BESUT – Tiga sahabat mampu mendapat lebih RM5,000 sebulan dengan hanya menjual buah kerdas atau lebih dikenali sebagai genuak yang banyak didapati di dalam hutan sejak Mac lalu.
Abd. Rahman Hamid, 58, berkata, dia bersama dua rakannya, Zu Zazuwan Talib, 42, dan Mat Husin Ibrahim, 65, memasuki hutan di Kampung Pak Sik, Hulu Besut di sini, bagi mengutip buah berkenaan.
“Buah kerdas sedap dimakan sebagai ulam dan rasanya seperti jering. Musimnya cuma dua bulan iaitu antara Mac hingga Mei.
“Permintaan terhadap buah kerdas amat tinggi dan senang-senang boleh jual kesemua 60 kilogram (kg) buah itu yang kami bawa pulang setiap kali ke hutan,” katanya ketika ditemui.
Menurut Abdul Rahman, mereka menjual buah kerdas secara borong pada harga RM4 sekilogram.
Sementara itu, Zu Zazuwan berkata, mereka masuk hutan selama sembilan jam bermula pukul 9 pagi.
“Ia agak mencabar kerana pokoknya tinggi lebih 18 meter. Dahan pokok kerdas perlu dipangkas dan perlu dilakukan berhati-hati untuk elak kemalangan,” katanya.
Ujar Zu Zazuwan, mereka berpuas hati kerana kerja keras mereka membuahkan hasil lumayan dalam tempoh tiga bulan.
“Buah kerdas bagus untuk pesakit diabetes, darah tinggi selain dikatakan mampu mengekalkan awet muda,” katanya.














