengisi perut adalah dengan meredah kenduri orang yang tidak dikenali.
Perbuatan itu merupakan antara pilihan yang salah pernah dilakukan hingga mengundang malu kepada dirinya.
Ceritanya lagi, awalnya mereka hanya melakukan perkara itu di tengah bulan semasa tiada duit.
Namun, lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan hingga hampir setiap minggu Dilan dan sepupunya akan mencari kenduri-kenduri kahwin untuk makan secara percuma.
Biasanya, mereka akan ke kenduri orang Melayu atau India yang diadakan di taman-taman perumahan atau dewan orang ramai.
Sehingga pada suatu hari, di satu kenduri perbuatan mereka dapat dihidu oleh tuan rumah.
“Ketika itu kami meredah di sebuah kenduri yang diadakan di dewan orang ramai, awalnya kami hanya menyelinap mengikuti pintu sisi dan terus mengambil makanan.
“Namun, tanpa disangka perbuatan kami itu disedari oleh bapa pengantin yang kemudian mendatangi kami dan bertanyakan beberapa soalan,” katanya.
Oleh kerana mereka tidak dapat menjawab pertanyaan daripada bapa pengantin, Dilan dan sepupunya itu dimarahi oleh tuan rumah di depan orang ramaiTidak hanya itu, mereka juga dihalau dari kenduri tersebut dan dikatakan tidak tahu malu kerana datang ke kenduri tanpa diundang.
Sejak kejadian itu, Dilan berasa serik dan tidak lagi melakukan perbuatan tersebut selain mula mencari pekerjaan baharu.
Tidak lama selepas itu, dia berjaya mendapat kerja sebagai seorang juruwang di sebuah kedai serbaneka berdekatan dengan rumah sepupunya.
Dilan mengakui meskipun kejadian itu sudah lama berlaku, dia masih merasa malu setiap kali mengingati peristiwa itu.














