Kes keganasan rumah tangga acap kali berlaku di negara ini dan dilaporkan oleh pihak media.
Dalam kebanyakan kes yang dilaporkan kepada pihak polis, golongan isteri yang kerap menjadi mangsa penderaan oleh suami mereka.
Namun, ada juga wanita yang memilih untuk mengunci mulut walaupun dibelasah atau dimaki hamun oleh pasangan masing-masing.
Kosmo! menerusi laporan muka hadapannya semalam mendedahkan kisah wanita yang masih mempertahankan perkahwinan biarpun dicederakan termasuk kakinya diseterika oleh insan yang bergelar suami.
Ada juga isteri yang berendam air mata selama berbelas tahun lamanya dan sanggup dijadikan karung tinju kepada suami yang selalu merasakan dirinya sahaja yang betul.
Tiada yang indah sepanjang perkahwinan tersebut sebaliknya si isteri kerap diherdik atas perbuatan yang dia sendiri tidak tahu di mana silapnya.
Perlakuan ganas bukan hanya melibatkan penderaan fizikal, malah pertuturan seperti memaki hamun, mencaci dan mengugut pasangan juga merupakan satu bentuk keganasan dalam rumah tangga.
Apabila ditanya isteri yang menjadi mangsa penderaan suami ini memilih untuk tidak membuat laporan kerana bimbang pasangan mereka ditangkap pihak berkuasa seterusnya bergelar banduan.
Selain itu, alasan yang paling popular diberikan adalah tidak mahu anak-anak membesar tanpa kehadiran ayah.
Perlu diingatkan kes keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan golongan biasa, malah ada kelompok profesional juga yang baran dan suka naik tangan.
Oleh itu, bagi menjaga status atau kedudukan suami, jadi si isteri memilih untuk memendam rasa sakit tersebut seorang diri atau dikongsi dengan anak-anak.
Kejadian sebegini sekiranya tidak dibendung sejak dari awal memberikan kesan yang buruk bukan sahaja kepada pasangan suami isteri tersebut, malah anak-anak mereka.
Si isteri hidup dalam keadaan trauma, lebih teruk lagi mengalami kemurungan akibat terlalu tertekan kerana memendam perasaan seorang diri.
Anak-anak juga membesar dalam persekitaran yang tidak sihat yang mana mereka melihat hampir setiap hari, ibu dipukul, diterajang dan dimaki hamun oleh lelaki bergelar bapa.
Keadaan ini boleh menyebabkan anak-anak trauma sama ada enggan berkahwin apabila sudah dewasa kelak kerana bimbang dengan kejadian yang menimpa ibu mereka.
Lebih teruk lagi menjadi pendendam dan melakukan perbuatan sama terhadap pasangan mereka apabila mendirikan rumah tangga kelak.
Oleh itu marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing sama ada sebagai ahli keluarga, jiran, rakan-rakan dan masyarakat dalam membendung kes keganasan rumah tangga.
Kepada mangsa pula, jangan berdiam diri dan hentikan segera keganasan ini. Semuanya kini berada di hujung jari. Dengan hanya satu panggilan misalnya ke 999 ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa.
Kita hidup cuma sekali, jalani kehidupan dengan sebaik-baiknya bukannya menjadi karung tinju. Selamat Hari Ibu buat anda semua.














