fbpx
BIARPUN berstatus OKU dengan keterbatasan pergerakan selain hidap disleksia, tidak menghalang Jaheerah Nadzri atau Eerah terus gigih dalam kerjayanya sebagai penjual burger dan mencipta populariti penuh inspirasi sehingga diangkat sebagai Ikon Kongres Ekonomi Bumiputera 2004 dan terbaharu semalam dikurnia Ikon Anak Istimewa Selangor (ANIS) 2024.

Eerah usahawan burger OKU terus pandang ke depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA dilahirkan tidak sama seperti insan lain. Ketika dilahirkan 30 tahun lalu, saya terpaksa ditempatkan di dalam inkubator kerana demam kuning yang tinggi selain berlaku kekurangan oksigen pada bahagian otak sebelah kiri.”

Demikian cerita wanita istimewa bernama Jaheerah Nadzri atau lebih mesra disapa Eerah, 30, tentang saat kelahirannya.

Beritahu Eerah, dia yang dilahirkan melalui pembedahan di Hospital Bersalin Pulau Pinang terpaksa menjalani rawatan hampir sebulan (ditempatkan dalam inkubator).

Pun begitu katanya, ujian tidak terhenti setakat itu apabila dia terpaksa pula dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang kerana sawan akibat tersedak susu.

“Setelah diberi rawatan susulan, doktor pakar mengesahkan yang tumbesaran saya mungkin tidak seperti kanak-kanak yang sebaya.

“Contohnya, jika kanak-kanak lain boleh berjalan ketika berumur 10 bulan hingga setahun, saya mungkin lambat sedikit. Apa yang diberitahu keluarga, saya mula berjalan sendiri ketika usia menginjak tiga tahun dan sebelum itu saya hanya berjalan menggunakan lutut.

“Pertuturan saya juga tidak begitu difahami dan saya telah disahkan pakar perubatan menghidap disleksia atau bahasa mudahnya masalah perkembangan pembacaan,” katanya tanpa berselindung kepada Aura.

Tahun silih berganti, siapa sangka, kehidupannya yang dahulu disifatkan ‘malap’ akhirnya menemui sinar tatkala anak bongsu daripada empat beradik ini bangkit di sebalik kekurangan.

Videonya ligat memasak dan menyiapkan tempahan burger pelanggan dengan senyuman tak pernah lekang biarpun disulami keterbatasan pergerakan membuka mata ramai pihak tentang betapa cekal dan kuatnya insan kategori orang kelainan upaya (OKU) ini.

Menuai perhatian dan memperoleh jutaan tontonan dalam TikTok peribadi miliknya, nama Eerah semakin dikenali sekali gus melonjakkan perniagaan burger milik keluarganya itu.

“Ketika di sekolah, saya memang tidak ada ramai kawan. Dari darjah satu hingga enam, saya bersekolah biasa dan perlu ke kelas tambahan disebabkan masalah dalam penulisan dan pembacaan.

“Setelah disahkan disleksia, saya bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas.

“Selama tujuh tahun bersekolah di situ dan pergaulan saya hanya tertumpu kepada rakan-rakan senasib, manakala di luar sekolah pergaulan saya agak terbatas disebabkan sifat yang lebih suka menyendiri,” katanya.

EERAH tidak kekok memasak burger dan wanita OKU ini memiliki ramai peminat yang gemar menonton aksinya di akaun TikToknya yang diikuti lebih setengah juta pengikut.

Nama Eerah semakin tular baru-baru ini selepas dia muncul di pentas konsert penyanyi seberang, Cakra Khan dengan membawa burger setelah diundang lelaki itu yang sememangnya menyedari akan populariti wanita OKU itu.

Eerah juga telah diangkat sebagai Ikon Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 baru-baru ini. Kongres Ekonomi Bumiputera ialah satu inisiatif kerajaan di bawah beberapa kementerian dalam agenda memperkasa sosioekonomi Bumiputera.

Eerah mengakui tidak pernah terfikir jalan hidupnya disusun Ilahi sebegini rupa. Dia juga tidak menyangka diangkat sebagai ikon dan gelaran itu menjadi suntikan semangat untuk terus berjaya dalam perniagaan.

Ditanya mengenai perniagaan burger yang diusahakan secara sepenuh masa bersama bapanya itu, dia memberitahu telah berkecimpung dalam dunia bisnes sejak usianya 11 tahun.

Katanya, perniagaan kecil-kecilan diusahakan bapanya itu sebenarnya bertapak sejak tahun 1979 ketika berada di Pulau Pinang sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Sepang.

“Mungkin disebabkan saya sering kali dibawa ke tempat berniaga, maka dari situ timbul minat untuk turut berniaga dan menjadi usahawan berjaya.

“Sebelum serius dengan perniagaan burger pada 2022, sebenarnya saya pernah jual macam-macam produk dan hadapi pelbagai ujian tersendiri.

“Bermula dengan perniagaan kek cawan pada tahun 2016, namun ia cuma bertahan selama dua bulan kerana tiada sambutan walaupun dijual di kantin Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

“Kemudian saya beralih kepada bisnes menjual nasi lemak dan nasi lemuni. Pun begitu, ia sekali lagi gagal dan hanya bertahan selama dua minggu.

“Langsung tidak kira erti putus asa, pada 2018, saya jual cili boh pula. Pada awalnya ia dapat permintaan terutama dalam kalangan peminat di Utara tanah air, namun disebabkan masalah logistik dan penghantaran, saya nekad tidak meneruskan,” katanya.

Beritahu Eerah, sampailah pada tahun 2021 ketika negara berdepan pandemik maut Covid-19, dia cuba menjual cornflakes madu dan cornflakes perisa telur masin.

Berbekalkan akaun TikTok dan mula mempunyai pengikut tersendiri ketika itu, perniagaan cornflakes tersebut mendapat sambutan terutama ketika Hari Raya Aidilfitri.

Pun begitu ujarnya, dek kerana perniagaan tersebut bersifat bermusim, dia berhasrat untuk berniaga burger meskipun sudah tujuh tahun bapanya tidak berniaga atas masalah tertentu.

Maka, Ogos 2022 perniagaan Eerah Burger bermula dengan gerai kecil berlokasi di Kota Warisan, Sepang hingga dikenali dan menjadi tular.

Ditebak mengenai perasaannya setelah dikenali sekali gus membantu mengembangkan lagi perniagaan, dia mengakui gembira dan tidak putus-putus menerima kata-kata semangat serta suntikan motivasi.

Paling menggembirakan dan bagaikan mimpi, gerainya didatangi orang-orang kenamaan dan terkenal seperti ahli politik dan selebriti.

Dalam setiap kejayaan dan kegembiraan, pasti terselit tohmahan dan kritikan negatif pernah ditelannya.

Baginya, tohmahan dan kritikan itu memang ada lebih-lebih lagi statusnya sebagai OKU, namun dia mengambil pendekatan untuk tidak peduli, sebaliknya menyifatkan ia sebagai satu ujian daripada Maha Esa.

“Antara tohmahan yang lazim dan sering saya terima adalah segelintir hamba Allah yang memperlekeh usaha saya berniaga burger dengan tidak mempercayai bahawa saya boleh dan mampu memasak serta menyediakan burger kepada pelanggan,” katanya.

Eerah pernah menjadi atlet petanque.

Baginya, apa yang membuatkan diri terus kuat dan memandang ke hadapan adalah kerana setelah tamat alam persekolahan, dia masih berhubung dengan beberapa rakan OKU lain dan bangga kejayaan dikecapi mereka.

Katanya, ada antara rakan-rakan istimewanya berjaya mendapatkan pekerjaan di syarikat swasta dan itu antara titik tolak kepada kejayaannya.

Mengakhiri perbualan, Eerah turut mempunyai azam besar dalam perniagaan yang diusahakan dan antaranya impian mengeluarkan daging burger dengan jenamanya sendiri suatu hari nanti selain perniagaannya terus kekal maju.

Bekas atlet petanque, ikuti isu semasa

MESKIPUN dilahirkan ‘istimewa’, namun bakat dan kebolehannya dalam sukan usah dipersoalkan.

Kata Eerah, sejak bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas, dia berkebolehan bermain petanque dan telah terpilih untuk menyertai latihan bagi pemilihan mewakili Selangor ke Sukan Malaysia (Sukma) bagi kategori OKU.

Pun begitu katanya, disebabkan pada tahun tersebut iaitu 2013, tarikh latihan kebetulan bertindih dengan tarikh mereka sekeluarga mengerjakan umrah, hasrat tersebut terpaksa dilenyapkan.

“Walaupun sudah lama tamat pengajian, jika ada masa saya akan tetap berlatih bermain petanque sebagai aktiviti sukan riadah.

“Ramai juga tidak tahu yang saya gemar menonton siaran langsung acara-acara sukan yang melibatkan pasukan negara kita di setiap saluran televisyen yang bersiaran langsung. Tidak kiralah Sukan Asia, Olimpik dan apa sahaja. Daripada acara bola sepak, badminton, hoki dan apa sahaja yang melibatkan pasukan kebangsaan, saya akan mengikutinya,” katanya.

Selain itu, kongsi Eerah yang sudah ketiadaan ibu kerana meninggal dunia pada tahun 2018, dirinya seorang yang mengikuti isu semasa, berita tempatan seperti politik, bencana alam, gosip-gosip artis, kemalangan dan kematian insan-insan yang dikenali menerusi media massa dan sosial miliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN