fbpx
Qua tersenyum sambil memperagakan ikan toman yang ditangkap seawal 7 pagi.

K2

Cabaran tersendiri memancing guna kayak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN aktiviti rekreasi secara berkayak sudah lama bertapak di negara ini, namun memancing dengan menggunakan kayak masih lagi asing dalam kalangan masyarakat setempat.

Penulis walaupun seorang pemancing tetapi aktiviti memancing menggunakan kayak amat asing buat penulis. Sebelum ini penulis hanya pernah melakukan aktiviti kayak rekreasi bersama teman-teman.

Menelusuri sejarah kayak, menurut sumber, ia mula dibina oleh kaum asli di sekitar kawasan Artik dengan menggunakan kulit anjing laut sebagai medium pengangkutan yang lebih ‘mobile’ berbanding bot sekitar 4,000 tahun lalu.

Sejak itu, kayak alami perubahan dari segi kegunaan dan reka bentuk sehinggalah trend memancing secara berkayak mula berkembang di Malaysia.

Difahamkan, hampir 15,000 ahli yang aktif dengan pancingan kayak terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum di seluruh Malaysia.

Antara komuniti yang kerap menganjurkan program pancingan berkayak adalah KayaX.

Diasaskan pada 2019, KayaX pada mulanya merupakan pengeluar pakaian, sebelum diubah sepenuhnya kepada komuniti pancingan kayak pada 2023.

Berpusat di Puchong, Selangor, komuniti KayaX dibahagikan kepada beberapa divisyen antaranya divisyen pendidikan, pengeluaran pakaian dan servis sewaan kayak (air tawar dan air masin).

Menurut Masai Mara yang merupakan orang kuat KayaX, untuk yang ingin mencuba pancingan berkayak, KayaX menyediakan perkhidmatan menyewakan kayak kepada sesiapa yang berminat dengan bayaran RM95 untuk setengah hari, RM120.00 untuk satu hari.

“Penghantaran sewaan kayak adalah dalam kawasan lingkungan sekitar 10 kilometer dari pusat kami beroperasi di Puchong, jika melibatkan kawasan luar dari Puchong, kadar penghantaran mengikut jarak tempuh,” katanya.

Terdapat perbezaan dari segi reka bentuk yang ketara antara kayak jenis rekreasi dan juga kayak untuk memancing, di mana kayak memancing mempunyai bentuk yang sedikit lebar dan stabil berbanding kayak rekreasi yang sedikit runcing dan memanjang.

Para peserta aktiviti pancingan kayak di tasik berhampiran Rimbayu, Selangor bergambar kenangan sebelum menamatkan sesi pada hari itu.

Penggunaan injak-injak kaki (pedal) lebih efisien berbanding pendayung tangan, namun di sesetengah kawasan, masih lagi memerlukan penggunaan pendayung tangan.

Selain di Puchong, KayaX turut beroperasi di kawasan Port Dickson (PD Watersport) buat yang ingin merasai pengalaman berkayak di lautan dengan kadar bayaran yang sama, tetapi jika ingin menggunakan khidmat ‘guide’, tambahan RM120 dikenakan.

“Memancing secara berkayak di laut memberikan cabaran dan pengalaman yang berbeza berbanding berkayak di air tawar, selain faktor air pasang surut, cuaca dan ombak turut memainkan peranan.

“Perairan PD sememangnya dihuni pelbagai spesies ikan. Jika kena pada masanya, spesies seperti jenahak, siakap merah dan tenggiri bunga antara yang kerap dinaikkan oleh pemancing kayak,” tambah Masai.

Berbalik kepada aktiviti pancingan kayak yang penulis sertai, ia hasil ‘racun’ daripada seorang sahabat pancing, saudara Wan Shahrizal (Obi) yang mempelawa penulis turun ke satu tasik yang terletak berhampiran Rimbayu — penulis bersetuju buat pertama kalinya untuk turun mencuba pancingan berkayak setelah beberapa kali mengelak untuk hadir.

Tiba hari yang ditetapkan, penulis sampai pada pukul 7 pagi di lokasi yang diberikan, penulis disambut oleh orang kuat KayaX, Muhammad Aqwa Nor Akhsan atau lebih dikenali dengan panggilan Qua Chang yang tiba sejak jam 6.30 pagi lagi.

Penulis agak sedikit lewat memandangkan ahli-ahli komuniti lain termasuk Masai sudah pun berada di atas air untuk mengilat ikan.

Menjadi kebiasaan buat pelanggan yang pertama kali berkayak, sesi penerangan mengenai penggunaan dan keselamatan akan diadakan oleh Qua sebelum memulakan sesi berkayak.

Tepat jam 8.30 pagi, penulis terus meluncurkan kayak ke tengah tasik. Pengalaman bermain kayak rekreasi membuatkan penulis tidak merasa kekok dalam mengendalikan kayak untuk memancing ini.

Walaupun tujuan utama penulis hanya untuk merasai pengalaman berkayak, namun penulis tetap membawa sekali set mengilat, terbukti memancing secara berkayak memang memberi cabaran tersendiri.

Beberapa ekor toman berjaya dinaikkan oleh Masai, Qua dan Orlson Chan. Obi pula secara tidak sengaja menaikkan tilapia bersaiz besar yang menghentam gewang jenis minnow sebelum kami menamatkan sesi pada hari itu.

Penulis? Masih lagi meneruskan rekod ‘kumpau’ selama tiga tahun memburu toman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN