fbpx
Habitat asal alpaca ialah Peru atau Bolivia dan kini ramai penternak yang mula membelanya di Australia untuk dijadikan haiwan peliharaan eksotik

Ada apa dengan alpaca?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja melangkah masuk ke Taman Zahara di Gopeng, Perak pastinya mata akan tertumpu kelibat sekumpulan haiwan berleher panjang, berkepala lonjong dan berkaki ramping sedang berdiri secara rapat di dalam sebuah kandang.

Ternyata, pemilik taman ini, Thanabalan Sengodan, 40, pandai bermain dengan eksperimen lagi-lagi jiwanya sebagai seorang kontraktor yang banyak menjelajah dan bercuti di beberapa pelusuk dunia terutama di benua Barat dan Asia menyebabkan ilmunya luas berkenaan dunia haiwan peliharaan.

Malah, kafe yang terdapat di restoran ini turut mempunyai cermin bersaiz besar dan panjang di satu sudut dinding yang membolehkan pengunjung menikmati makan dan minuman sambil melihat keletah alpaca yang jinak.

“Tentu anda terpesona melihat alpaca ini bukan? Sebenarnya haiwan ini jinak dan gemar berswafoto seperti manusia,” katanya sebagai pembuka bicara.

Ujar Thanabalan, dia memberanikan diri untuk mengimport masuk haiwan jinak itu kerana ingin memberikan kelainan kepada pengunjung taman itu.

“Sebenarnya saya mengambil risiko yang besar kerana harga seekor alpaca mencecah RM18,000 dan jika dibeli secara pasangan ialah RM30,000 yang diimport khas dari Sydney, Australia.

“Namun, jika taman ini hanya mempunyai arnab, ayam, burung merak, kuang, merpati, ikan koi dan tilapia mungkin tiada bezanya berbanding yang ada di tempat lain.

“Setakat ini, terdapat 12 ekor alpaca iaitu tujuh betina dan lima jantan di taman ini yang mempunyai penjaga khas untuk memerhatikannya setiap 24 jam,” katanya kepada Panorama.

Taman Zahara mula dibuka pada 1 Mei lalu dan merupakan tarikan terbaharu di Perak.

Menelusuri asal usulnya, habitat asal alpaca ialah Peru atau Bolivia dan kini ramai penternak yang mula membelanya di Australia untuk dijadikan haiwan peliharaan eksotik.

Realitinya, ia haiwan yang boleh mendatangkan keuntungan kepada pemiliknya kerana harga bulunya yang mahal menjadi bahan untuk pakaian mewah dan dijual dengan harga tinggi di London, Paris dan New York.

Kata Thanabalan, alpaca yang telah wujud di Peru sejak lebih 6,000 tahun lalu gemarkan suasana pergunungan Andes yang sejuk.

“Kebiasannya di sana, alpaca menjadi simbol untuk melakukan pelbagai aktiviti iaitu membawa barangan dagangan dan keperluan selain menjadi sumber susu dan daging kepada seisi keluarga penternak,” katanya dengan penuh keyakinan.

ALPACA gemar bergambar dan suka tersenyum semasa diajak swafoto.

Lelaki itu kemudian mempelawa penulis untuk membelai dan memberikan makanan berupa palet dan rumput khas kepada haiwan yang seakan-akan biri-biri dan tergolong dalam dalam keluarga unta seperti llama itu.

“Jangan khuatir kerana haiwan ini mampu hidup dan bergaul bersama manusia, biri-biri, lembu dan kuda, malah sekiranya diasingkan boleh menyebabkan haiwan ini sunyi dan stres.

“Bahkan, sekiranya diberi makanan seperti lobak merah, epal, rumput dan brokoli pasti haiwan yang gemar tersenyum ini akan sentiasa menghampiri anda untuk mendapatkan makanan,” ujarnya.

Sebaik sahaja memasuki kandang alpaca, perasaan takut mula menyelubungi diri kerana takut digigit oleh haiwan itu tetapi ternyata telahan itu meleset sama sekali.

Haiwan jinak ini mengerumuni saya secara berkumpulan dan sebaik sahaja saya talakan sahaja lensa kamera, haiwan ini sudah sedia untuk bergambar!

Malah, haiwan berbulu seperti biri-biri dan berleher panjang ini mudah mesra, jinak serta seakan-akan selesa apabila kepalanya diusap sambil berbunyi manja.

Selain itu, apabila diberi makan, alpaca tidak gelojoh dan makan secara tertib dengan lirikan matanya yang mempesona.

Saiz alpaca sebenarnya seperti biri-biri dan haiwan ini tidak agresif dan gemar makan secara berkumpulan.

Berhubung penjagaan alpaca, Thanabalan memberitahu, haiwan yang gemarkan kawasan pergunungan ketinggian 4,800 meter itu memerlukan kandang yang bersih selain ada pendinginan yang sesuai.

“Kami sediakan kipas yang bersaiz besar kerana kos untuk alat penghawa dingin ialah tinggi. Selain itu, ada doktor haiwan yang memeriksa kesihatan haiwan-haiwan ini sekali setiap bulan,” katanya.

Bagi pemilik bersama ladang itu, Mohd Athiruddin Mohd Joneidi, 30, berkata, alpaca mempunyai 22 warna seperti hitam, kelabu, coklat dan putih.

“Haiwan ini sebenarnya bijak dan boleh digunakan sebagai terapi bagi binatang yang lain. Malah, sekiranya diajar dan dilatih alpaca boleh melompat, melakukan isyarat tangan dan seakan-akan meletakkan kepalanya di bahu kita.

“Terdapat dua jenis alpaca iaitu Suri dan Huacaya yang membuatkan kedua-duanya berbeza ialah kepanjangan dan ketebalan bulunya,” katanya.

Ujarnya lagi, alpaca mempunyai tempoh masa kehidupan yang lama iaitu 15 hingga 20 tahun dan 70 peratus habitatnya ialah di Peru dan selebihnya Bolivia dan Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN