fbpx

Beli kereta mahal, jangan sampai terbeban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USIA 24 hingga 30 tahun dianggap tempoh seseorang invividu itu ‘memulakan kehidupan’ dalam segala aspek.

Inilah masanya orang muda ‘tunjuk bisa’ membeli gajet mahal dan kereta mewah meskipun ada yang menyewa bilik. Biar papa asal bergaya.

Barangkali itu pegangan rata-rata anak muda yang dambakan kehidupan bergaya walaupun dihambat komitmen wajib seperti sewa rumah, pinjaman pendidikan dan bil utiliti.

Hakikatnya hidup hari ini berpaksikan media sosial, tekanan untuk menunjukkan gaya hidup mewah menjadi faktor utama yang mendorong anak muda berhabis tanpa berfikir panjang. Keinginan menunjukkan status sosial menyebabkan orang muda gagal mengurus kewangan.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Mohammad Noorizuddin Nooh, keinginan memiliki barang mewah tanpa perancangan kewangan menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kewangan rata-rata anak muda.

“Pendidikan kewangan dan nasihat tepat adalah kunci untuk membantu orang muda membuat keputusan bijak dan memastikan masa depan kewangan mereka lebih cerah.

“Pendidikan kewangan yang mencukupi perlu diberikan untuk memastikan mereka faham akan kepentingan menabung, urus perbelanjaan, dan membuat keputusan kewangan yang bijak.

“Misalnya, beli kereta mahal menyebabkan mereka terpaksa membuat pinjaman besar.

“Ini mengakibatkan beban kewangan lebih tinggi setiap bulan dan boleh membawa kepada masalah hutang jika tidak diuruskan dengan bijak, akhirnya merana tertekan dek nafsu sendiri,” katanya.

Dalam situasi ini, menurut Noorizuddin, anak muda perlu belajar untuk mengawal keinginan dan memahami keutamaan kewangan.

“Orang muda perlu membuat perancangan kewangan jangka panjang dan menetapkan matlamat kewangan yang jelas. Ini dapat membantu mereka mengelakkan perbelanjaan impulsif sekali gus memastikan kestabilan kewangan.

“Misalnya, memiliki kenderaan merupakan satu keperluan bagi sesetengah individu terutama di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada pengangkutan awam.

“Namun, membuat keputusan untuk membeli kereta yang berjenama mahal tanpa pertimbangan kewangan yang matang boleh membawa kepada pelbagai masalah kewangan,” ujarnya.

Dalam mencari penyelesaian daripada terjerat dengan situasi sedemikian, Noorizuddin berkata, golongan muda seharusnya fokus kepada membina asas kewangan yang kukuh sebelum menanam impian menggunung kerana bimbang jatuh ditimpa tangga.

“Membuat keputusan kewangan yang besar tanpa pertimbangan matang boleh menjejaskan keselamatan kewangan untuk tempoh jangka panjang.

“Orang muda seharusnya cakna dalam membentuk kewangan seperti menabung untuk masa depan, pelaburan dan perancangan pembelian rumah daripada membelanjakan wang bagi aset-aset susut nilai seperti kenderaan mewah.

“Pada akhirnya, tiada guna bertopengkan kehidupan mewah untuk dipandang tinggi tetapi hakikatnya mereka terpaksa mengikat perut dek hutang keliling pinggang,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN