fbpx
SEDAR impak media sosial adakalanya mampu memberi kesan luar biasa, Datuk Aaron Aziz berasa beruntung kerana si isteri sentiasa ada sebagai penasihat peribadi. Dia tidak perlu resah apatah lagi melatah saat apa sahaja kecaman atau huru-hara hinggap ke muka.

Aaron Aziz ‘taat’ cakap bini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DATUK Aaron Aziz bukanlah nama asing dalam industri, sementelah tuan punya badan sudah pun bergelumang dalam dunia hiburan lebih dua dekad lalu.

Pengalaman yang ada tentu sahaja menjadikan bintang bertubuh kekar itu sebagai rujukan para pelapis muda yang ingin mengikut jejak langkah agar kekal lama menongkah arus sebagai anak seni.

Katanya, dunia hiburan bukanlah semata-mata hidup dalam pujian. Sesekali roda kehidupan akan berputar dan memberikan ‘pukulan’ agar tidak asyik dengan keindahan percikan glamor dan populariti.

“Ada yang bertanya bagaimana cara membawa diri dan menjalani kehidupan sebagai anak seni.

“Nasihat saya, kita tidak boleh hendak mengharapkan pujian semata-mata.

“Kita memang sukakan pujian dan mengharapkan orang akan sentiasa memuji kita. Tetapi itu mustahil untuk berlaku kerana bukan semua orang akan sukakan kita.

“Walau sebaik mana pun kita lakukan, akan ada yang kritik dan tidak menyukai.

“Jadi, sebagai artis kita kena terima kecaman atau kritikan mahupun teguran,” katanya.

SESEKALI terbakar amarah saat kecaman dan tajuk berita menikam dada, Aaron mengakui bertuah kerana ada isteri yang selalu menjadi pendamai perasaannya. – SHIDDIEQIIN ZON, AMIR KHALID dan MOHD FARIZWAN HASBULLAH

Dunia digital

Jika mahu hidup tenang, Aaron menasihatkan mana-mana pelakon muda agar jangan cepat melatah dengan komen atau kritikan yang diterima dalam media sosial.

Selain mampu mengeruhkan keadaan, perkara tersebut turut akan berpanjangan, sekali gus mewujudkan suasana tidak menyenangkan.

Situasi sama dilalui kini ketika bertebaran komen pedas netizen dihamburkan terhadap segelintir selebriti yang tersenarai dalam gerakan Blockout 2024. Difahamkan, nama-nama terbabit ada menjalinkan kerjasama dengan jenama produk menyokong kekejaman Zionis ke atas Palestin.

“Mengenai isu Palestin pun, saya tidak boleh memberi komen kerana saya tidak tahu kenapa dia (artis) tidak bersuara.

“Mungkin juga dia sebenarnya bersuara, tetapi bukan dalam media sosial.

TERDETIK rasa risau, Aaron bimbang memikirkan jika ada penonton akan membandingkan The Expert dengan filem Sheriff.

“Bagi saya apa yang dikatakan netizen itu biarkan sahaja kerana artis itu tahu siapa dirinya sendiri.

“Orang cakap buruk mengenai kita, jangan mudah tergesa-gesa untuk hendak mengatakan diri sendiri betul.

“Biarlah melibatkan kita dengan Allah.

“Kita tidak perlu buktikan kepada sesiapa, cukuplah diri kita dan Tuhan sahaja yang tahu,” kata pemilik trofi Pelakon Lelaki TV Popular Anugerah Bintang Popular 2018 itu.

Menyambung cerita tentang media sosial, isterinya, Datin Diyana Halik menjadi individu penting yang sentiasa menasihati agar tidak larut emosi tatkala membaca komen netizen arau sebarang tajuk berita.

Akui ada sesetengah membakar amarah, namun dia sentiasa diingatkan si isteri agar jangan terlalu fokus terhadap perkara sebegitu.

“Kadang-kadang saya melihat perkara yang buat rasa geram, isteri selalu ingatkan agar jangan layan.

“Setiap individu mempunyai hak untuk bersuara. Jadi abaikan sahaja dan jangan terlalu mengikut emosi,” tuturnya.

MENGAKUI badan sedikit ‘kembang’ dalam The Expert, Aaron menjelaskan keadaan itu terjadi demi menyempurnakan permintaan produksi yang mahu dirinya kelihatan seperti aktor sasa Hollywood, Vin Diesel.

Filem heist

Beralih tentang kerjaya lakonan, Aaron yang sebelum ini kerap terlibat dalam filem aksi kini bakal muncul dengan buah tangan baharu bertajuk The Experts.

Menemui penonton bermula 23 Mei, filem arahan Andre Chiew dan Nazim Shah tersebut memperlihatkan Aaron membawa peranan sebagai tulang belakang kepada kumpulan adik-beradik menjalankan rompakan dan melarikan sebentuk cincin.

Pertama kali membawa watak sebegitu, Aaron akui filem genre rompakan terancang atau crime heist dalam The Experts membuka lembaran baharu kepada portfolio seninya.

Meskipun tidak terlalu banyak babak aksi, namun jalan cerita putaran plot (plot twist), tentu sahaja membuatkan penonton tercengang.

“Sebelum ini saya belum pernah mendapatkan tawaran terlibat dengan filem heist sebegini. Boleh dikatakan juga filem ini diinspirasikan daripada kejadian sebenar iaitu heist itu sendiri.

“Apabila menerima tawaran, saya terus jatuh cinta dan sukakan skripnya. Walau ada aksi, tetapi tidak seperti kebanyakan filem yang pernah dijayakan sebelum ini kerana selalunya akan mendapat watak sebagai gengster atau tentera,” jelasnya.

Mengharapkan agar filem tersebut mendapat sambutan penonton, Aaron akui wujud rasa gusar sekiranya karya baharu tersebut dibandingkan dengan Sheriff: Narko Integriti yang menemui penonton pada 18 April lalu.

AARON menyifatkan The Expert sebuah filem yang jauh berbeza dengan sebarang naskhah lakonannya selama ini.

“Saya agak risau, takut diperbandingkan. Saya mengharapkan penonton dapat menerima genre filem ini yang mempunyai pelbagai emosi. Ada drama, komedi, aksi dan plot twist.

“Kerisauan itu tidak terlalu serius, tetapi satu filem itu sudah ‘meletop’ dan diharapkan filem ini juga mendapat impak sama,” terangnya optimis.

Terus bercerita soal filem The Experts, Aaron memberitahu bentuk fizikalnya dalam naskhah tersebut sedikit besar, namun semua itu bersebab iaitu memenuhi kehendak produksi.

“Saya menjalani latihan fizikal yang ketat selama enam bulan untuk mendapatkan bentuk badan begitu. Mereka nak badan saya seperti Vin Diesel.

“Selain latihan saya juga perlu mengambil diet seimbang dan makanan yang telah disediakan agar dapat mengekalkan bentuk badan begitu sepanjang penggambaran,” ujarnya.

Namun, penonton filem tersebut mungkin sesekali dapat menyedari bentuk fizikal Aaron yang adakala sedikit berubah memandangkan sebahagian babak menjalani penggambaran pada 2019.

Selain Aaron, The Experts terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Zak Capital dan TGV Pictures dibintangi Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak, Ray Dapdap, Maya Karin, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir, Douglas Lim dan Michael Ang.

The Experts mengisahkan perompak lima beradik, Farid (Aaron) abang sulung kepada Keyrol, Amer, Lan dan Emma yang mempunyai kehandalan tersendiri.

LAMA bergelar pelakon, Aaron sedar hidup tidak selalunya dibumbui dengan pujian.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN