STESEN berikutnya, Bangsar. Next station, Bangsar.”
Suara wanita yang sering digunakan dalam tren LRT awam itu sudah sebati kepada kebanyakan rakyat Malaysia.
Namun, tiada siapa tahu identiti sebenar pemilik suara tersebut.
Ini kerana, pekerjaan sebagai artis suara latar membolehkan Suehaily Abdullah mengekalkan privasi, biarpun bakatnya sudah sampai ke peringkat antarabangsa.
Bukan tidak pernah namanya disebut-sebut, namun wanita berusia 47 tahun itu memilih untuk mendiamkan diri selama ini.
Sehinggalah baru-baru ini, selebriti dan sahabat baiknya, Atilia Haron berkongsi video berkenaan dirinya di media sosial.
Kali ini, anak jati Muar, Johor itu nekad mengambil pendekatan berbeza dengan mula berinteraksi dengan netizen di laman TikTok.
Bercerita mengenai perjalanannya sebagai artis suara latar, Suehaily mendedahkan, dia jatuh cinta dengan kerjaya itu sejak berusia 12 tahun.
“Saya mula minat menjadi artis suara latar selepas melihat Atilia mewakili Asia Tenggara untuk iklan komersial Coca-Cola di Liverpool, England pada 1986.
“Namun, peluang saya timbul setelah bekerja sebagai wartawan penyiaran dan pembaca berita di sebuah stesen televisyen.
“Dari situ, saya mula dapat tawaran untuk menjadi artis suara latar.
“Lama-kelamaan, saya memilih untuk jadi artis suara latar sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di Audio Aficionado, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Selain mendominasi ruang suara latar untuk kemudahan pengangkutan syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), suara Suehaily digunakan dalam perkhidmatan bank, telekomunikasi animasi, promosi rancangan, iklan, dubbing (peralihan suara) serta permainan video.

Bahkan, suara anak bongsu kepada bekas diplomat negara itu turut boleh didengari dalam bahasa asing termasuk Perancis dan Jerman.
Menariknya, bekas penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu sebenarnya tidak boleh bertutur dalam bahasa-bahasa tersebut.
Ujar Suehaily, artis suara latar perlu menjadi serba boleh dan mampu memainkan apa sahaja ‘watak’ yang dituntut skrip serta pelanggan.
“Saya pernah memainkan watak pelbagai usia, jantina, personaliti dan nasionaliti. Sebagai artis suara latar, kami perlu pandai mengajuk.
“Bagi menjiwai sesuatu watak, saya suka memerhati gelagat orang awam, kemudian meniru gaya dan nada mereka agar suara saya realistik.
“Sekiranya melakukan dubbing, saya perlu buat suara mengikut mimik muka dan mulut pelakon berkenaan,” jelasnya.
Sepanjang 26 tahun berada dalam bidang suara latar, Suehaily pernah mengalami kecederaan pita suara sebanyak tiga kali.
Ujarnya, kecederaan itu berlaku kerana terlalu banyak bekerja sehingga otot di bahagian pita suaranya membengkak dan luka.
Perkara itu membuktikan bahawa kerjaya sebagai artis suara latar bukan sekadar baca skrip atau bercakap.
Jelasnya, berdasarkan pengalaman peribadi, individu yang mahu menjadi suara latar perlu kental, rajin dan tidak memiliki ego.
“Saya pernah ulang bacaan sebanyak 240 kali dalam satu sesi rakaman kerana gagal memenuhi keinginan pelanggan.
“Saya habiskan masa dua jam dalam studio demi iklan berdurasi 15 hingga 60 saat itu.
“Namun akhirnya, mereka memilih untuk menggunakan bacaan kali ketiga,” katanya.
Berbeza dengan Suehaily, seorang lagi artis suara latar yang tular di media sosial ialah Khairul Anuar Azmi.
Dia tidak pernah menyangka suaranya akan menjadi sumber rezeki apabila dewasa.
Semuanya bermula ketika dia menjadi penerbit dalam program, Wakenabeb. Ketika itu, dia menghadapi kesukaran untuk memberi arahan kepada artis suara latar program itu.
Disebabkan itu, anak jati Kuala Lumpur tersebut menghadiri pencarian bakat personaliti yang dianjurkan pihak Media Prima untuk memahami seni suara latar.
Namun, tidak disangka-sangka, bakat suaranya dicungkil sehingga dilatih menjadi salah seorang artis suara latar.
“Sharifah Aleya adalah insan yang mula menyatakan hasrat untuk melatih saya dalam masa setahun. Saya terima cabaran itu.
“Dalam tempoh itu, saya belajar intonasi dan lenggok seorang pengacara, penyampai radio dan suara latar,” katanya.
Kini, Khairul Anuar sering ditawarkan peluang untuk menjadi suara latar dokumentari, promosi dan iklan di pelbagai rangkaian media arus perdana serta media sosial.
Selain rakaman suara, bapa kepada seorang cahaya mata itu juga sering diberi kepercayaan untuk membuat suara latar secara langsung.
Antaranya, ketika Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah Seri Angkasa.
Demi memastikan suaranya kekal stabil sepanjang melakukan tugas, lelaki berusia 40 tahun itu sentiasa memastikan dirinya tidak makan dua jam sebelum melakukan suara latar.
“Selain menjaga suara, dia juga perlu menjaga stamina kerana tidak boleh semput ketika melakukan kerjanya.
“Ini kerana, saya perlukan teknik pernafasan dan menggunakan suara perut (dari diafragma) ketika melontarkan suara.
“Ia berbeza dengan suara ketika bercakap biasa,” jelasnya.
Kongsi Khairul Anuar, pencapaian terbesarnya setakat ini adalah menghasilkan bakat-bakat baharu di bawah akademi Nuarstoryteller dan Gphustler.
Hasil perkongsiannya di laman media sosial sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membuka mata orang awam tentang seni suara latar, sekali gus menarik minat mereka untuk menceburi bidang itu.
Sehingga kini, dia berjaya melahirkan ramai bakat baharu yang disalurkan kepada dunia seni suara latar negara.
“Ramai kenalan dalam media berminat untuk menggunakan bakat-bakat daripada agensi saya setelah melihat kemahiran mereka.
“Saya sangat bersyukur kerana berjaya membuka pintu rezeki kepada ramai orang ke dalam bidang yang sebelum ini kurang diketahui,” katanya.















