Bernikah di sempadan dan memilih untuk terus merahsiakan perkahwinan, itu situasi yang berlaku sejak bertahun lama dahulu.
Bukan tiada yang mendaftarkan perkahwinan mengikut undang-undang di Malaysia, namun lebih ramai memilih untuk menyembunyikan ikatan berkenaan.
Punca pasangan memilih bernikah di Thailand antaranya kerana tidak mendapat restu keluarga selain mahu merahsiakan perkahwinan kedua mahupun ketiga.
Akibatnya perkahwinan itu terus menjadi rahsia selama bertahun-tahun dan natijahnya anak dilahirkan tidak didaftarkan seterusnya tiada sijil lahir.
Berdasarkan statistik ramai kanak-kanak yang tinggal bersempadan negara Gajah Putih tidak memiliki dokumen pengenalan diri meliputi Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah.
Perkara tersebut terjadi berikutan perkahwinan ibu bapa mereka di negara gajah putih itu tidak teratur dan tidak didaftarkan di negara ini.
Selain ejen yang boleh didapati dengan mudah di sempadan, khidmat nikah sempadan juga banyak dipromosikan di media sosial termasuk TikTok.
Soal bayaran bergantung kepada pakej yang disediakan. Ada antaranya menawarkan harga di bawah RM1,000 sehingga RM2,400, pakej dua hari satu malam termasuk penginapan, makan minum selain urusan pernikahan.
Malah, ada yang menawarkan pakej honeymoon selain anda tidak perlu bersusah menyediakan saksi dan wali.
Memilih untuk bernikah di sana itu adalah keputusan masing-masing atas apa tujuan sekalipun.
Bagaimanapun, seeloknya, jangan gadai masa depan pasangan terutama anak-anak, kebajikan mereka hanya kerana mahu merahsiakan perkahwinan seterusnya tidak mendaftarkan pernikahan mengikut undang-undang di negara ini. Kalau cinta kenapa sempadan dipilih.
Hakikatnya, di sebalik kebahagiaan terselit derita bakal ditanggung, tiada dokumen pengenalan diri memberi kesan besar apabila anak-anak ini kerana mereka terpinggir daripada bantuan kerajaan terutama daripada sudut pendidikan dan kesihatan.
Mahu daftar anak perlukan sijil nikah, anak hendak memulakan persekolahan juga perlukan sijil lahir.
Dari satu hal lain, implikasi daripada perkahwinan tidak didaftarkan ialah apabila anak-anak ini telah meningkat dewasa berkahwin dengan adik beradik sendiri.
Menerusi laporan akhbar ini, seorang peguam syarie mendedahkan perkara itu apabila seorang wanita hanya mengetahui dirinya berkahwin dengan abang sendiri selepas kelahiran anak pertama.
Perkara itu terbongkar selepas ibu mentua wanita berkenaan mendedahkan dia berkahwin di Thailand dengan lelaki yang mengaku duda dan tidak mendaftarkan perkahwinan.
Sehubungan itu, berfikirlah sewajarnya sebelum memilih untuk bernikah di luar negara, jika sayangkan masa depan dan anak-anak usahlah.
Jika telah bernikah, lakukanlah perkara sewajarnya, ikutlah saluran betul dengan mendaftar perkahwinan di negara mengikut undang-undang.
Tahniah Jabatan Pendaftaran Negara membantu ibu bapa mendaftarkan anak-anak.
Selamatkan masa depan anak-anak ini. Bahagia usah pertaruhkan masa depan anak-anak demi kepentingan diri.














