PELBAGAI reaksi dapat dilihat saat calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menerima keputusan mereka baru-baru ini.
Manakan tidak, usaha yang ‘dilaburkan’ untuk menuntut ilmu sepanjang 11 tahun di sekolah akhirnya membuahkan hasil.
Keputusan SPM bakal menjadi penentu hala tuju masa depan seseorang individu dalam babak hidup seterusnya.
Namun, tahukah anda, terdapat lima peperiksaan dikategorikan sebagai paling sukar di dunia dan memiliki peratusan lulus yang rendah.
Minggu ini, Panorama berkongsi lima peperiksaan dunia dengan kadar kesukaran tertinggi.
1. Gaokao (China) Kadar peratusan lulus: Kurang daripada 0.25 peratus (%)
Peperiksaan Gao Kao merupakan peluang pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk merebut tempat ke universiti ternama di China.
Rata-rata memerlukan masa 12 tahun persediaan sebelum menghadapi peperiksaan dengan keseluruhan durasi selama 9 jam.
Disebabkan kesukaran peperiksaan itu, beberapa universiti Eropah dan Amerika Syarikat telah mula mengiktiraf sijil peperiksaan Gaokao.
2. UPSC Civil Services Exam (India) Kadar peratusan lulus: 0.3%
Peperiksaan ini untuk memasuki perkhidmatan awam di India termasuk Indian Administrative Service (IAS) dan Indian Police Service (IPS).
Calon perlu menduduki ujian saringan terlebih dahulu. Setelah layak, mereka akan dipanggil untuk menduduki ujian utama.
Jika lulus, mereka akan ditemu bual oleh panel yang akan menilai keperibadian, kesedaran dan kemahiran penaakulan calon.
3. IIT JEE (India) Kadar peratusan lulus: 1%
Joint Entrance Exam, Institut Teknologi India (IIT JEE) dibahagikan kepada dua bahagian.
Setiap satu mengambil masa tiga jam untuk diselesaikan.
Peperiksaan mengukur kemahiran dalam subjek Fizik, Kimia dan Matematik.
Ia juga menguji kemahiran komprehensif, penaakulan dan analisis.

4. GATE (India) Kadar peratusan lulus: 18%
PEPERIKSAAN Graduate Aptitude In Engineering (GATE) adalah peperiksaan untuk pelajar kejuruteraan yang ingin melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana.
Peperiksaan selama tiga jam berasaskan komputer itu diadakan di India, Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Ethiopia dan Emiriyah Arab Bersatu.
Ia merangkumi bidang seperti kejuruteraan, matematik, sains, dan kebolehan umum.
5. CIE (Amerika Syarikat) Kadar peratusan lulus: 26%
Cisco Certified Internetwork Expert (CIE) ialah pensijilan teknikal yang ditawarkan oleh Cisco Systems.
Calon mesti lulus ujian bertulis selama dua jam terlebih dahulu untuk meneruskan peperiksaan dalam makmal selama lapan jam.
Bidang peperiksaan berkenaan meliputi konfigurasi, penyelesaian masalah serta penyepaduan.














